Jika dalam peti sejuk ada lebihan nasi sejuk, boleh cuba hasilkan Kuih Serabai yang sangat sedap dan mudah ini. Hasil perkongsian resipi yang dicuba oleh saudari Aznie Khasri ni nampak gebu dan membuka selera kan? Sekali cuba pasti puas hati. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.

 

CARA BUAT KUIH SERABAI KAMPUNG BERSAMA KUAH

BAHAN KUIH SERABAI:

  • 2 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan nasi sejuk
  • 1/2 cawan santan pekat
  • 1 sudu teh yis segera
  • 2 sudu makan gula
  • 1 ½ cawan air
  • 1 sudu teh garam atau secukup rasa

CARA MEMASAK:

1. Masukkan gula ke dalam cawan yang berisi 1/2 cawan air suam. Masukkan juga yis dan kacau sebati. Biarkan selama 10 minit.

2. Ambil pengisar dan masukkan nasi dan 1 cawan air. Kisar hingga hancur.

3. Kemudian masukkan garam dan tepung beras. Kisar lagi hingga sebati.

4. Tuang bahan kisar ke dalam bekas dan tuang campuran yis bersama gula tadi. Gaul hingga rata. Peram adunan selama 2 jam. Pastikan tidak peram terlalu lama kerana adunan akan berasa masam.

5. Panaskan acuan serabai, lenserkan sedikit minyak dan biar hingga minyak betul-betul panas. Tutup api dan tuangkan adunan tepung serabai hingga memenuhi ¾ acuan. ( jika tiada acuan serabai, boleh guna kuali dalam @ kuali non stick bersaiz 20cm – 8 inci)

6. Buka api dapur sederhana perlahan dan masak serabai hingga masak sempurna.

 

BAHAN KUAH SERABAI

  • 1 cawan gula perang
  • 1 cawan santan
  • 1/2 cawan air
  • 2 biji telur
  • 1 cawan santan pekat – masukkan 1 sudu makan tepung jagung. Bancuh sebati.
  • 2 helai daun pandan – simpul

CARA MEMASAK:

1. Satukan gula, air dan telur. Pukul rata.

2. Kemudian masukkan bahan-bahan tersebut ke dalam kuali yang sedang sederhana panas. Masak dan kacau sebatian hingga hampir mendidih.

3. Masukkan bancuhan santan dan tepung jagung. Masak lagi hingga kuah berubah menjadi warna keemasan.

4. Kepekatannya pula terpulang pada berapa lama ia dimasak. Sebaiknya padamkan api sebelum kuah terlalu pekat kerana bila sejuk, kuah ini akan pekat dua kali ganda.

5. Sedia untuk dinikmati bersama Kuih Serabai.

Kredit resipi & foto: Aznie Khasri