Hilangkan Bau Peti Sejuk Dengan 7 Bahan Dapur Ini

Share

Pelbagai makanan dan minuman yang tersimpan lama di dalam peti sejuk boleh menyebabkan peti sejuk berbau. Anda boleh saja menghilangkan bau yang kurang menyenangkan ini dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di dapur. Mudah dan jimat! Anda boleh cuba nanti.

Baking Soda

Baking soda boleh menyerap bau kurang menyenangkan di dalam peti sejuk. Mudah saja caranya. Anda hanya perlu tuangkan baking soda ke dalam mangkuk kecil dan letakkan di bahagian belakang peti sejuk. Jangan lupa tukarkannya setiap tiga bulan sekali.

Cuka

Rasa masam cuka mampu menuetralkan bau busuk peti sejuk. Caranya, anda hanya perlu masukkan 3 sudu makan cuka dan 3 sudu makan air suam ke dalam botol semburan. Setelah sebati, semburkan cairan tersebut di dalam peti sejuk yang telah dikosongkan terlebih dahulu. Setelah bau hilang, bersihkan peti sejuk.

Serbuk Kopi

Serbuk kopi adalah agen penyerap bau yang berkesan. Semangkuk kecil serbuk kopi yang diletakkan di bahagian paling dalam peti sejuk mampu menghilangkan bau degil peti sejuk. Biarkan selama 24 jam dalam peti sejuk, insyaAllah bau kurang menyenangkan akan hilang dalam beberapa hari.

Ekstrak Vanilla

Selain sebagai bahan tambahan untuk membuat kuih, ekstrak vanilla juga boleh menghilangkan bau peti sejuk. Caranya, anda hanya perlu campurkan vanilla cair atau serbuk dengan air. Kemudian, celupkan bebola kapas ke dalam cairan tersebut dan letakkannya di dalam peti sejuk. Bau semerbak dari vanilla akan lebih kuat dari bau busuk peti sejuk.

Lemon

Buah ini juga boleh digunakan sebagai penghilang bau degil dalam peti sejuk. Cukup sekadar meletakkan beberapa hirisan lemon dalam peti sejuk dan biarkan beberapa hari. Pastikan lemon ditukar sebelum ia kering. Bau busuk dalam peti sejuk bertukar dengan aroma lemon yang lebih segar.

Cengkih

Rempah ini ada dalam kebanyakan dapur anda. Selain digunakan sebagai pembangkit aroma masakan, bunga cengkih yang halus ini juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau peti sejuk. Ambil beberapa kuntum bunga cengkih dan letakkan dalam peti sejuk. Pasti peti sejuk anda akan bebas dari sebarang bau kurang menyenangkan.

Arang

Kalau anda ada arang, boleh gunakannya untuk menyah bau kurang menyenangkan. Masukkan beberapa ketul kecil arang dalam peti sejuk. Biarkan selama 5-7 hari, bau tersebut akan hilang.

 

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official:

 

 

 

IKLAN