Keputusan SPM dah pun keluar hari ni. Tahniah bagi yang lulus cemerlang dan juga mereka yang keputusan biasa-biasa. Apapun syabas kerana adik-adik dah berusaha habis . Ada yang berminat nak sambung belajar dalam bidang kulinari?
Ni min kongsikan 10 institusi pengajian yang menawarkan program kulinari termasuk roti dan pastri. Bukan setakat teori tetapi yang mengujakan tamat pengajian nanti adik-adik dah pun menjadi tenaga mahir.
Institusi-institusi yang Min kongsikan ni bukan sahaja untuk pelajar cemerlang akademik sahaja, tetapi ada setengah institusi yang menyediakan ruang pelajar untuk mereka yang keputusan biasa-biasa aje.Ia hanya memerlukan sijil berhenti sekolah.
Semak senarai ni dan pilih yang mana sesuai…jangan tak pilih. Cerah masa depan dik…
1 . INSTITUT KEMAHIRAN TINGGI BELIA NEGARA (IKTBN)
LOKASI : KM 34, Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka
Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka adalah salah satu daripada 22 buah Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan ( (ILKBS). Belia-belia lepasan sekolah yang berumur 18 hingga 30 tahun boleh mohon. Semua pelajar boleh pohon tak kira apa keputusan peperiksaan.
Di sini adik-adik boleh pilih samada latihan menjadi menjadi tenaga mahir dan separuh mahir. Kursus-kursus yang ditawarkan dalam bidang Hospitaliti adalah Penyediaan Makanan, Penyediaan Pastri, Penyediaan Roti dan Penyajian.
Tahap tertinggi pengajian adalah ditawarkan sehingga tahap 5 (Diploma Lanjutan) bagi kursus Penyediaan Makanan dan Penyajian dan tahap 4 (Diploma Teknologi) bagi Penyediaan Pastri dan Penyediaan Roti.
2. SEKOLAH HOSPITALITI DAN PELANCONGAN (SHP). KOLEJ YAYASAN PELAJARAN JOHOR (KYPJ)
LOKASI : Kampus Induk KYPJ, Kilometer 16, Jalan Kulai-Kota Tinggi, 81000 Johor
Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) KYPJ sebelum ini dikenali sebagai Institut Hospitaliti YPJ ni dah 21 tahun penubuhannya. SHP ketika ini mempunyai seramai 1.100 pelajar dari seluruh negara daripada keseluruhan 2,800 pelajar di kampus Induk KYPJ.
Ia menawarkan tiga program dalaman peringkat Diploma diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Bidang-bidang yang ditawarkan ialah Diploma Pengurusan Perhotelan, Diploma Seni Kulinari dan Diploma Perkhidmatan Makanan (Makanan Halal) dengan syarat kemasukan lulus SPM dengan tiga kredit dalam mana-mana subjek atau lulus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 serta lulus SPM sekurang- kurangnya satu kredit.
3. GIATMARA HULU LANGAT
LOKASI : GIATMARA HULU LANGAT ,NO 65,66,67 Jalan Prima Saujana, Taman Prima Saujana ,Kajang, Selangor.
Ads
Usah putus asa jika keputusan SPM tidak cemerlang.Terdapat pelbagai pilihan pendidikan kemahiran boleh dilakukan berdasarkan minat dan cita-cita yang boleh memenuhi keinginan pelajar.
Di GIATMARA, syarikat milik penuh MARA menawarkan latihan kemahiran kepada bumiputera. Objektifnya kini diperkasakan untuk melahirkan tenaga mahir negara, mewujudkan usahawan dan mengatasi kemiskinan. Syarat kemasukan tiada had umur dan terbuka kepada Bumiputera berumur 15 tahun serta boleh 3M (membaca, menulis dan minat).
