
resipi air tangan mama
RASA sebenarnya terinspirasi dengan perkongsian daripada usahawan terkenal Noor Neelofa Mohd Noor,37 atau lebih dikenali Neelofa ini. Dalam kesibukan kerja dan urusan harian, masih berkesempatan berkongsi beberapa resipi mudah yang sering dimasak untuk anak-anak dan keluarga serta berkongsi video masakan resipi air tangan mamanya.
Kesungguhan ibu kepada 2 orang cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal,4 dan Abdullah Abbas,3 ini, yang lebih gemar membeli barangan dapur, memasak dan menyediakan sendiri hidangan harian keluarga serta makanan kegemaran untuk anak-anak tersayang.
Malah Neelofa juga tak lokek berkongsi resipi dengan pengikut di laman sosialnya. Antara yang pernah dikongsikan seperti cara membuat capati, membuat kentang goreng, grain bar, pasta dan sebagainya. Malah turut membuat nugget, pizza secara homemade selain menggunakan barang-barang segar dan bahan organik.
Selain itu, perkara yang turut mencuri tumpuan RASA berbanding zaman dahulu ramai yang menyalin resipi-resipi istimewa ibu hanya di buku nota peribadi. Seiring perkembangan teknologi, isteri kepada Ustaz Haris Ismail ini juga, sering memuat naik video masakan resipi air tangan ibunya Datin Noor Kartini Noor Mohamed di media sosial.
Baik masakan harian yang cukup mudah disediakan mahupun juadah sesuai untuk hari istimewa. Antaranya seperti Sambal Sardin, Sambal Ikan, Petola Goreng Pedas, Lemak Labu, Kari Ikan, Kengsom, Nasi Ayam dan sebagainya.
Ramai yang terinspirasi cara simpan resipi mak mahupun warisan keluarga dengan cara begini. Bukan sahaja untuk memori bersama yang tersayang malah pastinya anggaran sukatan bahan dan cara memasak juga lebih tepat kerana dapat melihat menerusi video berbanding hanya baca resipi dalam buku nota.
Yang pastinya ia sebagai rujukan Neelofa sendiri serta berkongsi resipi mama beliau bersama followers tersayang.
Semoga perkongsian Neelofa ini menjadi inspirasi buat kita juga yang masih mempunyai ibu atau ayah untuk merakam dan memuat naik video resipi masakan mereka sebagai rujukan nanti.
Apa pun, Neelofa mewakili antara jutaan ibu-ibu lain di dunia yang juga memasak dan mahu berikan hidangan terbaik untuk anak-anak dan keluarga. Berkat air tangan ibu, meskipun hidangan yang disediakan adalah menu ringkas namun cukup membuka selera.
Ini kerana apa yang ibu masak dan sediakan untuk anak-anak serta keluarga pastinya terjamin kebersihannya, dimasak dengan penuh kasih sayang beserta iringan doa semoga rezeki yang dinikmati menjadi darah daging yang halal dan berkat. Malah, keberkatan air tangan ibu pastinya adalah yang terbaik untuk anak-anak.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: