Goreng kacang tanah, dengar macam senangkan, tapi sebenarnya ia bukan senang yang pro pun kerap juga gagal, sebabnya menggoreng kacang ada tekniknya supaya ia tidak pahit atau liat sebab kurang masak. Nak tahu macam mana cara yang sempurna goreng kacang tanah, korang kena baca tip yang RASA kongsikan ini:-
Pilih Kacang Tanah Yang Elok
Ini penting, kualiti kacang yang elok mempunyai kulit ari yang terang dan saiz biji kacang adalah sama. Jangan beli kacang yang tak sama saiz, ia akan menyebabkan kacang tidak masak sekata bila digoreng.
Gunakan Minyak Banyak Semasa Menggoreng
Semasa menggoreng pastikan semua kacang tenggelam dalam minyak masak yang panas. Oleh itu korang perlu menggunakan minyak lebih banyak dari kacang. Seperkata lagi korang perlu sentiasa kacau supaya kacang masak sekata. Tidak ada istilah menyambil semasa menggoreng kacang tanah.
Angkat Kacang Sebelum Kacang Betul-Betul Masak
Perhatikan betul, bila kacang tanah yang digoreng bertukar warna kuning muda atau rasa hampir masak, segera angkat kerana ia akan betul-betul masak dan garing dalam beberapa saat semasa proses mengangkatnya. Jangan tunggu kulit kacang sudah berwarna kecoklatan atau masak sepenuhnya. Akibatnya kacang akan berasa sedikit pahit kerana terlalu ‘over cook’. Atau biarkan kacau dalam kuali walaupun api sudah ditutup. Kuali panas akan jadikan kacang anda hangus.
Rendam Dalam Air Mendidih
Jika korang ingin menggoreng tanpa kulit arinya, sebaiknya rendam kacang dalam air mendidih lebih kurang 10 minit supaya kulit arinya lembut dan senang dibuang. Kemudian tos sebelum sedia digoreng. Pastikan semua kulit ari dibuang, jika tidak ada sisa kulit ia akan cepat hangus dan menjadikannya pahit.
Guna Api Sederhana
Jika anda goreng kacang tanpa minyak (sangai) pastikan anda menggunakan api sederhana dan sentiasa kacau supaya kacang masak sekata. Cara ini agak lambat berbanding menggoreng menggunakan minyak.
Selamat mencuba ye…
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Chef Sabri Soid , Cipta Nama Antara 10 Chef Terbaik Di Rantau Asia
Ketika ditemui Eksekutif Chef, Sabri Soid, Hotel Royale Chulan KL, baharu sahaja kembali dari Mumbai, India. Berada di sana selama tiga minggu sempena promosi makanan Malaysia. Menurutnya sajian Melayu masih ke belakang berbanding negara Asia yang lain seperti India, Thailand, Jepun dan Korea. Tak payah pergi jauh katanya lihat sahaja Thailand konsep ‘food styling dan presentation’ jauh lebih ke hadapan.
.
“Istilah masak campak-campak tak sesuai jika mahukan masakan Melayu dipandang dunia. Masakan Melayu perlu ada seni hidangannya. Perlu ada penggayaan dan persembahan yang menarik jika mahu dimartabatkan sebagai konsep ‘fine dining’ dan boleh menarik selera masyarakat antarabangsa. Chef atau Tukang Masak itu perlu fahami ‘bahasa’makanan dan perlu bersifat terbuka dan versatil bila memasak masakan.
.
Contohnya kenapa perlu pilih ikan cencaru dan kembung sahaja bila nak memasak singgang menapa tidak kita ‘improvised’kan lagi dengan menggunakan ikan kod agar ia menjadi lebih ekslusif lagi. Sajian Melayu sebenarnya telah mendapat perhatian antarabangsa dan boleh diketengahkan lagi dengan membuat penambahbaikan , biar nampak berseni sentuhannya.
Masa saya ke Konvensyen masakan ‘Malay Fine Dining’di Stockholm, Sweeden, saya lihat berderet orang barat ingin merasai masakan Melayu. Kita perlu menggunakan ramuan yang berkualiti yang popular di peringkat antarabangsa contohnya wagyu beef untuk rendang atau nasi lemak dengan sambal abalone dan udang galah. Usah terlalu ikat bahan ramuannya dan bersikap terbuka membuat perubahan meningkatkan darjat lauk pauk Melayu ini,” azam beliau yang mahu memartabatkan konsep ‘fine dining’ sajian Melayu di arena masakan antarabangsa.
