Buah-buahan sangat enak dan berkhasiat namun jangka hayatnya tidak panjang dan tidak mampu kekal segar dalam jangka masa yang lama. Buah seperti Blueberi atau Beri Biru adalah salah satu buah yang menjadi kegemaran ramai dek kerana khasiatnya yang tinggi serta rasa yang enak.
Namun buah kecil ini ada musimnya dan tidak selalu ada. Maklumlah ia diimport dari luar negara.
Walaupun tidak ditanam di Malaysia namun ia tidak bermakna rakyat negra ini tidak berpeluang untuk merasa dan menikmati keenakan serta kebaikan buah istimewa ini.
Tidak perlu menunggu musim blueberi untuk merasai kebaikannya kerana U.S Highbush Blueberry Council Malaysia menerusi kempen #GrabABoostofBlue akan sentiasa memastikan rakyat Malaysia boleh menikmati buah ini dengan mudah sepanjang tahun.
Didatangkan dalam bentuk sejuk beku (frozen), kering dan serbuk, buah Beri Biru ini boleh dinikmati dengan pelbagai hidangan kegemaran anda.
Ads
Sebagai contoh, Beri Biru sejuk beku boleh dijadikan sebagai pencuci mulut atau minuman sihat yang enak. Beri Biru kering pula boleh dijadikan sebagai snek sihat ketika menonton tv atau dinikmati bersama bijirin sarapan. Malah serbuk Beri Biru juga sesuai ditambah dalam minuman, topping kek dan bermacam-macam lagi. Terpulang pada kreativiti anda!
Buah kecil ini kaya dengan antioksidan, vitamin C dan A yang membantu badan supaya lebih sihat dan terhindar dari radikal bebas yang merosakkan sel serta tisu badan. Malah ia juga dikatakan membantu menurunkan tekanan darah tinggi, menghindarkan penyakit, baik untuk mata dan bermacam-macam lagi.
Bagusnya buah Beri Biru ni! Jadi nikmatilah kebaikan dan khasiat yang terkandung dalam buah ini setiap masa tanpa perlu risau lagi. Dapatkannya di pasaraya besar berdekatan anda dan mulakan hari anda dengan lebih sihat dan ceria.
Ads
Ads
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Khabar pemergian Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali menghadap Ilahi awal pagi hari ini membuatkan ramai terkejut. Berita sedih buat kami.
Beliau amat dekat di hati kami karyawan Majalah Rasa kerana dahulu ketika di bawah Grup Majalah Karangkraf dia adalah antara ketua yang menjadi rujukan kami. Malah setelah tidak lagi sebumbung, beliau tetap bertanya khabar, mengambil tahu tentang kami.
Berita pemergiannya telah disahkan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dalam Twitter beliau. Menurutnya, setakat jam 7.08 pagi, jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan akan dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Semoga sahabatku Dtk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang.
“Semoga sahabatku Datuk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang,” katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.
Berusia 66 tahun, berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Beliau juga ialah Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.
Tulisannya Sangat Digemari
Kehebatannya dalam bidang penulisan sememangnya tidak perlu dipertikaikan. Professionalismenya dalam profesion ini sangat disanjung, dihormati dan disegani. Tulisannya sentiasa mampu ‘menangkap’ perhatian. Dari isu politik, ekonomi, kemasyaraktan hinggalah kepada penulisan santai yang ringan, mesej yang disampaikan sangat tajam, padat dan tepat. Malah dalam penulisan yang lucu juga pasti terselit sindiran penuh pengajaran. Tidak keras , tidak menimbulkan amarah.
Lalu tidak hairanlah tulisannya sentiasa dinantikan. Cerita tentang kisah keluarga di Majalah Keluarga membuatkan ramai pembaca tidak sabar untuk menunggu untuk kisah bulan hadapannya. Belum lagi kisah pengantin baru dalam kolum yang dikendalikannya di Majalah Pesona Pengantin. Pasti membuatkan pengantin baru dan pengantin lama tersipu-sipu dan senyum sendirian. Malah sering kami yang membaca beramai-ramai berderai tawa kerana baris ayat yang dicoret sentiasa mencuit hati.
Koleksi Buku Tentang Kehidupan & Motivasi
Dalam kesibukan tugasnya, beliau juga sempat menghasilkan beberapa buku tentang kehidupan dan motivasi. Juga dari koleksi artikel yang disiarkan dalam kolum khasnya di beberapa majalah. Antara buku-buku tulisannya adalah Asam, Garam, Kopi & Gula. Kopi O Tanpa Gula, Teh Tarik Kurang Manis dan Dari Menara KL serta Asam Pedas Sirap Bandung,sebuah buku motivasi.
Melihat buku-bukunya, nama-nama makanan menjadi tajuk yang menarik. Ya itulah kehidupan. Ibarat makanan yang kita ambil saban hari. Setiap rasa ada cerita dan kisahnya. Pendekatan mudah ini nyata mudah diterima oleh pembaca.
Beliau juga sangat dekat dihati setiap kakitangan di Karangkraf. Seorang ketua, mentor dan sifu yang sangat disenangi. Sangat disayangi. Yang sentiasa punya jawapan dan jalan penyelesaian dalam setiap masalah terutama dalam penulisan. Ideanya sentiasa mencurah, nasihat dan ceritanya pasti membuatkan ramai kakitangan merasa sangat selesa kala berbicara dengannya.
Setiap kakitangan disapa dengan mesra. Bertanya khabar bukan sahaja tentang kerja, malah tentang kehidupan dan keluarga juga. Sambil pasti memberi nasihat dan ingatan. Pasti selalu dalam berbicara akan juga diingatkan kami, agar selalu jaga ibu ayah, jaga keluarga, jaga isteri, jaga suami , jaga anak-anak. Jasa dan budi baiknya akan sentiasan kami hargai. Kebaikan, nasihat dan perkongsian ilmunya akan tetap kami kenang.
Doa kami semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah. – Ida Abd Aziz – Editor Pengurusan
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Masakan dari air tangan sendiri pasti tak sama dengan yang dibeli. Mulanya mungkin tidak mahir namun kelamaan masakan pasti menjadi dan boleh sediakan hidangan yang enak buat keluarga.
Begitulah hasrat Yatie Kitchen, sosok yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia masakan, melancarkan Buku Resipi dan Tip Masakan Edisi 5. Dia berharap dengan adanya buku ini, dapat dijadikan panduan bila memasak. Kering idea nak memasak, buku ini boleh dimanfaatkan bersama.
Yatie menghasilkan beberapa edisi buku resipi dan tip untuk dikongsi bersama anak-anak dan juga follower.
Sudah lima tahun berlalu,perjalanan menulis buku resepi ini bermula dari tahun 2018 hingga 2022. Ini merupakan tahun ke lima Buku Resipi dan Tips Masakan Yatiekitchen dikeluarkan.
Baru-baru ketika majlis ramah mesra dengan penulis ini menyampaikan rasa terharu dengan mereka yang menyokong selama ini. Ribuan terima kasih diucapkan buat mereka yang tidak pernah jemu bertanya tentang masakan dan tip.
“Buku masakan ni ada gambar begini untuk kemudahan pembantu rumah saya yang buta huruf, jadi mudah baginya menyediakan bahan-bahan masakan,” jelas Yatie.
Tambahnya, setiap resipi pada setiap naskhah buku adalah berbeza-beza dan resipi yang dikongsikan di setiap buku resipi ini adalah curahan kasih sayangnya.
“Saya dedikasi buku resipi ini pada ketiga-tiga anak iaitu Danish, Dina dan Dinda. Simpanlah dan gunakanlah sebaik mungkin, jangan kedekut dengan ilmu yang kita peroleh kerana ilmu tidak boleh dibawa mati.
Buku ini juga restu dari suami, dia menjadi juri setiap kali saya memasak, Alhamdulillah saya lulus pada setiap kali saya menghidangkan masakan saya pada suami,”jelasnya.
Buat mereka yang memiliki kesemua koleksi Buku Resipi Yatie Kitchen, pesannya masaklah dengan penuh kasih sayang. Kerana masak dari air tangan sendiri memberi keutuhan rumah tangga dan pengerat kasih sayang.
Salah satu tip nak buat Mi Kari sedap, cuba letak sedikit udang kering dan santan juga perlu letak banyak supaya kuah pekat. Barulah laju masing-masing menambah makan nanti.