Terdapatn 84 jenis kursus sepenuh masa termasuk kulinari. Kursus yang ditawarkan adalah secara percuma di antara enam hingga 12 bulan. Ia bukan sahaja mensasarkan golongan belia malah individu yang tidak dapat meneruskan pembelajaran akademik . Malah turut membuka peluang kepada mereka mendapat latihan kemahiran bagi tujuan mendapat kerja dan juga untuk menceburi bidang keusahawanan.
Secara keseluruhan terdapat 16 Pusat GIATMARA di seluruh Malaysia yang menawarkan kursus Masakan dan Pramusaji selama enam bulan (Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Dua).
4. SG ACADEMY
LOKASI : SG Academy, Ibu Pejabat :Putra Majestic Business Centre, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur Cawangan : SG Academy Sarawak : Lot 208 Muara Tuang Lamd Distict, Kuching, Sarawak
SG Academy adalah sebuah pusat bertauliah kemahiran swasta dengan pelbagai program kemahiran selaras dengan permintaan industri terkini. Di antara program yang disediakan adalah Diploma dan Sijil dalam Servis Makanan dan Minuman, Diploma dan Sijil dalam Penyediaan Makanan serta Diploma dan Sijil Pembuatan Pasteri di samping program-program yang lain.
SG Academy menyediakan fasiliti latihan terbaik dan persekitran kondusif latihan kemahiran di dalam kesemua pusat latihan kemahiran . Disebabkan itu SG Academy dianugerahkan taraf 5 bintang oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk tahun 2013
5. ACCELSKILL ACADEMY
LOKASI : WISMA ACCELSKILL, 491 Plaza Melaka,Jalan Hang Tuah, Melaka
Ads
AccelSkill Academy adalah pusat bertauliah yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Terletak di bandaraya bersejarah Melaka, akademi ini telah beroperasi sejak 2009.
Program dan kelas yang ditawarkan adalah Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3 dalam Penyediaan dan Pembuatan Makanan dan juga Culinary Skills (City & Guilds).
6. KAGUMAS CULINARY ACADEMY
Lokasi : Lot 18, Jalan 9/3, Taman IKS, Seksyen 19, Bandar Baru Bangi ,Selangor Darul Ehsan
Kagumas Culinary Academy telah diasaskan oleh Hj Harun Nordin (FCIM) pada tahun 2008 berbekalkan pengalaman beliau dalam bidang perhotelan dan hospitali selama 21 tahun.
Istimewanya kolej ini bukan sahaja dibuka untuk pelajar biasa tetapi juga anak-anak ‘slow learner’ (OKU). Ia menawarkan program Sijil dan Diploma (City & Guilds, UK) yang terdiri daripada Sijil Penyediaan dan Pembuatan Makanan serta Diploma Seni Kulinari/ Seni Pastri. Senang dipelajari dan mudah serta praktikal.
Penyertaan terbuka kepada pelajar berusia 16 tahun ke atas dengan kelulusan PMR.
7. UNIVERSITY TAYLOR’S
Lokasi :1,Jalan Taylors, Subang Jaya, Selangor.
Pusat Pengajian Seni Kulinari dan Pengajian Makanan adalah sebahagian daripada Fakulti Pengurusan Hospitaliti, Kulinari dan Pelancongan, Universiti Taylor’s, yang terletak di Subang Jaya, Selangor. Ia telah ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu pada tahun 1986 dengan kerjasama University of Toulouse- Jean Jaurès, yang merupakan universiti kedua tertua dan terbesar di Perancis.
Ads
Program yang ditawarkan adalah Diploma in Culinary Arts, Advanced Diploma in Patisserie and Gastronomic Cuisine, dan bagi mereka berkelayakan boleh menyambung ke peringkat Bachelor of Culinary Management (Hons) Bachelor of Science(Hons)(Culinology) dan Master of Philosophy (Food Studies).
8. MANAGEMENT AND SCIENCE UNIVERSITY (MSU)
ALAMAT : :University Drive, Off Persiaran Olahraga, Shah Alam, Selangor.
