Kebiasaannya, di acara makan-makan sama ada di rumah mahu pun di tempat kerja, juadah yang disediakan pastinya lengkap, bermula dengan juadah pembuka selera, juadah utama sehinggalah hidangan pencuci mulut. Bahkan, menikmati hidangan manis selepas selesai menjamu selera dengan pelbagai juadah lazat, tentunya dapat membuatkan hati anda rasa puas dan gembira. Mungkin hidangan pencuci mulut ini boleh anda cuba sendiri di rumah atau dihidangkan di saat tetamu bertandang ke rumah.

 

POPIA PISANG MENTEGA KACANG  

BAHAN-BAHAN:

9 keping kulit popia segera

5 sudu makan mentega kacang

3 biji pisang berangan

Gula perang secukupnya

Minyak untuk menggoreng secukupnya

Sedikit air

CARA MEMASAK:

Potong sebiji pisang kepada dua bahagian memanjang dan potongkan lagi menjadi dua bahagian untuk mendapatkan 4 saiz yang sama panjang.

Salut setiap kepingan pisang dengan gula perang. Ketepikan.

Ambil sekeping kulit popia. Sapukan ½ sudu makan mentega kacang di atas kulit popia dan letakkan pisang yang disalut gula tadi di atasnya kemudian gulung dengan kemas.

Sapukan sedikit air pada hujung kulit popia untuk memastikan ia melekat dan tidak terbuka apabila digoreng. Ulangi langkah hingga selesai.

Goreng di dalam minyak panas hingga perang keemasan. Angkat dan toskan minyak.

Sejukkan sedikit dan sedia dihidangkan.

Saiz hidangan: 9 biji

Waktu memasak: 40 minit

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Rasa manis pisang serasi dengan lemak mentega kacang

Jenis masakan : Pencuci mulut

Cara memasak : Goreng

Info chef: Untuk rasa yang lebih menarik, letak madu sedikit di dalam gulungan popia ataupun di atas popia selepas digoreng.

 

Hidangan Pencuci Mulut Ringkas Dan Boleh Buat Sendiri

 

CREPE INTI KELAPA MANIS MARSHMALLOW

BAHAN UNTUK KULIT CREPE:

120gm tepung gandum

440ml susu segar

3 biji telur

Minyak masak secukupnya

BAHAN UNTUK INTI KELAPA:

125gm kelapa parut

100gm gula perang

80ml air

CARA MEMASAK:

Untuk membuat kulit crepe; Pukul rata telur dan susu segar dan masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul sebati. Ketepikan.

Sapukan sedikit minyak di atas kuali leper tak melekat. Gunakan api kecil untuk mendapatkan suhu sederhana panas.

Tuang lebih kurang 2-3 sudu makan adunan tadi dan ratakan. Apabila permukaan atas kelihatan sedikit kering dan masak. Angkat.

Pastikan bekas untuk meletakkan crepe bertutup bagi mengelakkan kulit crepe kering sebelum proses menggulung.

Untuk membuat inti kelapa; Panaskan air dan gula perang hingga mendidih dan berbuih.

Kemudian masukkan kelapa parut dan gaul sekata hingga air kering dan kelapa lembap.

Angkat dan sejukkan sebelum diletak di atas crepe.

Ambil sekeping crepe, letakkan sedikit inti kelapa di tengahnya diikuti marshmallow. Lipat bahagian tepi kiri dan kanan crepe dan terus gulung. Ulangi langkah hingga selesai.

Sedia dihidangkan.

Saiz hidangan: 10-15 biji

IKLAN

Waktu memasak: 40 minit

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Rasa manis inti kelapa dan kekenyalan marshmallow

Jenis masakan : Pencuci mulut

Cara memasak : Goreng dan reneh

Info chef: Untuk memekatkan inti kelapa, boleh menambah satu sudu tepung gandum dicampurkan dengan sedikit air ke dalam inti semasa proses memasak dan gaul sebati. Gula perang boleh digantikan dengan gula merah atau gula Melaka untuk rasa yang lebih menarik.

Hidangan Pencuci Mulut Ringkas Dan Boleh Buat Sendiri

 

 TAT TELUR SERI KAYA LEMON 

BAHAN UNTUK KULIT TAT:

70gm gula aising

200gm tepung gandum serba guna / red rose

125gm mentega

1 sudu teh esen vanila

1 biji telur saiz C

 

BAHAN UNTUK INTI TELUR:

70gm gula kastor

100gm air

5 biji telur

1 sudu kecil esen vanila

100gm Susu segar

BAHAN UNTUK SERI KAYA LEMON:

3 biji kuning telur

1 biji telur

150gm Gula kastor

100ml Jus lemon

Parutan kulit lemon dari dua biji lemon

40gm mentega

CARA MEMASAK:

Gaul sebati gula aising, dan tepung.

IKLAN

Masukkan mentega dan gaul hingga menjadi seakan serbuk roti.

Kemudian masukkan telur dan esen vanila. Gaul sebati hingga menjadi doh.

Sekiranya doh terlalu lembut taburkan sedikit tepung.

Bahagikan doh kepada saiz lebih kurang 20gm setiap satu, bentukkan kulit tat pada acuan. Ketepikan.

Untuk membuat inti telur; Panaskan air dan gula hingga mendidih. Kemudian alihkan dan biarkan sejuk.

Masukkan telur dan susu segar. Gaul sebati.

Tuang bancuhan inti telur ke dalam kulit tat dan bakar di dalam oven dengan suhu 200 ˚C selama 15 hingga 20 minit hingga perang keemasan. Angkat dan ketepikan.

Untuk membuat seri kaya lemon; Satukan telur dan kuning telur gaul sebati.

Masukkan gula kastor, jus lemon dan parutan kulit lemon ke dalam adunan telur. Gaul sebati hingga adunan seakan berkrim.

Letakkan di atas dapur dengan api yang kecil dan gaul hingga adunan memekat. Alihkan dari api dan masukkan mentega. Gaul sebati.

Sejukkan dan masukkan ke dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 1 jam.

Tuang atau picitkan seri kaya lemon ke atas tat telur.

Sedia dinikmati.

Saiz hidangan: 12-18 tat saiz besar

Waktu memasak: 1 jam 30 minit

Jenis hidangan : Barat

Keistimewaan : Rasa lemak telur dan masam lemon

Jenis masakan : Pastri

Cara memasak : Reneh, bakar

Info chef: Anda boleh membuatnya seminggu lebih awal sebelum hendak dimakan untuk sesuatu acara.

Hidangan Pencuci Mulut Ringkas Dan Boleh Buat Sendiri

 

PUFF KRIM KASTARD

BAHAN UNTUK PUFF:

160gm tepung gandum / red rose

3 biji telur saiz C

32 ml Air

100gm Mentega

 

BAHAN UNTUK KRIM KASTARD:

270 ml Susu segar

IKLAN

50gm gula kastor

50gm air

25gm mentega

40gm tepung kastard

 

CARA MEMASAK:

Panaskan air dan mentega hingga mendidih.

Setelah itu tuangkan campuran tersebut ke dalam tepung dan gaul sebati hingga menjadi doh.

Biarkan suam dan masukkan telur. Gaul hingga menjadi doh yang lembut, licin dan sebati.

Masukkan ke dalam beg piping menggunakan nozzle 1M dan picit ke atas loyang dan dapatkan saiz yang sama.

Bakar dengan suhu 200˚c selama  20-25 minit hingga puff berwarna keperang-perangan.

Keluarkan dan biarkan sejuk. Ketepikan.

Untuk membuat krim kastard; Satukan semua bahan dan masakkan di atas api sederhana hingga adunan likat sedikit.

Alihkan daripada api. Dan gaul terus hingga adunan suam. Biarkan sejuk.

Setelah krim sejuk, barulah picit krim kastard ke dalam kulit puff dan sedia dihidangkan.

Saiz hidangan: 5-7 orang

Waktu memasak: 1 jam

Jenis hidangan : Barat

Keistimewaan : Rasa manis dan lemak kastard

Jenis masakan : Pastri

Cara memasak : Bakar dan reneh

Info chef: Semasa memasak krim kastard pastikan ianya tidak terlalu pekat kerana apabila sejuk ia akan menjadi keras dan tidak boleh dipicit ke dalam puff. Gunakan aiskrim sebagai inti puff juga menghasilkan puff yang  enak.

Hidangan Pencuci Mulut Ringkas Dan Boleh Buat Sendiri

 

BREAD CRUMB CHEESE LAYER

BAHAN-BAHAN:

250gm – 300gm serbuk roti

200ml susu segar

50ml air gula (kurangkan jika tidak suka terlalu manis)

250gm krim keju

250gm gula aising (kurangkan jika tidak suka terlalu manis)

CARA MEMASAK:

Biarkan krim keju pada suhu bilik. Pukul krim keju dan gula aising hingga kembang. Sejukkan di dalam peti sejuk. Ketepikan.

Dalam bekas yang berasingan, satukan dan masak air gula dan susu segar hingga suam.

Pilih bekas yang bersesuaian mengikut saiz yang dikehendaki. Taburkan lebih kurang dua sudu serbuk roti ke dalam bekas. Tuangkan sedikit air susu dan gula yang suam tadi perlahan-lahan  hingga cukup untuk menjadikan serbuk roti kembang sedikit. Kemudian picitkan krim keju yang telah disejukkan tadi di atasnya. Tabur semula serbuk roti dan lapiskan lagi dengan krim keju. Ulang langkah jika menggunakan bekas yang tinggi dan hendak mendapatkan lebih banyak lapisan.

Sejukkan di dalam peti ais 1-2 jam dan hidangkan sejuk.

Saiz hidangan: 3-4 orang

Waktu memasak: 2 jam 30 minit

Jenis hidangan : Barat

Keistimewaan : Rasa lemak keju dan susu yang serasi

Jenis masakan : Pencuci mulut

Cara memasak :  Reneh

Info chef: :  Untuk mendapatkan serbuk roti yang sedap. Guna roti putih segar dan bakar pada suhu 100˚ c hingga betul –betul kering dan keras. Kemudian hancurkan menjadi serbuk. Tambahkan cip coklat untuk sedikit kelainan.

Hidangan Pencuci Mulut Ringkas Dan Boleh Buat Sendiri

 

 Resipi: Terima kasih Mohamad Norazlan bin Husin, Kolej INSTECH Koperasi Belia Islam 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI