1500 Bubur Lambuk Diedarkan Pada Program Kedua Rasa Bubur Lambuk Warisan

Share

Program kedua RASA Bubur Lambuk Warisan Anjuran Nu Ideaktiv sekali lagi telah diadakan dengan penuh meriah bagi sama-sama meraihkan kemeriahan Ramadan sambil berkongsi rezeki dengan orang ramai khususnya penduduk Shah Alam dan sekitarnya.   

Rasa Bubur Lambuk Warisan yang dibawakan oleh Majalah Rasa dengan dengan kerjasama AEON kali ini telah ditaja oleh AJI-SHIO®. 

Keenakan resipi bubur lambuk kali ini lebih istimewa kerana dilengkapkan dengan AJI-SHIO®  Lada Hitam Berperisa dan AJI-SHIO® Lada Berperisa. Dua jenis bubur lambuk iaitu ayam dan daging telah disediakan.   

Seawal jam 8.30 pagi, pihak katerer dan barisan krew sudah sibuk melakukan persiapan memasak bubur lambuk di perkarangan AEON Mall Shah Alam. Sebanyak 5 periuk besar bubur lambuk disediakan bagi mengagihkan 1500 pek bubur lambuk kepada pengunjung mall dan surau terpilih. 

Syamil Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Nu Ideaktiv menyatakan kerjasama diantara Majalah Rasa dan AJI-SHIO telah berlangsung sejak lima (5) tahun yang lalu, walaupun pada badai COVID-19,  

“Alhamdulillah ini merupakan tahun kelima Nu Ideaktiv melalui Majalah Rasa menganjurkan program bubur lambuk seperti ini bersama rakan penaja kami iaitu AJI-SHIO. Dan kali ini, kami berpadu tenaga bersama pihak AEON dalam merealisasikan Program Bubur Lambuk Warisan”

“Program memasak dan edaran bubur lambuk ini merupakan salah satu platform komunikasi di antara kami dengan masyarakat di sekeliling sempena bulan Ramadan yang mulia ini. Saya juga amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan lebih banyak pihak dalam gabungan program untuk merealisasikan usaha-usaha menyantuni masyarakat di sekeliling kami,ujar Syamil. 

Kong Lay Ming, Pengurus Kanan Pemasaran AJI-SHIO® pula berkata, AJI-SHIO® amat berbesar hati dapat meneruskan kerjasama program bubur lambuk ini bersama Majalah Rasa di atas komitmen yang diberikan setiap tahun.  

“Kami melihat inisiatif seperti ini sebagai sebuah platform untuk kami ketengahkan resipi bubur lambuk yang lazat dengan menggunakan resipi AJI-SHIO® untuk diraikan oleh semua rakan Muslim kami. Tahun ini merupakan tahun yang kelima kami menyantuni wira barisan hadapan negara dan masyarakat sekeliling yang memerlukan untuk mengimarahkan sambutan bulan Ramadan mereka. Kami amat berharap agar usaha ikhlas ini dapat lagi diteruskan untuk Ramadan mahupun hari-hari bermakna akan datang,” ujarnya. 

Program memasak dan edaran bubur lambuk ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji

Azli Bin Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam. Program turut dihadiri oleh Syamil Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Ani Nadila Pengurus Besar Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Kong Lay Ming, Pengurus Kanan Pemasaran AJI-SHIO®, Puan Munirah Azmi, Ketua Jabatan Operasi Mall, Leasing dan Pemasaran, AEON CO. (M) Berhad, Cik Nikki Lee, Ketua Jabatan Pemasaran Mall, Gig dan Pengurusan Acara, AEON CO. (M) Berhad, Encik Kamarul, Ketua Regional
Wilayah Tengah AEON CO. (M) Berhad, Chef Zam Akmal dan kumpulan-kumpulan motosikal berkuasa tinggi. 

Sementara itu, Munirah Azmi, Ketua Jabatan Operasi Mall, Leasing dan Pemasaran AEON,  melahirkan rasa syukur kerana dapat sama-sama menjayakan program Rasa Bubur Lambuk Warisan dan Ride Santai Ramadan yang dianjurkan bersama dengan Majalah RASA di bawah tajaan AJI-SHIO®.  

“Sebagai sebuah pusat beli belah yang menjadi pilihan, AEON bukan sahaja menawarkan pilihan membeli belah yang eksklusif kepada pelanggannya, malah ia juga menjadi pusat aktiviti kemasyarakatan dan gaya hidup terkini yang sihat. Aktiviti ini membolehkan AEON mendekatkan lagi perkhidmatannya dengan komuniti setempat melalui program tanggungjawab sosial korporat di samping dapat menyerikan lagi suasana Aidilfitri yang bakal menjelang,” kata Munirah Azmi. 

Ida Abd Aziz selaku Editor Pengurusan Rasa turut menambah bahawa program seperti ini dapat mengukuhkan lagi silaturahim antara warga kerja RASA dengan para pembaca kerana kesemua pembaca yang berdaftar atau pengikut laman sosial media turut dijemput ke program edaran bubur lambuk secara percuma ini.

Melalui kerjasama AEON juga, majlis tersebut dimeriahkan oleh kehadiran selebriti tempatan seperti Rahmad Mega, Baggio Damasutra, Iwan dan Krill Rashid serta kumpulan konvoi motorsikal Harley Davidson oleh Respect Bikers. Selebriti dan konvoi motorsikal akan menghiburkan pengunjung di AEON MALL Shah Alam sebelum turut serta di dalam proses agihan bubur lambuk di kawasan Padang Jawa. 

Selain itu, Rasa turut menganjurkan sebuah rancangan masakan sebanyak 22 episod iaitu Rasa Nostalgia Kampung Style yang dibawakan oleh BABA’S – menampilkan chef-chef terkenal seperti Chef Adu Amran dan Chef Wan bersama beberapa artis tanah air seperti Ezzaty Abdullah Zizi Kirana, Namie Ubi, Sazzy Falak dan ramai lagi. Ketahui pelbagai resipi tradisional yang menarik, tonton rancangan ini setiap hari Rabu hingga Ahad, jam 7:00 malam di Astro Ria. 

IKLAN