Management & Science University (MSU) sebuah institusi tinggi berkaliber dan mendapat pengiktirafan antarabangsa menawarkan program-program hospitaliti dan pelancongan untuk memenuhi keperluan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan.
Melalui School of Hospitality and Creative Arts atau Sekolah Hospitaliti dan Seni Kreatif (SHCA), MSU menawarkan pelbagai program pengajian diperingkat sarjana muda dan diploma secara sepenuh masa dan pembelajaran fleksibel bagi golongan bekerja.
Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan dan berkait dengan industri hospitaliti,, pelancongan dan kulinari adalah Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan serta Seni Kulinari dan Seni Pastri.
9. FOOD INSTITUTE OF MALAYSIA (FIM)
LOKASI : 41-51, Jalan SS 6/12, Ss 6, Petaling Jaya, Selangor
FOOD INSTITUTE of MALAYSIA (FIM atau Institut Makanan Malaysia) bertujuan untuk melatih pelajar menjadi seorang profesional dalam Industri Hospitaliti. FIM mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Januari 2003 dan mula beroperasi pada tahun yang sama.
Di antara kursus-kursus yang ditawarkan adalah : Diploma Seni Kulinari Diploma Pastri dan Bakeri Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan Diploma Pengurusan Hotel Diploma Pengurusan Pelancongan Kursus-Kursus Jangka Pendek Semua kursus diploma telah mendapat akreditasi penuh MQA.
10.MALAYSIAN FOOD (AUTHENTIC) COLLEGE (MFA)
Lokasi : Unit C-1-28 Blok C, Pangsapuri Spring Villa, Jalan UP 1/1D Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor Darul Ehsan
MFA Education Sdn Bhd dahulunya dikenali sebagai Bakeri Ria Academy Sdn.Bhd telah ditubuhkan pada Februari 2007. Pengurusan syarikat diterajui oleh Chef Datuk Mohd Farid Alwi .Kolej ini juga membuka langkah murni dengan menawarkan tempat untuk pelajar-pelajar dari golongan tidak berkemampuan dan miskin menimba ilmu kulinari di sini. Jadi jika keluarga kurang kemampuan usah bimbang.
Di antara pengajian yang disediakan adalah latihan bakeri dan pastri SKM (Sijil Kemahiran Malaysia ) Tahap 2 dan 3, latihan penyediaan makanan (kulinari) SKM tahap 2 & 3 serta program dan latihan keusahawan makanan. Latihan keusahawanan ini menyediakan kursus jangkapendek.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Bila Min bertemu dengan barisan chef yang diketuai oleh Eksekutif Chef Muhammad Fadhil Annamalay atau lebih senang dipanggil Shan jelas ketara kemesraan terjalin erat di antara mereka. Sepanjang temuramah kerap diselangi gelak ketawa dan saling menyakat di antara ketua pasukan Chef Shan dengan ‘anak buah’nya.
Kiri sekali (duduk) Chef Shan
Keserasian kerja berpasukan inilah antara jadi faktor kejayaan dan keenakan sajian di sini. Ikuti kisah menarik di sebalik pasukan Chef di hotel The Pearl, Kuala Lumpur.
Chef Pastri Wan Kaisa Ibrahim, Chef de Partie Mohd Salem Suhaili dan Demi Chef Sawariah Yahya, ketiganya begitu menyenangi ‘ketua’ mereka yang walaupun tegas tetapi apabila masa santai cukup ramah dan ‘happy go lucky’. Dilihat dari personalitinya yang ceria dan mudah mengukir senyuman tidak hairanlah jika Eksekutif Chef Shan cukup disukai oleh pasukan kerjanya.
