
Akhirnya Warga Asing Dihalang Beli Minyak Masak Bersubsidi, Tapi Kenapa Baru Sekarang? 1 Mac 2026 bakal jadi tarikh penting dalam kalendar rakyat Malaysia, terutamanya mak-mak dapur dan peniaga kecil yang setiap hari bergantung kepada minyak masak bersubsidi untuk kelangsungan hidup dan perniagaan.
Dalam satu kenyataan tegas dan cukup lantang, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, akhirnya mengumumkan larangan rasmi terhadap pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh warga asing. Satu langkah yang bukan hanya ditunggu-tunggu tapi sepatutnya dilaksana sejak dulu lagi!
Tanya saja mana-mana mak cik di pasar pagi, atau peniaga goreng pisang tepi jalan, masalah minyak masak subsidi disapu warga asing ini bukan benda baru. Sudah lama jadi rahsia terbuka.
Dari restoran mamak hingga ke rumah sewa pekerja asing, minyak masak peket bersubsidi ‘lesap’ dari rak pasar raya dengan cepat, meninggalkan rakyat marhaen bergelut cari stok, atau terpaksa beli minyak botol yang lebih mahal.
Langkah yang akan dikuatkuasa di bawah Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 ini memang dialu-alukan. Tapi soalnya, kenapa baru sekarang?
Kita dah lama ada teknologi, dah lama rakyat bersuara, dan kerajaan sendiri dah tahu punca kebocoran. Kenapa perlu tunggu hingga subsidi ‘darah rakyat’ terus ditiris keluar negara sebelum bertindak?
KPDN akan perkenal sistem pengesahan MyKad melalui eCOSS, satu sistem yang hanya lulus pembelian kepada warganegara Malaysia sahaja. Tak ada MyKad? Jangan harap dapat beli minyak subsidi.
Sistem ini sudah diuji di Putrajaya, Johor dan beberapa premis Rahmah Madani sejak Mei 2025. Malah, ia akan disepadukan dengan MyKasih dan SARA untuk pastikan pengagihan lebih tersusun dan adil.
Kuota pembelian 3 paket setiap isi rumah masih diteruskan, satu langkah yang masih relevan, selagi bekalan cukup dan tidak dimonopoli.
Bagi rakyat biasa, ini kemenangan kecil yang besar impaknya. Dengan kawalan ketat dan pelaksanaan sistematik, stok minyak masak dijangka lebih stabil, harga kekal rendah, dan tiada lagi ‘perang’ pagi-pagi di pasaraya semata-mata nak berebut minyak.
Golongan B40, yang paling terkesan dengan kenaikan harga makanan, kini boleh menarik nafas lega. Duit kerajaan yang selama ini terbazir, boleh disalurkan kepada program bantuan lain yang lebih bermakna.
Sudah pasti langkah ini akan mengundang keresahan dari sesetengah pihak, termasuklah ekspatriat, pekerja asing halal dan restoran yang menggunakan khidmat mereka. Tapi realitinya, subsidi ini bukan untuk semua.
Ia adalah untuk rakyat Malaysia, dan langkah ini adalah manifestasi keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat sendiri.
Sebagai suara rakyat dalam dunia makanan dan gaya hidup, RASA menyambut baik langkah warga asing dihalang beli minyak masak bersubsidi ini. Tapi kami juga menyeru agar penguatkuasaan jangan sekadar atas kertas. Pantau betul-betul, jangan bagi ruang pada ‘orang dalam’ yang sanggup jual prinsip demi keuntungan.
Dan yang paling penting, jangan tunggu isu jadi parah baru nak bertindak. Rakyat dah cukup lama sabar. Ini masa untuk jaga hak orang yang berhak.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: