Setengah orang panggil masak cuka ada yang panggil jeruk ikan apa pun selera dimakan dengan nasi panas-panas . Masakan ni kan masak hari ni esok makan lagi sedap.Nak buat pun senang ja.
Bahan-bahan:
2-3 ketul isi ikan ketul (sedap kalau ikan tenggiri atau ikan merah).
10 ulas bawang merah (pilih ulas yang halus)
5 ulas bawang putih
6 biji cili padi
1 camca biji sawi ( mesti ada yang tak kenai)
sikit halia
2 camca cuka makan
Garam & gula secukup rasa
Sikit minyak untuk menumis.
Cara memasak:
1.Ikan digaul sikit kunyit dan garam kemudian goreng.jangan garing sangat.
2.Ambik periuk letak sikit minyak, bila panas tumis biji sawi.
3.Masuk bawang merah dan putih
4.Masuk 1/2 cawan air.
5.Masuk cuka,garam, gula
6. Masukkan cili padi
7.Biar sekejap dan angkat. Sedia untuk dihidang.
Kredit resipi: Resepi Orang Kampung
MENCARI PERIUK NASI BARU, BOLEH BELI DI SINI.
INGIN MENCARI PRESSURE COOKER DENGAN PELBAGAI PILIHAN MENARIK. JOM LAYARI DI SINI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Keenakan Masakan Puan Sri Nisa Dapat Liputan TV Sepanyol. Jom Cuba Dua Resipi Best Ni!
Puan Sri Shariffa Nisa Bakri kelihatan anggun mengenakan kebaya labuh rona merah jambu menyambut ketibaan kami dengan ramah ditemani Dato’ Azlin. Terdetik di hati sudahlah cantik pandai pula memasak. Sebelum ini hanya mendengar cerita dan menonton Puan Sri memasak di dalam satu program TV sahaja. Namun tanpa disangka kami bertuah dapat melihat dan menjamah masakan dari air tangan beliau yang khabarnya akan menyediakan dua menu, iaitu Kari Ikan Masin Kurau Dengan Udang dan Asam Pedas Ikan Tenggiri Ala Nyonya.
Memandangkan Puan Sri Nisa sudah siap berdandan, kami terus sahaja memulakan sesi fotografi di ruang tamu sambil beliau bercerita mengenai bukunya ‘I am Not A Chef’ dan pes kari dan asam pedas yang diformulasikan sendiri oleh beliau dan kini ada dijual di beberapa pasar raya terpilih.
Selesai fotografi, Puan Sri Nisa segera ke tingkat atas untuk menukar pakaian sebelum masuk dapur untuk memasak. Selang beberapa minit, beliau turun dengan gaya kasual yang cukup santai namun tetap cantik dengan gaya sederhana itu.
“Usah bimbang saya masak tak lama. Semua bahan sudah siap tinggal masak saja tak sampai setengah jam boleh siap dan kita boleh terus rasa masakan saya ini,” ujar Puan Sri sambil memberikan tip menjadikan memasak sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan.
Tidak sampai 30 minit, dua masakan yang dimasak menggunakan pes kari dan pes asam pedas siap dimasak oleh Puan Sri dan terus dihidangkan panas-panas di meja makan sambil mempelawa kami menjamah masakannya itu. Ternyata ia tidak mengecewakan sedap dan menyelerakan.
MINAT MEMASAK
Sambil menikmati hidangan, Puan Sri Nisa bercerita tentang minat beliau yang suka memasak dan tanpa disangka minat itu terus berkembang dan kini membuka peluang bisnes pula.
“Minat memasak tu memang sejak daripada kecil, bila remaja saya luaskan pengalaman dengan belajar memasak berpandukan buku resipi. Rujukan pertama saya adalah buku resipi chef Wan, bila sekali masak menjadi, keterujaan untuk memasak itu semakin kuat. Hingga bila anda rakan-rakan suruh masak, saya tidak membantah sebaliknya seronok memasak untuk mereka.
Keseronokan itulah yang mendorong saya untuk mencuba lebih banyak resipi baru dan cuba mengolah semula sebahagian resipi mengikut selera. Bila sudah berkeluarga, saya menjadi lebih cerewet terutama dalam soal apa yang mahu dimasak. Sekarang menyediakan makanan sihat dan sedap adalah keutamaan saya,” ujar beliau lagi.
SERONOK DI DAPUR
Selain seronok memasak, Puan Sri Nisa juga mengakui bahawa makanan adalah agen mengeratkan hubungan dan kasih sayang keluarga kekeluargaan serta menjalin kemesraan sesama rakan-rakan dan. Kata beliau, lebih baik lagi jika masakan itu dimasak dengan hati yang ikhlas.
“Sebenarnya, saya kalau tidak ada apa nak dibuat bila berada rumah, ke dapurlah saya masuk. Tengok apa yang boleh dimasak, tak kisahlah walau hanya buat jemput-jemput. Kadang-kadang dengan melihat barang yang ada di dapur di kepala sudah ada idea nak masak apa. Lebih seronok lagi kalau masakan tu dinikmati dengan berselera oleh keluarga atau tetamu yang datang ke rumah.
“Bila kita seronok memasak, keikhlasan itu hadir dalam diri dan mulalah kita akan mendoakan yang baik-baik untuk ahli keluarga, rakan mahupun tetamu yang akan menikmati hidangan itu nanti. Sekurangnya biarlah mereka dengan puas makan dan seronok dijamu. Secara tidak langsung ia pasti dapat menyatukan hubungan suami isteri, menyuburkan kasih sayang anak-anak dan mengeratkan hubungan sanak saudara serta rakan bila kita sama-sama duduk di meja makan menikmati hidangan tersebut,” ujar Puan Sri yang sangat suka ke pasar.
Katanya, kalau beliau sudah ke pasar terutama di pasar yang menjual barang-barang segar, pasti tidak sedar ada barang yang tidak sepatutnya dibeli akan beliau beli. “Kepantangan saya kalau ke pasar yang menjual ikan, seafood dan sayur-sayur segar, habislah semua nak beli dan nampak sedap. Saya tak kisah walaupun lama ke pasar yang penting puas hati, mungkin disebabkan saya ni suka memasak,” cerita Puan Sri lagi.
PELUANG BISNES
Melihatkan bakat dan minat Puan Sri yang suka memasak, rakan-rakan mula menyarankan beliau membuat buku masakan dan menjadikan ia sebagai satu cabang bisnes.
Atas dorongan itulah, beliau telah menerbitkan sebuah buku berkaitan pengalaman beliau dengan masakan serta resipi yang dicuba. Tanpa diduga buku tersebut sudah beberapa kali diulang cetak. Dari situ timbul idea untuk membuat pes masakan.
“Dari buku, kemudian saya buat pula pes, buat masa ini saya sudah pasarkan dua jenis pes, kari dan asam pedas. Kedua-dua pes ini sebenarnya, jika anda kreatif ia boleh dipelbagaikan cara memasak. Contoh pes asam pedas, selain boleh digunakan untuk asam pedas biasa, ia boleh dijadikan asam pedas Nyonya atau pun tomyam. Semuanya atas kreativiti memasak. Beliau juga mempunyai restoran di Bangunan Tabung Haji di Damansara Utama yang sentiasa mendapat sentuhan air tangannya.
Terbaru, dalam usaha melebarkan sayap perniagaan dan memperkenalkan masakan tradisional Malaysia, Puan Sri Nisa telah berkunjung ke Sepanyol dan membuat beberapa demo memasak serta turut memasak di dapur Chef Antonio, Chef terkenal di Sepanyol. Kunjungan dan aktiviti mendapat liputan televisyen. Tahniah Puan Sri semoga usaha Puan Sri akan terus mendapat perhatian dunia.
KARI IKAN MASIN BERSAMA UDANG
BAHAN-BAHAN:
- 500gm udang |saiz XL
- 150 gm isi ikan masin kurau | rendam dan goreng
- 2 sudu makan telur masin | kuning sahaja dan hancurkan
- 3 sudu makan pes kari
- 1 sudu kecil halba campur
- 1 biji bawang holland | potong dadu besar
- 2 biji tomato | potong dadu
- 2 batang kacang bendi | potong dua
- 2 tangkai cili hijau | potong dua
- 1 tangkai daun kari
- 1cawan santan pekat
- Air secukupnya
- 2 sudu makan minyak masak
CARA MEMASAK:
- Panaskan periuk tanah, panaskan minyak.
- Tumiskan halba campur bersama daun kari, kacau hingga wangi.
- Seterusnya masukkan masukkan pes dan kacau lagi. Jika terlalu pekat tambah air.
- Kemudian masukkan ikan masin, diikuti dengan sedikit lagi air. Biarkan seketika.
- Masukkan bahan sayuran, kacang bendi, tomato dan cili hijau.
- Ia diikuti dengan udang, kuning telur masin dan santan.
- Kacau dan biarkan mendidih dan udang masak.
- Angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Tidak perlu tambah garam atau perasa kerana ikan masin dan telur asin sudah masin dan pes juga sudah cukup asam garam.
Saiz hidangan : 5 orang
Waktu memasak :15 minit
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan: Enak dan terasa rempah kari
Anggaran kos : RM 35.00
Jika anda penggemar Asam Pedas wajib klik: :http://bit.ly/2z46Xag
ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI ALA NYONYA
BAHAN-BAHAN:
- 500gm ikan tenggiri | bersih dan tos
- 2 sudu makan pes asam pedas
- 2 sudu makan telur masin | bahagian kuning dan dihancurkan
- 2 kuntum bunga kantan | hiris
- 1 biji bawang Holland | potong dadu besar
- 1 biji tomato | belah empat
- Sedikit daun ketumbar | hiris
- 2 tangkai daun kesum | lurut dari tangkai
- 2 biji cili merah | belah dua
- 2 biji cili hijau | potong dua
- 1/2 cawan santan pekat
- Air secukupnya
- 2 sudu makan minyak masak
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak dalam periuk, tumis pes (campur sedikit air jika terlalu pekat).
- Masukkan bawang Holland, kacau seketika dan tambah air secukupnya.
- Setelah mendidih masukkan ikan, bunga kantan, daun kesum, cili merah dan hijau.
- Bila ikan masak, masukkan santan dan telur kuning, biarkan mendidih seketika.
- Sebelum angkat masukkan tomato dan daun ketumbar.
- Sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jika tidak dicampurkan santan, masakan akan menjadi asam pedas biasa.
Saiz hidangan : 5 orang
Waktu memasak :15 minit
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan: Enak dan berperisa
Anggaran kos : RM 35.00
Senang Rupanya Buat Sendiri Rempah Kari Ikan
Tidak perlu pening jika stok serbuk kari habis sebab mudah sahaja untuk buat rempah kari ikan sendiri. Kita boleh ubah resipi ikut selera sendiri bila buat rempah kari sendiri seperti lebihkan cili jika ingin pedas atau lebihkan kunyit untuk warna yang lebih terang.
REMPAH KARI IKAN
BAHAN-BAHAN:
- 10-12 biji cili kering
- 3 sudu besar rempah biji ( ketumbar )
- 3 ulas bawang putih
- 1 labu bawang besar atau 5-7 ulas bwg kecil
- Kunyit hidup sebesar ibu jari
- 10-15 biji lada hitam
- 2 sudu besar jintan putih
- 1 sudu besar jintan manis
CARA MENYEDIAKANNYA:
- Semua bahan dibasuh, tapis dan rendam air panas selama 10 minit , KECUALI bawang dan kunyit hidup.
- Kemudian blend/kisar kesemuanya sehingga betul-betul halus.
- Sedia untuk dibuat kari .
INFO:
- Setelah siap boleh dimasak cara yang sama seperti kita guna serbuk kari.
- Kalau buat rempah sendiri , kita tidak akan rasa was-was lagi .
- Kalau ada penggiling boleh gunakan untuk rasa yang lagi sedap.
Kredit resepi: normah bahari
Anda pasti sukakan resipi ini:
Petua Masak Ikan Bakar Rica Manado Sedap Tapi Guna Kuali Je
Sedapnya Ikan Bakar Rica Manado perkongsian resipi dari Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ni. Nampak membuka selera. Istimewanya resipi ini, anda tidak perlu menggunakan arang untuk membakarnya. Cukup sekadar menggunakan kuali leper tapi rasa dan aromanya seakan dimasak menggunakan bara.
Menurut beliau lagi, Ikan Bakar Sambal Rica ini berasal dari Manado, Sulawesi. Biasanya dibakar atas bara api. Kemudian sambalnya di sapu atas ikan setelah ikan siap dibakar. Cumanya kali ini beliau berkongsi cara lebih mudah untuk menyediakan sajian sedap ini. Bakar atas kuali sahaja. Sesuai sangat cuba masak untuk makan tengahari nanti. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.
RESIPI IKAN BAKAR RICA MANADO SEDAP
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ikan siakap
5 biji bawang merah – beli online disini
2 ulas bawang putih – beli online disini
2 batang serai
2 inci kunyit
1 inci halia
2 sudu besar cili kisar – beli online disini
2 helai daun limau purut
1 keping asam gelugor – beli online disini
1 biji limau nipis
Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
1.Bersihkan ikan dan belah perutnya. Belah isi ikan di kanan dan kiri tulang tengah, kemudian keluarkan tulang tersebut. IA bertujuan supaya ikan kelihatan cantik dan isi cepat masak.
2. Untuk menyediakan bumbu (perencah) ikan bakar, bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, serai dan cili kisar dikisar halus.
3. Tumis bahan kisar. Berbeza dengan ikan bakar sambal yang biasanya warna merah. ikan bakar ini akan berwarna kuning atau jingga. Tapi sejujurnya, rasa hidangan ini tidak berapa beza dari ikan bakar sambal.
4. Masukkan asam gelugor, garam, gula dan daun limau purut. Jika suka, boleh tambahkan belacan. Tumis sampai bahan-bahan masak sempurna. Kemudian sejukkan seketika.
5. Lumurkan bumbu pada ikan. Oleh kerana kita bakar atas kuali, susah nak sapu ikan bila ikan dah masak. Ia akan hancur kalau kita balik-balikkan banyak kali. Jadi empunya resipi lumur bumbu pada ikan terlebih dahulu.
6. Kemudian terbalikkan ikan dan lumurkan bumbu pada bahagian luar pula. Boleh alas ikan dengan daun pisang atau daun kunyit agar ikan tak melekat pada kuali. (empunya resipi guna kuali non-stick)
7. Bila masak nanti, ikan tidak akan diterbalikkan. Masak belah bawah sahaja. Untuk pastikan ikan ini masak sekata tanpa hangus, kena bakar dengan api kecil atau sederhana.
8. Tutup kuali. Jika ada tanda-tanda nak hangit, jangan panik. Buka penutup, masukkan 1 senduk air, gerak-gerakkan kuali agar air turun ke bawah daun. Tutup semula dan masak sampai air tadi kering.
9. Hasil Ikan Bakar Rica Manado yang telah siap dimasak. Tidak hangus, tidak melekat dan masak sempurna. Sedia untuk dinikmati.
INFO:
- Boleh hias dengan hirisan limau dan bawang jeruk. Ikan bakar ini memang sedap makan dengan benda masam.
- Rasa Ikan bakar ini tak berapa pedas. Bau daun pisang membangkitkan selera. Daun pisang yang hangus di tepi-tepi tu menyumbang kepada aroma smokiness (bau bakar). Itu penting!
Kredit resipi & foto: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Cara Buat Kerisik Homemade Yang Sedap Berminyak & Wangi Tanpa Tumbuk
Buat Sendiri Aiskrim Goreng Sedap Guna Roti Sandwic. Mantap!
Resipi Nasi Goreng Sosej Paling Senang.Tak Letak Sayur, Tak Letak Bawang
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official