“Bagi saya sebagai ketua saya perlu mendekati mereka untuk mengetahui potensi setiap individu. Di sini saya perlu memantau prestasi kerja dan kelancaran operasi di dapur hinggalah kepada penyediaan hidangan. Keadaan menjadi makin mencabar apabila ada majlis dan bankuet. Terdapat lebih 50 kakitangan di dapur termasuk ‘cold kitchen’, ‘butchery’, Malay Kitchen dan pastri yang memerlukan bimbingan dan perhatian,
Saya juga perlu memastikan sentiasa ada pembaharuan dalam makanan dengan ciptaan resipi baru dari Chef yang bertugas. Bagi saya dalam cara bekerja tiada kompromi dalam kualiti ,bermula dari pemilihan ramuan yang berkualiti hinggalah kepada penyajian hidangan.
Saya mahukan mereka sentiasa mencuba dan meneroka ilmu baru dalam masakan dan elakkan diri dari berada di zon selesa ‘comfort zone’, rajin belajar, banyak bertanya dan bersedia menerima teguran dan memperbaiki kemahiran dan sikap kerjasama dalam setiap tugasan yang diarahkan,”tegas Chef Shan mengenai cara kerja yang disemai dalam pasukan kerja.
Chef Shan memulakan kerjayanya dari pembantu dapur dan kini sudah 22 tahun dia ‘bergelumang’ dalam bidang ini. Shan mempunyai pengalaman berkerja di Ireland selama empat tahun yang turut memberinya inspirasi menyediakan sajian Eropah ‘with Asian Twist’.
Bagi Wan Kaisa Ibrahim pula banyak meraih pengalaman daripada Chef berbangsa Perancis semasa bertugas di hotel terkemuka sebelum ini. Mempunyai kemahiran penyediaan menu barat (Amerika) dan Eropah terutamanya Perancis mengakui bahawa pengalaman dua tahun belajar dari Chef Perancis banyak mempengaruhi kepakarannya dalam penyediaan makanan.
“Seronoknya bekerja dengan Chef Shan adalah dia mahu kita berfikir lebih dan mencabar diri melaksanakan tugasan. Walau pun masih baru saya sudah diberi tanggung jawab menyediakan masakan Mexico. Segalanya perlu cepat, saya diminta untuk membuat ‘twist taste’ sajian pencuci mulut Perancis tetapi dengan selera Asia ‘Asian Flavour’.
Masuk aje kerja saya juga diberi tanggungjawab untuk menukar menu bufet sarapan. Apabila menu diterima itu sudah dikira saya ‘survive, tetapi Chef Shan tidak akan memuji atau berkata bagus, paling tidak senyumannya sahaja sudah memberi maksud dia bersetuju dengan menu yang dihasilkan,” luah Wan Kaisa mengenai cabaran dan realiti kerjayanya kini.
Demi Chef Sawariah Yahya yang kini bertugas bahagian cold kitchen adalah pekerja yang paling lama bertugas iaitu selama 12 tahun di hotel The Pearl berbanding rakan kerjayanya yang lain. “Saya perlu memimpin ‘anak buah’ membuat hidangan yang terbaik terutamanya dalam bahagian ‘dressing’ salad dan pembuatan sos. Cabarannya bukan sahaja pada ramuan salad dan kerabu yang perlu rangup dan lazat tetapi ‘persembahan’ atau food presentation juga perlu menarik.
Saya juga perlu membuat Salad Cina, salad Western ,Salad Melayu (kerabu) dan tugasan ini memerlukan saya berfikir bagaimana hendak mengadunkan pelbagai jenis bahan yang mencecah hingga 10 bahan,”celah Sawariah yang lebih mesra dikenali sebagai Wawa di kalangan rakan sekerja.
Menurutnya lagi walaupun sudah lama bekerja, tetapi seorang Chef perlu selalu banyak bertanya dan mengikut piawaian hotel dan Chef Shan. Buat Wawa kejayaannya memenangi Pertandingan Mengukir Buah-buahan adalah antara kenangan manis sepanjang kerjaya dalam bidang ini.
Chef De Partier Mohd Salem Suhaili pula walau pun baru bertugas selama dua tahun di hotel The Pearl tetapi pengalaman bekerjanya sudah mencecah sepuluh tahun lamanya. Merangkap tugas Eksekutif Lounge tugasnya adalah untuk memastikan setiap tugasan yang diberikan Eksekutif Shan berjalan lancar oleh semua staf.
“‘Kerjaya Chef ini memakan waktu kerja yang panjang, walaupun ada syif tetapi apabila ada tuntuan majlis atau bankuet , saya perlu bertugas dari tujuh pagi hingga 12 malam. Alhamdulillah kami ada pasukan kerja yang mantap untuk memberi hidangan terbaik buat pengunjung,”akhiri Salem dengan ceria.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Pasti ramai yang gemarkan buah tembikai. Jusnya manis dan lazat. Selain itu, buah ini juga boleh dijadikan salad atau dimakan begitu sahaja. Jika musim panas, memang enak menikmati tembikai kerana kandungan airnya yang banyak mampu menghilangkan dahaga.
foto: jessicainthekitchen.com
Tahukah anda tembikai ni sebenarnya banyak khasiat. Antara manfaatnya ialah:
KHASIAT & MANFAAT BUAH TEMBIKAI
1. KAYA VITAMIN & ZAT
Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain turut mempunyai manfaat yang tinggi dalam perubatan.
2. MAMPU MENYEMBUHKAN MASALAH KESIHATAN
Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris dikatakan amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit.
3. MENURUNKAN TEKANAN DARAH & KAWAL KALORI
Selain itu, antara kebaikan memakan tembikai ialah dapat membantu menurunkan tekanan darah. Ini kerana tembikai kaya dengan kalium. Pengambil setengah biji buah tembikai membolehkan badan manusia memperoleh kira-kira 825 mg kalium, iaitu zat logam penting yang berperanan merendahkan tekanan darah. Kalium juga berfungsi menghalang kolesterol jahat daripada melekat dan menyempitkan pembuluh darah arteri.
4. BANTU CEGAH ASMA
Selain itu, ia juga dikatakan dapat membantu mencegah penyakit asma. Kandungan vitamin C dalam buah tembikai adalah salah satu nutrien yang dapat mencegah penyakit ini dari menyerang.
5. JAGA SISTEM PENGHADAMAN
Tembikai juga dapat membantu penghadaman. Kandungan air dan gentian dalam tembikai dapat membantu mencegah sembelit dan menggalakkan kekerapan untuk saluran penghadaman yang sihat.
Pendek kata, ada pelbagai sebab yang boleh dijadikan alasan mengapa anda perlu memasukkan tembikai ke dalam makanan harian anda. Banyak kebaikannya! Untuk kanak-kanak, biasanya mereka kurang gemar makan buah tembikai dalam bentuk yang biasa. Jadi, anda boleh hasilkan Aiskrim Tembikai di bawah ini untuk memikat selera si kecil.
AISKRIM TEMBIKAI MERAH
BAHAN-BAHAN:
500gm isi tembikai
1 sudu makan jus lemon
115gm gula putih
100gm rasberi segar
Acuan ais krim
Batang ais krim secukupnya
CARA MEMASAK:
Masukkan isi tembikai, jus lemon, gula dan rasberi ke dalam pengisar dan kisar hingga gula hancur dan bertukar lembut.
Masukkan adunan itu ke dalam acuan ais krim dan masukkan batang ais krim.
Setelah itu, sejuk dan bekukan di dalam peti sejuk selama beberapa jam atau semalaman.
Keluarkan dan sedia dinikmati.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Terdapat banyak jenis tepung yang dijual di pasaran. Malah ada diantaranya yang anda sendiri pun tidak pernah jumpa dan guna. Kalau nak tahu, semua tepung-tepung ini mempunyai fungsi serta kegunaanya yang tersendiri. Ada yang sesuai untuk masakan, kuih muih, kek , roti dan sebagainya. Antara yang ada dijual ialah:
JENIS-JENIS TEPUNG DI PASARAN
1. TEPUNG SERBA GUNA
Tepung serbaguna ialah tepung yang sesuai untuk semua jenis masakan.
