Bila pandang menu lauk pauk kampung ni, teringat kenangan masa kecil dahulu. Menu kebanyakannya simple sahaja. Namun rasanya memang sangat sedap dan buat kita teringat-ingat. Bagi anda yang gemarkan sajian lauk kampung yang ringkas, menu-menu dibawah ini antara yang boleh dicuba.

 

RESIPI LAUK PAUK KAMPUNG

 

1. MASAK LEMAK CILI API ITIK SALAI

Koleksi Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Sedap & Mudah

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ekor itik salai
  • 4 sudu makan cili api –  yang telah ditumbuk lumat
  • 2 sudu makan kunyit hidup- yang telah ditumbuk lumat
  • 2 biji kelapa – ambil santan pekat sahaja
  • 4 keping asam keping
  • 4 batang serai – diketuk
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :
1. Masukkan daging salai, cili api dan kunyit ke dalam periuk dan masak atas api sederhana.
2. Biarkan seketika sehingga air dari itik dan cili telah sejat dan agak kering.
3. Apabila airnya telah sejat, masukkan santan pekat dan biarkan mendidih hingga itik empuk sambil dikacau agar tidak pecah minyak.
4. Masukkan asam keping, serai dan garam secukup rasa.
5. Kecilkan api dan biarkan ia merenih hingga naik minyak.Kacau sekali sekala.
6. Masakan lauk kampung ini sudah sedia untuk dihidangkan

INFO CHEF : Inilah kelainan masak lemak cili api asli Negeri Sembilan, ramuannya tidak menggunakan bawang. Daging atau itik adalah yang telah siap disalai.

 

2. SAMBAL UDANG BERSAMA TERUNG PIPIT

Koleksi Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Sedap & Mudah

BAHAN-BAHAN :

  • 250gm udang saiz sederhana
  • 1 mangkuk kecil terung pipit
  • 5 sudu makan cili kering –  dikisar
  • 5 biji bawang kecil – ditumbuk lumat
  • 3 ulas bawang putih – ditumbuk lumat
  • 2 sudu makan asam jawa – diperah bersama setengah cawan air
  • 1 biji bawang besar – dihiris nipis
  • Garam dan gula secukupnya

CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan udang digoreng seketika. Angkat cepat bila udang berubah warna. Boleh gunakan minyak goreng udang tadi untuk menumis bahan tetapi pastikan panas semula minyak itu hingga hilang air udang.
2. Goreng terung pipit sebentar.
3. Tumiskan cili kisar sehingga garing dan kemudian masukkan bawang kecil dan bawang putih hingga garing .Biarkan sampai terbit minyak.
4. Masukkan air asam garam, jawa, garam dan gula secukup rasa. Biarkan ia mereneh sekejap
5. Masukkan bawang besar yang dihiris nipis dan biarkan sehingga bawang besar layu.
6. Masukkan udang dan dibalik-balikan sebentar.
7. Angkat dan sedia untuk dimakan.

IKLAN

INFO CHEF : Biarkan udang meresap dalam sambal dan keluar air manisnya, baru ditutupkan api.

 

3. AYAM MASAK KICAP

Koleksi Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Sedap & Mudah

 

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ekor ayam
  • 2 biji kentang  – dipotong nipis memanjang
  • 2 biji cili hijau – dihiris nipis
  • 1 biji bawang besar – dihiris nipis
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 2 sudu makan pes cili kering
  • 5 sudu makan kicap lemak manis
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 2 sudu makan tepung jagung – dibancuhkan sedikit air
  • 4 ulas bawang putih – dikisar atau ditumbuk
  • 2 ulas bawang putih – dikisar atau ditumbuk
  • 2.5 sm halia  – ditumbuk
  • Gula dan garam secukup rasa
  • Kunyit serbuk secukupnya

CARA MEMASAK :
1. Gaul ayam bersama garam dan kunyit serbuk , goreng hingga masak dan ketepikan.
2. Gaulkan kentang bersama garam dan digoreng hingga masak.
3. Tumiskan kulit kayu manis dan bunga lawang hingga naik bau.
4. Masukkan pes cili kering dan digoreng hingga garing.
5. Masukkan bahan-bahan yang ditumbuk dan biarkan hingga naik baunya.
6. Masukkan sos tiram dan kicap, masukkan air secukupnya.
7. Biarkan hingga mendidih dan masukkan garam dan gula secukupnya.
8. Masukkan ayam dan kentang, biarkan mereneh seketika
9. Masukkan bawang besar dan cili hijau yang telah dihiris.
10. Masukkan tepung jagung yang dibancuh sedikit air untuk memekatkannya.
11. Masukkan asam jawa, garam, gula secukupnya dan biarkan ia mereneh seketika sebelum diangkat dan dihidangkan.

