Lauk pauk kali ini resipi warisan keluarga Maliza Ghani, pemilik Manisa Cafe di Accentra Glenmarie, Shah Alam ini. Dimakan pula dengan Nasi Beringin sajian Johon yang cukup popular, perrgh memang ‘terangkatlah’. Memang sesuai sangat dimasak untuk tetamu datang beraya.

 Cukup berperisa, dan cukup rempah ratusnya. Jom cuba menu ini…

1. NASI BERINGIN

 

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kg beras basmathi | direndam setengah jam terlebih dahulu
  • 2 biji bawang besar | dimayang
  • 2 ulas bawang putih | dimayang
  • 4 sm halia | ditumbuk
  • 5 batang serai | diketuk
  • 2 helai daun pandan | disimpul
  • 1 biji kelapa | ambil santannya
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3 biji bunga lawang
  • 5 tangkai bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 helai daun pandan
  • 1/4 cawan minyak masak
  • 2 sudu minyak sapi
  • 1 liter air
  • Beberapa titik pewarna kuning @serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :
1. Bersihkan beras dan rendamkan sekurang-kurangnya setengah jam. Toskan.
2. Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam kuali dan tumiskan rempah empat sekawan (bunga lawang, kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih) bersama bawang besar, bawang putih dan halia hingga naik bau.
3. Masukkan pula serai.
4. Kemudian sediakan periuk nasi dan masukkan beras basmathi yang telah ditoskan bersama bahan tumisan tadi.
5. Kemudian masukkan santan dan air dan masukkan air.
6. Masukkan pewarna atau serbuk kunyit dan pewarna atau serbuk kunyit.
7. Masukkan garam secukup rasa. Biarkan mendidih dan apabila hampir kering, tutup periuk dan kecilkan api.
8. Biarkan ia masak dan kacau sekali.
9. Taburkan bawang goreng sebelum dihidang.

Saiz hidangan : 10 orang
Masa memasak : 30 minit
Keistimewaan : Rasa lemak dan rempah ratus beraroma yang wangi

INFO : Anda boleh juga menambah daun pudina untuk rasa yang lebih lazat dan berperisa.

2.AYAM MASAK MERAH

 

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ekor ayam | digoreng setengah masak (sudah dipotong beberapa bahagian)
  • 2 sudu makan tomato puri
  • 2 sudu makan sos tomato
  • 2 biji tomato belah empat
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Minyak masak untuk menumis

BAHAN DIKISAR :

  • 10 tangkai cili kering | rebus sebentar baru kisar
  • 5 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 2.5 sm halia

CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan dikisar. Tumis hingga wangi dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan tomato puri dan sos tomato, kacau sebati.
3. Masukkan ayam yang telah digoreng setengah masak tadi (yang telah digaul garam dan serbuk kunyit.
4 .Kecilkan api dan balik-balikkan dan perisakan dengan garam dan gula secukup rasa, dan biarkan ayam masak.
5. Lauk siap dihidang.

Saiz hidangan : 6-7 orang
Masa memasak : 30 minit
Keistimewaan : Rasa masam manis dan pedas yang lazat

INFO : Anda boleh menambah kacang peas hijau jika suka, tapi bahan ini opsyenal sahaja. Sedap dimakan dengan nasi minyak, tomato dan nasi impit.

3. AYAM BAKAR TIKKA

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ekor ayam | dikukus atau rebus dengan garam dan kunyit selama 20 minit
  • 1/2 sudu makan asam jawa | campur sedikit air
  • 1/2 biji gula Melaka
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk memasak

BAHAN DIKISAR :

  • 10 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2.5 sm halia
  • 6 tangkai cili kering | direbus sebentar baru dikisar

CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau..
2. Masukkan gula Melaka, asam jawa dan garam secukup rasa. Ketepikan
3. Susun ayam yang direbus (dipotong beberapa bahagian) atas pemanggang yang arangnya sudah dinyalakan dan tersedia.
4. Panggang atau bakar ayam sambil sapukan / siramkan dengan bahan tumisan.

Saiz hidangan : 6-7 orang
Masa memasak : 30 minit
Keistimewaan : Rasa masam manis dan pedas yang lazat

INFO : Bakar hingga 7-8 minit setiap bahagian dan balik-balikan. Ayam bakar tikka adalah menu berasal dari India yang sangat popular.

4. AYAM GORENG BEREMPAH

 

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ekor ayam | dipotong beberapa bahagian
  • 3 sudu makan rempah kari | campur sedikit air jadikan pes
  • 1 sudu teh serbuk cili
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
  • Beberapa helai daun kari

BAHAN DIKISAR :

  • 2.5 sm halia
  • 2 ulas bawang putih

CARA MEMASAK :
1. Gaulkan ayam dengan bahan-bahan dikisar bersama serbuk cili, kunyit dan garam secukup rasa. Perap selama 30 minit.
2. Perasakan dengan garam secukup rasa.
3. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga masak.

Saiz hidangan : 6-7 orang
Masa memasak : 30 minit
Keistimewaan : Enak dengan rasa ayam yang kaya dengan rasa rempah

INFO : Biarkan ayam diperap sekurang-kurangnya 30 minit atau lebih supaya rempahnya sebati dan meresap ke daging.

5. DAGING DENDENG HITAM

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kg daging batang pinang | digoreng dan diketuk terlebih dahulu
  • 1 cawan kicap manis
  • 1 biji buah pala | ditumbuk
  • 3 biji buah keras | ditumbuk
  • 2 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1 sudu teh serbuk jintan manis
  • 4 biji pelaga
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 tangkai bunga cengkih
  • 1 batang kulit kayu manis

Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

BAHAN DIKISAR :

  • 7 tangkai cili kering | direbus dahulu sebelum mesin
  • 2 biji bawang besar
  • 3 sm halia
  • 3 ulas bawang putih

CARA MEMASAK :
1. Hiris daging sederhana tebal.
2. Rebus daging dengan sedikit air.
3. Tos daging dan tumbuk atau ketuk hirisan daging hingga leper dan bertekstur halus
4. Kemudian goreng dan ketepikan sebentar.
5. Panaskan minyak tumis bahan kisar dengan rempah empat sekawan (kulit kayu manis, pelaga,cengkih dan bunga lawang). Tumis hingga naik bau dan pecah minyak.
6. Masukkan buah pala, buah keras dan serbuk jintan manis. Kacau sebati
7. Masukkan daging dan kicap manis. Kecilkan api dan biarkan daging mereneh dan sebati dengan semua bahan-bahan di dalam kuali.
8. Perasakan dengan garam dan gula
9. Sajian siap dihidang

Saiz hidangan : 6-7 orang
Masa memasak : 30 minit
Keistimewaan : Daging dimasak hingga empuk dan lembut dan kaya dengan rasa kicap lemak manis berempah

INFO : Jika suka daging yang sudah direbus juga boleh diperap dengan kicap manis selama setengah jam untuk rasa kicap yang lebih sebati. Pastikan setiap hirisan daging diketuk hingga teksur halus dan lembut.

TERIMA KASIH : Manisa Cafe, 16, Jalan Presiden F U1/F, Accentra Glenmarie, Shah Alam, Selangor. FB :manisacatering, IG:manisa_catering