2. TEPUNG BERPROTEIN TINGGI
Tepung berprotein tinggi sesuai untuk membuat roti kerana tepung ini mempunyai daya menganjalnya agak tinggi membuatkannya lebih sempurna setelah diadun dengan yis. Tepung ini mempunyai tahap gluten yang tinggi.
3. TEPUNG BERPROTEIN RENDAH
Tepung berprotein rendah pula lebih sesuai digunakan untuk membuat kuih pau & roti kukus.
foto: Getty Images
4. TEPUNG GANDUM
Tepung gandum biasa banyak dipasarkan secara komersial dan selalu digunakan dalam aktiviti memasak seharian. Fungsinya sama dengan tepung serbaguna.
5. TEPUNG NAIK SENDIRI/SELF RAISING FLOUR
Tepung naik sendiri ialah tepung yang mengandungi kandungan serbuk penaik serta sedikit soda penaik (baking powder / soda bicarbonate). Sesuai digunakan untuk membuat kek.
6. TEPUNG SUPERFINE atau SOFT FLOUR
Tepung Superfine juga dikenali dengan nama soft flour. Tekstur tepung ini halus seperti tepung naik sendiri tetapi tidak mengandungi bahan penaik didalamnya seperti self raising flour.Tepung ini dikategori dalam tepung low protien.
7. TEPUNG ROSE
Tepung ini mengandungi bahan yang boleh merangupkan biskut . Biskut yang diperbuat dengan menggunakan tepung ini akan menjadi lebih rangup jika dibandingkan dengan biskut yang diperbuat dari tepung gandum.Tepung Rose juga dikenali sebagai Tepung Top dan Tepung cookies.
8. TEPUNG HONG KONG
foto: Cooking With May Lynn/ Youtube
Tepung Hong Kong ialah sejenis tepung yang digunakan untuk membuat pau. Ia juga dikenali dengan nama Water Lily Flour dan berwarna sangat putih.
9. TEPUNG PULUT
Tepung pulut mempunyai rupa seakan tepung beras namun ia mengandungi 100% beras merah asli. Ia kaya dengan vitamin E dan B serta mudah dicerna.
10. TEPUNG WHOLEMEAL
Tepung gandum tulen juga dikenali dengan nama tepung atta. Ia mengandungi serat gandum yang tidak hancur. Tepung ini tidak boleh diayak dan jika digunakan, roti atau muffin yang dihasilkan akan mempunyai tekstur yang agak berat.
11. TEPUNG KASTAD
Selain mewangikan, tepung kastad berfungsi untuk merapatkan tekstur kek. Tepung ini juga menjadi bahan penting dalam penghasilan untuk cream puff dan pudding.
12. TEPUNG UBI
Tepung ubi berfungsi untuk meliatkan adunan dan selalu digunakan dalam penghasilan kuih muih.
13. TEPUNG JAGUNG
foto: thegraciouswife.com
Tepung jagung berfungsi sebagai agen pemekat dan jika digunakan untuk gorengan atau biskut, ia akan menghasilkan bahan gorengan dan biskut yang rangup.
Ada banyak lagi tepung-tepung yang ada dijual di pasaran seperti Tepung Kentang, Tepung Optima dan beberapa lagi yang kita sendiri belum pernah cuba guna. Oleh itu, sebelum membeli, kenal pasti jenis serta kegunaan agar masakan anda menjadi dan tidak tersilap bahan.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Cuba resipi Cha Bang Ang viral dari Thailand yang sedap, segar dan sangat mudah disediakan. Dessert ais popular ini hanya perlukan bahan ringkas. Memang puas hati!