117 Makanan Malaysia Diiktiraf Sebagai Warisan Kebangsaan, Capati, Apam & Tuak Antara Tersenarai

Share

Berita gembira buat semua pencinta makanan! Jabatan Warisan Negara secara rasmi telah mewartakan 117 jenis makanan Malaysia sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Deklarasi Objek Warisan 2025.

Kalau tahun lepas hanya 10 makanan saja diiktiraf, tahun ini senarainya jauh lebih meriah dan penuh warna. Dari capati yang sentiasa ada di meja makan, nasi minyak di majlis kahwin, apam gebu kegemaran ramai, sehinggalah ke tuak yang sinonim dengan perayaan di Borneo – semuanya kini diangkat sebagai simbol budaya dan identiti negara.

Perisytiharan ini ditandatangani oleh Pesuruhjaya Warisan, Mohamad Muda Bahadin, dan dibahagikan kepada 12 kategori utama termasuk makanan ruji, lauk-pauk, kuih tradisional, minuman, pencuci mulut dan juga buah-buahan tempatan.

Foto : Borneo Heritage Ruai Rico

Apa yang menarik, senarai ini bukan sekadar menampilkan hidangan popular, tetapi juga mengangkat makanan unik yang jarang didengar generasi muda. Antaranya:

  • Ambuyat/Pinantung (ruji masyarakat Brunei & Sabah)

  • Ayam Pong Teh (peranakan Nyonya)

  • Masak Lemak Kulat Sisir

  • Ketupat Sotong Berlemak

  • Kuih Kasidah dan Kuih Tahi Itik

  • Air Janda Pulang yang penuh nostalgia

Dan sudah tentu, durian raja buah kegemaran rakyat turut tersenarai dalam kategori buah.

Pengiktirafan ini bukan sekadar label, tapi usaha untuk memastikan resipi, tradisi, dan cerita di sebalik setiap hidangan tidak hilang ditelan zaman. Ia juga menjadi simbol kepada dunia bahawa Malaysia bukan saja kaya dengan kepelbagaian kaum, tapi juga kaya dengan kepelbagaian rasa

.

Makanan yang diwartakan merangkumi:

  • Makanan Ruji – seperti nasi dalam buluh & ubi gadong

  • Lauk-Pauk – dari kari kapitan, sambal goreng hingga opor daging

  • Kuih Tradisional – apam, putu piring, kuih angku, tepung pelita

  • Pencuci Mulut – puding raja, bubur cha-cha, pulut durian

  • Snek – rojak, martabak, kerepek, kuih bangkit

  • Minuman – air nira, tuak, air janda pulang

Setiap hidangan ada cerita, ada sejarah, ada kenangan yang mengikat kita sebagai rakyat Malaysia. Dengan pengiktirafan ini, makanan bukan sekadar untuk dinikmati, tapi diraikan sebagai warisan yang wajib dipelihara.

Jadi, lepas ni bila anda makan rojak, apam, atau hirup segelas air nira – ingatlah bahawa anda sebenarnya sedang menikmati sebahagian daripada khazanah warisan negara.

Published by
Mu'azul 'Abqari