Bila menikmati makanan laut, pasti makanan bercengkerang seperti kerang dan lala menjadi pilihan. Masakan yang disukai sama ada dibakar atau direbus. Kedua-duanya enak tambah pula makan di tepian pantai. Berselera sungguh makan dengan menu enak sebegini. RASA kongsi resipi makanan bercengkerang untuk anda cuba nanti.

SAMBAL KERANG TUMIS CEKUR

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm isi kerang
  • 1cm daun cekur
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1cm halia
  • 5 tangkai cili kering
  • 100ml air asam jawa
  • 1 sudu teh gula perang
  • 4 sudu teh minyak
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Kisar bawang merah, bawang putih, serai, halia, cili kering bersama air asam jawa.
  2. Tumis bahan tadi dalam minyak yang panas sehingga naik bau. Selepas itu, masukkan daun cekur ke dalam masakan tadi.
  3. Biarkan selama 9-12 minit. Selepas itu, masukkan isi kerang dan kacau seketika. Jangan terlalu lama.
  4. Biarkan ia masak dan hidangkan bersama nasi panas.

 

KERANG AIR ASAM 

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg kerang
  • 5 ulas bawang putih
  • 6-7 biji cili api (ikut tahap kepedasan masing-masing)
  • 1 1/2 keping kecil gula kabung / gula melaka
  • 1 sudu kecil pes asam jawa adabi | dibancuh dengan 2 sudu besar air panas (boleh tambah jika suka masam)
  • 1 sudu kecil garam halus
  • 2 biji limau nipis | dipotong (perah & kulit digaul sekali)
  • 1 biji tomato | dipotong mengikut citarasa anda

CARA MEMASAK:

1. Bersihkan kulit kerang, rebus hingga masak dan buang separuh kulitnya. Ketepikan.

2. Tumbuk cili padi, bawang putih, gula kabung dan tomato hingga separa lumat.

3. Masukkan air asam jawa. Sebatikan.

4. Perah jus limau nipis. Masukkan sekali dengan kulit limau.

5. Perasakan dengan garam secukupnya. Gaul rata.

6. Setelah semua bahan sebati, tuang sos di dalam mangkuk berisi ke kerang tadi. Gaul rata.

7. Sedia untuk dinikmati.

Kredit gambar & resipi: FB Mut Tam

 

LALA MASAK ASAM REBUS 

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm lala | dibersihkan
  • 2 biji bawang merah | dihiris nipis
  • 2 biji cili merah | dihiris nipis
  • 4 biji cili padi | dihiris nipis
  • 1 batang serai | dihiris nipis
  • 2cm lengkuas
  • 2cm halia
  • 1 tangkai daun kesum
  • 1 kuntum bunga kantan | dibelah dua
  • 1 cawan air asam jawa
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 2cm kunyit
  • 4 biji cili padi
  • 5 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit belacan

CARA MEMASAK:

1.    Didihkan air dan masukkan bahan hiris dan juga bahan yang dikisar. Gaul rata.

2.    Kemudian masukkan air asam jawa, daun kesum, bunga kantan dan lala. Biar sehingga lala masak.

3.    Setelah mendidih, perasakan dengan garam dan gula dengan secukupnya.

4.    Angkat dan hidangkan.

KERANG GORENG KUNYIT SERAI 

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm kerang | bersih dan tos
  • 1biji bawang besar | hiris
  • 2 batang serai | kisar
  • 3 ulas bawang putih | kisar
  • 6 tangkai cili padi merah | kisar
  • 2sm halia | kisar
  • 1 helai daun kunyit
  • 1 helai daun limau purut
  • 1 keping asam gelugur
  • ½ cawan susu cair
  • Garam, gula dan perasa secukupnya
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

1.    Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan hiris hingga naik bau dan pecah minyak.

2.    Masukkan kerang, asam keping, daun limau purut dan kunyit.

3.    Kemudian masukkan susu cair diikuti garam, gula dan perasa secukupnya.

4.    Siap dihidangkan.

 

LALA GORENG CILI PADI 

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm lala | dibersihkan
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 biji cili padi
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 50ml air
  • 1 batang bunga kantan
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

1.    Bawang putih, cili padi dan bunga kantan diracik halus. Ketepikan.
2.    Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga garing kekuningan.
3.    Masukkan cili padi dan bunga kantan.  Tumis sehingga wangi.
4.    Tambahkan sos tiram, air dan lala. Kacau sehingga lala kelihatan masak.
5.    Ubah suai rasa dengan menambah garam dan gula mengikut cita rasa anda.
6.    Sedia untuk dihidangkan.