INFO CHEF : Boleh juga gantikan cili kisar dengan lada hitam yang ditumbuk.

 

IKLAN

4. IKAN CENCARU SUMBAT

Koleksi Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Sedap & Mudah

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ekor ikan cencaru
  • 2 biji cili merah – ditumbuk
  • 8 biji cili api – ditumbuk
  • 1/2 biji bawang besar – dihiris
  • Sedikit belacan
  • 1 biji limau kasturi
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :
1. Cuci ikan, belahkan belakangnya dan lumurkan sedikit garam.
2. Tumbukkan cili merah, cili api dan belacan dan sedikit garam (jika suka)
3. Setelah lumat masukkan bawang besar yang telah dihiris dan ditumbuk sedikit.
4. Perahkan limau kasturi dan digaul rata. Kemudian sumbatkan ke dalam ikan.
5. Goreng sehingga masak

 

5. IKAN KELI GORENG BERLADA

Koleksi Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Sedap & Mudah

BAHAN-BAHAN :

  • 2 ekor ikan keli
  • 2 biji cili merah – ditumbuk halus
  • 10 biji cili api – ditumbuk halus
  • 1/2 biji bawang besar – dipotong memanjang
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk kunyit secukupnya

CARA MEMASAK :
1. Gaulkan ikan keli bersama kunyit serbuk dan garam.
2. Goreng ikan keli hingga garing, angkat dan ketepikan.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan cili merah dan cili api yang telah ditumbuk sehingga garing.
4. Setelah cili telah garing masukkan pula bawang besar yang dihiris memanjang dan biarkan sehingga bawang agak layu.
5. Masukkan garam secukup rasa.
6. Akhir sekali masukkan ikan keli yang telah digoreng tadi.
7. Gaul rata dan sedia untuk dimakan.

IKLAN

INFO CHEF : Untuk menghilangkan lendir ikan keli, basuh dengan sedikit air limau nipis dan sedikit garam. Boleh juga digunakan tepung gandum untuk cuci ikan, disarankan juga untuk perap dengan tepung selama 15 minit. Ini juga mengelakkan ikan daripada meletup-letup atau melekat di kuali masa menggoreng.

 

6. KERABU DAGING SALAI

Koleksi Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Sedap & Mudah

BAHAN-BAHAN :
500 gm daging –  dihiris nipis
1 biji bawang besar -dihiris membulat
5 biji cili api -dihiris
1 batang serai – dihiris nipis
2 biji limau kasturi
Kicap lemak manis secukup rasa

CARA MEMASAK :
1.Campurkan daging salai dan bahan-bahan yang telah dihiris tadi.
2.Masukkan kicap dan perahkan limau kasturi.
3.Gaul rata dan ia sedia untuk dimakan

INFO CHEF : Sekiranya daging salai yang dibeli tidak terlalu masak, masukkan daging salai dalam kuali tanpa minyak atas api kecil ,dan biarkan seketika sehingga ia lembut.

 

7. SAMBAL TEMPE GORENG DENGAN IKAN BILIS

Koleksi Resipi Lauk Pauk Kampung Yang Sedap & Mudah

BAHAN-BAHAN :

  • 2 keping tempe /dipotong sederhana nipis
  • 250 gm ikan bilis/ secukupnya
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 5 biji bawang kecil/ ditumbuk atau dikisar
  • 1 asam keping
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dalam kuali, dan goreng tempe dan ikan bilis sehingga garing. Biarkan ia sejuk.
2. Tumis pes cili kering hingga garing, dan masukkan bawang kecil dan biarkan seketika.
3. Masukkan asam keping, garam dan gula secukupnya.
4. Akhir sekali masukkan tempe dan ikan bilis dan digaul rata.

INFO CHEF : Sambal ini juga boleh dijadikan sarapan ,dimakan bersama roti.

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI