
periuk stainless steel
Periuk atau kuali stainless steel antara material perkakas dapur yang selamat digunakan dan menjadi pilihan ramai kerana tahan lama serta mudah dijaga. Namun, apabila kerap digunakan setiap hari, permukaannya boleh menjadi kusam, tidak lagi berkilat dan muncul kesan tompokan air, kesan hangus serta kotoran degil yang sukar ditanggalkan.
Jika di dapur ada menggunakan periuk jenis stainless steel, jangan risau kerana ada cara mudah untuk mengembalikan kilat asalnya hanya menggunakan cuka. Kaedah semula jadi ini sangat berkesan untuk membantu membersihkan kesan tompokan air, kesan hangus dan kotoran degil tanpa perlu menggunakan bahan pencuci mahal.
Cuka putih memang terkenal sebagai bahan pembersih semula jadi yang sangat efektif. Kandungan asid ringan di dalam cuka mampu membantu melarutkan kesan mineral, minyak dan kotoran yang melekat pada permukaan periuk stainless steel.
Selain mudah digunakan, cara ini juga lebih selamat kerana tidak menggunakan bahan kimia yang keras. Malah, ia membantu mengekalkan permukaan periuk supaya terus berkilat dan tahan lama.
Mula-mula, masukkan setengah cawan cuka putih ke dalam periuk atau kuali stainless steel yang ingin dibersihkan.
Kemudian campurkan dengan air menggunakan nisbah yang sama iaitu 1:1. Campuran ini membantu menanggalkan kesan kotoran dengan lebih mudah.
Selepas itu, panaskan campuran cuka dan air tersebut untuk beberapa minit. Namun jangan biarkan ia mendidih terlalu lama. Apabila sudah sedikit panas, tutup api dan biarkan ia sejuk terlebih dahulu sebelum dicuci menggunakan sabun seperti biasa.
Paling penting, jangan sesekali menggunakan berus dawai besi ketika mencuci periuk stainless steel kerana ia boleh menyebabkan permukaan tercalar dan hilang kilat asalnya.
Selepas selesai mencuci, lap periuk menggunakan kain bersih dan kering. Langkah ini penting bagi mengelakkan kesan tompokan air atau water spots muncul semula pada permukaan periuk.
Siap! Dengan cara mudah ini, periuk stainless steel yang kusam tadi kembali bersinar dan lebih bersih. Segala kesan tompokan air, kotoran degil dan kesan hangus juga dapat dikurangkan dengan lebih mudah.
Tip ini sangat sesuai diamalkan secara berkala supaya perkakas dapur sentiasa nampak bersih, cantik dan tahan lebih lama.
Selamat mencuba!
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: