Dah menonton rancangan Nostalgia Ramadan semalam, menarik bukan. Sebenarnya bila dapat tahu Chef Wan akan memasak menu Sayur Lodeh Johor, Louisa Alissa Chong Abdullah atau Louisa Chong cukup teruja menantikan juadah yang selalu dimasak ibu mentuanya dari Johor.

Setiap kali puasa dan Hari Raya, ibu mentuanya memasak seperiuk besar kerana tahu anak menantunya Louisa cukup suka dengan hidangan ini.

Mendirikan rumah tangga dengan Hamid Samad, masakan Melayu memang sudah sebati dengan diri Louisa. Apa tidaknya neneknya berketurunan baba nyonya Melaka yang sajiannya banyak menyamai masakan Melayu.

Selain Louisa ibu saudaranya juga juga berkahwin dengan orang Melayu seperti dirinya. Jadi amalan berbuka puasa memang cukup difahami dan dihormati dalam keluarga Louisa.

Setiap kali balik beraya ke kediaman keluarga mentua pula, hidangan Sayur Lodeh Johor akan disajikan. “Kalau mak mentua yang masak kuah ni , percaya tak saya boleh  makan segala sayurnya dan boleh mengadap tiga mangkuk sekali makan. Kuah lodeh tu saya hirup macam minum air,” ujarnya tertawa kecil.

Buat Louisa kedatangan Ramadan ditunggu dengan cukup teruja. “Bagi saya berpuasa taklah susah sangat. Macam hari biasa aje, cuma kita bersarapan awal pagi dengan bersahur. Banyak kebaikan berpuasa ni salah satunya saya dapat juga berdiet cara sihat,” ceritanya yang juga memenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Cina  terbitan Media Prima yang berlangsung di China, peringkat Asia baru-baru ini.

 

Bagi sesiapa yang  nak ‘refresh’ memori atau tercicir mencatat resipi semalam, ni dia 2 resipinya Sayur Lodeh dan kuih Bingka Ubi.

SAYUR LODEH

BAHAN-BAHAN :

  • 1 liter santan cair
  • 300gm udang basar | dibersihkan

Bahan dikisar halus :

  • 10 biji bawang merah
  • 2 batang serai
  • 1sm halia
  • 1sm lengkuas
  • 8 biji buah keras
  • 10 tangkai cili merah | dibuang biji
  • 1sm kunyit hidup
  • 1 sudu makan serbuk ketumbar
  • 2 sudu makan belacan | dibakar
  • 4 ulas bawang putih
  • 60gm udang kering

Bahan sayur-sayuran :

  • 10 batang kacang panjang | dipotong panjang 5sm
  • 3 keping tauhu | digoreng dan dipotong besar
  • 4 keping tempe | digoreng dan dipotong besar
  • 1 batang terung | dipotong 5sm panjang
  • 150gm kubis
  • ½ biji sengkuang | dipotong memanjang
  • 30gm soo hoon | dicelur
  • 4 helai daun salam
  • 2 helai daun limau purut

CARA MEMASAK :

  1. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar halus hingga naik bau.
  2. Masukkan santan cair dan sayur-sayuran, biarkan sehingga semua sayuran masak.
  3. Selepas 10 minit masukkan udang basah. Sajian sedia dihidang.

 

KUIH BINGKA UBI

 BAHAN-BAHAN :

  • 4 cawan ubi kayu parut
  • 2 cawan santan pekat
  • 1 cawan gula merah
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 3/4 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Hancurkan gula merah dengan santan dan tapis.
  2. Masukkan ubi, gula pasir dan garam. Gaul sebati.
  3. Tuang adunan ke dalam loyang saiz 8 1/2″ atau 9″ yang telah dilengser minyak di permukaan dan di bahagian tepinya.
  4. Bakar hingga masak. Jika guna ketuhar, masak menggunakan suhu 200C selama 45-50 minit atau sehingga masak.
  5. Untuk pastikan bingka masak atau tidak, cucuk menggunakan lidi. Jika tidak melekat, itu menandakan bingka telah masak.
  6. Angkat dan potong bila dah sejuk

JANGAN LUPA TONTON RASA NOSTALGIA RAMADAN ESOK BERSAMA ELFIRA ROY.

Artis lain yang memeriahkan lagi rancangan ini  ialah Erra Fazira, Amy Mastura, Ummi Aida, Siti Nordiana,  Amelina, Sharifah Shahira, Amelina, Aaron Aziz, Azira De Fam, Abam Bochey , Noorkumalasari, Serina Chef Wan, Kak Engku dan lain-lain lagi.

Ingat tau jam 5 petang, Isnin hingga Jumaat sepanjang bulan Ramadan ini dalam Rasa Nostalgia Ramadan di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD 121.