Konsep dapur terbuka di restoran amalan Hotel New World Petaling Jaya memang sungguh ‘wow’ dan memberikan pengalaman menarik buat pengunjung. Memasuki ke kawasan dapur yang luas di Pasar Baru pelanggan dapat melihat aksi chef memasak secara ‘live’ di dapur yang terbuka.

Aroma masakan India dengan aksi Chef menebar roti di dapur sajian India, dan lambungan mi dan ‘goyangan’ kuali wok oleh Chef di dapur masakan Cina serta rempah ratus yang berdesir ditumis Chef dapur Melayu tiba-tiba terasa macam menyaksikan program realiti masakan di tv pulak.

Makanan dihidang segar terus menerus dari dapur . Inilah kelebihan dan kepakaran Chef di hotel ini. Ketua pasukan dapur di sini adalah Chef berkredibiliti Eksekutif Chef Alexander Chong, 45 tahun yang mengetuai sejumlah 65 Chef yang bertugas di hotel ini.

Banyak ilham dan inspirasi menu di Pasar Baru digerakkan oleh kebijaksanaan Chef yang mesra dipanggil Alex ini. Mempunyai pengalaman lebih 23 tahun di bidang kulinari hotel, sebelum ini dia bekerja di Hotel New World di Dalian , China selama 3 tahun. Dia juga pernah bekerja di hotel di Filipina dan Hong Kong.

“Walaupun saya belum setahun di hotel ini, tetapi menjadi misi saya menjadikan sajian Malaysia setanding dan popular di peringkat antarabangsa. Saya perlu mahu mencapai ‘brand standard’ dan piawaian yang ditetapkan ibu pejabat rangkaian NewWorld Hotel di China.

Jika anda lihat di Pasar Baru ini, konsep terbuka sebegini memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba dan merasa masakan yang disediakan. Ia menarik minat dan kepercayaan pelanggan dapat melihat sendiri suasana bersih dapur dan bahan segar yang disediakan.

Saya perlu menilai di mana kekuatan dan kelemahan setiap individu chef itu dan memperbaiki dan mencungkil kelebihan yang boleh ditonjolkan oleh setiap staf,” cerita Chef Alex sambil berpesan bahawa setiap Chef perlu berbangga dengan kerjaya mereka kerana terlibat dalam kerjaya yang paling popular di merata dunia.

Bagi Sous Chef Sureshkumar Chandrasekharan Nair, 39 tahun, pengalaman kerja selama 21 tahun di dapur hotel dengan lima darinya hotel di India menjadi ‘aset’ memantapkan dapur sajian India di hotel ini. Air tangan hidangan yang disediakan cukup autentik dengan rempah ratus yang ada di antaranya di import dari India.

Malahan dia turut menyediakan peralatan dapur dan bekas periuk serta pinggan mangkuk bermotifkan budaya India, bagi menarik selera pelanggan terhadap hidangan India yang disajikannya.

Di India terdapat 29 wilayah yang memberi pelbagai warna dan rasa dalam sajian mereka. Bahagian utara dan selatan mempunyai ciri dan rasa yang berbeza mengikut tradisi dan kesukaan rakyat setempat. Jika di India penggunaan rempah ratusnya lebih ‘kuat’, tetapi masakan India negara ini pula rempah ratusnya lebih ‘mild’ dan dikurangkan penggunaan rempah ratusnya, ujar Sureshkumar mengenai keunikan hidangan India.

Chef Aleif Aldrin, 39 tahun, adalah di antara staff terbaru menyertai Hotel New World. Tapisudah pun memiliki 20 tahun pengalaman bekerja dalam kulinari perhotelan. Memulakan kerjaya sebagai pembantu dapur, dia kini Chef De Partie yang bertanggungjawab memastikan kos barang-barang tidak melangkaui bajet yang disediakan.

Bertugas di dapur sajian Melayu, katanya, “Masakan Melayu perlulah betul-betul asli barulah ia menjadi tarikan. Seorang Chef kena menerokai masakan Melayu di setiap negeri agar pengetahuan masakannya lebih meluas dan kepakaran tidak terikat dengan satu negeri sahaja.

Kita perlu mengkaji apakah kelebihan setiap masakan di pantai timur, utara, dan selatan. Cuba menggunakan bahan baru contohnya masakan asam pedas ikan memang popular , kenapa tidak kita cuba cipta dan popularkan menu asam pedas ekor lembu pula,” ujarnya dengan penuh semangat

Bagi Senior Chef De Partie, Nazrin Syazwan Roslan, 25 dan rakan sebayanya Demi Chef De Partie Muhammad Afiq masih banyak lagi yang mahu diterokai dan dipelajari oleh mereka untuk menjadi Chef yang terbaik. Keduanya beruntung dikelilingi dengan Chef Senior dan ketua yang luas pengalaman seperti Chef Alex .

Walau masih muda Chef Nazrin si bujang yang tampan orangnya telah pun mengumpul pengalaman merantau dan bertugas di dapur kapal pelayaran mewah “World Cruise”. Pengalaman merantau ke Hong Kong, China, Jepun digunakan sebaiknya untuk merasai dan mengkaji hidangan unik negara yang dilawati.

Bekerja di kapal yang mempunyai pelanggan dari pelbagai negara antarabangsa memberi pendedahan dalam sajian barat, Mediterranean dan luar negara. Di usia muda begini , dia sudah pun meraih pengalaman bekerja selama dua tahun di Arab Saudi.

Minat yang mendalam dan suka belajar masakan baru perlu ada diri seorang Chef. Prinsip hidup saya manusia memang tidak akan berhenti makan selagi hidup jadi kami yang bertugas dalam bidang kulianari inilah yang perlu menjaga kualiti makanan agar pelanggan terus berpuas hati dengan masakan yang dihidang,” ujar pemuda berdarah kacukan Arab ini.

Bagi rakan seusianya Chef Muhammad Afiq pula menganggap kerjaya Chef memberi kelebihan kerana selain masakan Melayu dia berpeluang mengasah bakat dalam masakan Jepun, Perancis dan masakan barat yang lain. Hubungan baik yang kuat terjalin dalam rakan sepasukan dan ketuanya Chef Alex yang sentiasa menjadi ‘role model’ membakar semangat untuk terus memantapkan kerjayanya.

Mula bekerja sebagai pekerja sambilan semasa tingkatan 4, menyebabkan dia masak benar dengan sistem kerja di perhotelan dan gigih berusaha mencapai ‘standard’ yang dikehendaki oleh pihak pengurusan. “Saya bangga dapat berkerja dalam pasukan yang saling bekerjasama, bekerja dengan team berlainan bangsa,  kita kan satu Malaysia kepelbagaian ilmu masakan setiap kaum itu menjadi satukelebihan dalam bidang kulinari ini,” ujarnya tersenyum bangga.

Apa lagi jom kita ke sini, rasa sendiri air tangan Chef-chef di sini.

Komen anda