Pengalaman Mantapkan Kepakaran
Dalam menguasai kepakaran masakan, pengalaman adalah ilmu penting untuk memantapkan kemahiran. Kerjanya bermula dari bawah dan dia melalui ke pelbagai tangga kerjaya bermula daripada apprentice, commis hinggalah ke Spus Che dan Chef De Cuisine sebelum jawatannya kini..
.
Berusia 44 tahun, sebagai orang ‘lama’, dia pernah belajar dan dibimbing oleh barisan Chef antarabangsa daripada Eropah dan Australia . Sajian Perancis juga adalah kepakaran utama Chef Sabri. “Bekerja di bawah ketua chef berbangsa asing mereka betul-betul melihat daripada segi kualiti dan ketulenan resipi. Contohnya sajian French Onion Soup perlu menguasai resipi asli yang asal, “ cerita beliau lagi yang mengetuai lebih 50 orang krew dapur di Royale Chulan Kl.
Di hotel ini terdapat Warisan Café yang menyediakan masakan Malaysia dan antarabangsa, Restoran Bunga Emas (fine dining Melayu), Restoran Masakan China Tai Ping, L’Heritage Steak House . Di samping memastikan semua operasi makanan berjalan lancar di tempat ini, Chef Sabri juga mengetuai tanggungjawab operasi bankuet dan majlis keraian di hotel yang kadang kala mencecah 2 ribu tetamu.
.
Di antara kejayaan lain pernah diraihnya ialah menerima pengiktirafan daripada Persatuan Masakan Perancis Gastronomi Antarabangsa berprestij Chaine des Rotisseurs dalam penyediaan masakan Perancis dan mendapat lima tangga terbaik dunia. Di awal kerjayanya juga beliau pernah merima Anugerah Tangan Emas International Gastronomique.
.
.
Di samping itu Chef Sabri juga telah beberapa kali dijemput dalam Master Chef Malaysia dan pada tahun lepas beliau dilantik oleh Kementerian Pelancongan & Asas Tani sebagai Ahli Majlis Kulinari Negara bagi memartabatkan masakan Melayu di seluruh pelusuk dunia. Setiap tahun juga beliau menjadi juri pertandingan masakan FHM dalam pelbagai kategori serantau Asia.
.
“ Tiga ciri ini disiplin, minat dan mahir berkomunkasi atau skil PR harus ada pada diri seorang Chef di samping pengetahuan mendalam mengenai makanan yang ada jika mahu menjadi Chef yang berjaya” pesan Chef Sabri yang juga suka mengembara dengan konvoi motorsikal besar sebagai hobi masa lapangnya.
Jom semak dua resipi pencuci mulut dan lauk sajian Melayu istimewa dari Chef Sabri :
SUKUN GULUNG BERSAMA SOS VANILA
SUKUN GULUNG BERSAMA SOS VANILA.
BAHAN-BAHAN:
- 300gm buah sukun | dipotong dadu
- 100gm buah ciku | dipotong dadu
- 50gm kismis hitam
- 50gm gula putih
- 100gm serbuk roti
- 200gm pastri filo
- 50gm mentega | dicairkan
- 100ml susu
- 50ml krim masakan
- 50gm serbuk kastad
- 30ml esen vanilla
- 20gm tepung jagung
- 1 biji telur kuning
CARA MEMASAK:
1. Campurkan sukun, ciku, kismis, gula dan serbuk roti dan masak sehingga semuanya lembut. Sejukkan di dalam bekas yang sesuai.
2. Lapiskan pastri filo sebanyak 4 lapisan dengan setiap lapisan disapu dengan mentega cair.
3. Letakkan sukun yang sudah dimasak itu di bahagian tengah dan gulung pastri filo itu sehingga berbentuk bulat. Sapukan kuning telur dan bakar selama 2o minit.
4. Panaskan susu dan krim masakan. Masukkan gula, tepung kastad dan esen vanilla. Pekatkan dengan tepung jagung jika perlu.
5. Hidangkan di dalam pinggan yang sesuai dan letakkan sos vanilla d iatasnya.
6. Enak dimakan bersama aiskrim.
Info chef:
Lagi elok jika menggunakan gula perang.
SINGGANG PATIN TEMPOYAK
SINGGANG PATIN TEMPOYAK.
BAHAN-BAHAN:
- 400gm ikan patin
- 100 tempoyak
- 50gm bawang merah
- 50gm bawang putih
- 50gm daun kesum
- 100gm bunga kantan
- 400ml air
- 100gm timun | dibuang biji dan dipotong panjang
- 10gm serbuk kunyit
- Cili merah untuk hiasan
- Garam,gula dan lada sulah secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Rebus air bersama bawang merah, bawang putih, daun kesum dan bunga kantan selama 10 minit. Masukkan tempoyak dan serbuk kunyit. Perasakan secukupnya.
2. Masukkan ikan dan rebus selama 10 minit atau sehingga ikan itu masak.
3. Tutup api dan masukkan timun.
4. Hidangkan didalam mangkuk yang sesuai dan hiaskan dengan cili merah
INFO CHEF :Gunakan patin buah untuk rasa yang lagi enak(kos juga akan naik). Jangan masukkan ikan terlalu awal supaya isinya tidak hancur.
Kenal Pasti Fungsi Marjerin & Mentega Untuk Elak Kek Dan Kuih Tak Menjadi. Jangan Tertukar Ya!
Mentega dan marjerin nampak seperti sama. Tetapi kedua-dua bahan ini mempunyai kegunaannya tersendiri. Apakah yang membezakan mentega dan marjerin?
Mungkin kelihatan lebih kurang sama, tetapi sebenarnya kedua-dua bahan ini sebenarnya berbeza. Kenali kelainan antara dua bahan ini agar anda tahu bagaimana untuk menggunakannya.
MARJERIN
- Diperbuat daripada lemak sayuran.
- Sama seperti mentega, marjerin juga mempunyai minima 80% jumlah lemak di dalamnya
- Mempunyai tekstur yang padat dan keras.
- Berwarna kuning terang.
- Tidak mudah meleleh.
- Marjerin atau sapuan akan mempunyai dari 10-90% lemak dalam kandungannya.
- Kandungan lemak sayuran dan air akan berubah mengikut jumlah lemak dalam marjerin. Jika rendah kandungan lemaknya maka peratusan air akan lebih tinggi.
- Marjerin rendah kolesterol berbanding mentega kerana komponen lemak sayuran di dalamnya. Salah satu bahan dalam marjerin adalah lemak trans tetapi sudah banyak digantikan dengan minyak kelapa sawit.
MENTEGA
- Diperbuat daripada lemak susu haiwan (dicampur dengan air, garam dan susu)
- Sesetengah mentega dilabelkan sebagai ‘sweet cream butter’. Jika ada, ia menunjukkan krim yang digunakan di dalamnya telah dipasturkan (dipanaskan untuk menghalang sebarang kerosakan ketika proses penghasilan mentega)
- Mempunyai aroma yang lebih kuat dan menyelerakan.
- Berwarna kuning pucat.
- Lebih mudah dicairkan dan meleleh.
- Mentega putar pula lebih ‘ringan’ dan sesuai untuk dijadikan sapuan kerana teksturnya yang tidak terlalu padat.
- Kebanyakan jenama mentega berbeza antara satu sama lain kerana kandungan lemak di dalamnya.
- Kandungan lemaknya harus melebihi 80% dan kerana dibuat dari bahan ini, mentega lebih tinggi kolesterol dan mengandungi lemak tepu yang lebih banyak berbanding marjerin.
MANA LEBIH BAIK, MARJERIN ATAU MENTEGA?
- Biskut atau kuih yang dibuat daripada mentega akan lebih kering dan garing tetapi teksturnya lembut dengan bau yang harum.
- Penggunaan mentega dalam pembuatan kek sangat meluas kerana ia membuat kek menjadi lembut dan berbau harum. Kandungan lemak yang rendah dalam marjerin pula biasanya akan membuatkan doh atau adunan yang lebih padat.
- Mentega mudah menjadi tengik, jadilah lebih peka dan perhatikan selalu tarikh tamat tempohnya. Marjerin pula tahan lebih lama dan jika digunakan untuk membuat kuih tradisional seperti karipap menjadi lebih rangup.
- Jenis lemak dalam marjerin dan mentega yang membezakan kedua bahan ini. Perbezaan ini memberi impak kepada rasa, tekstur dan nutrisinya.
Kagumas Culinary Academy Beri Peluang Kepada Pelajar OKU…
Min rasa jarang ada kolej atau institusi pengajian kulinari yang nak terima pelajar OKU belajar di tempat mereka. Di samping pelajar lain, pengasasnya Hj Harun Nordin turut membuka kolej seliaannya pada golongan OKU (golongan kelainan upaya) iaitu pelajar lembam atau ‘slow learner’.
Menurut Hj Harun Nordin mendidik pelajar OKU ini memerlukan kesabaran , lebih perhatian dan cara mengajar sudah pasti tidak sama dengan pelajar biasa yang lain. Ini lah kefahaman yang sentiasa beliau sematkan di ingatan tenaga pengajar di sini.
Kagumas Culinary Academy telah diasaskan oleh Hj Harun Nordin (FCIM) pada tahun 2008 berbekalkan pengalaman beliau dalam bidang perhotelan dan hospitaliti selama 21 tahun. Beliau juga telah menerima pengiktirafan daripada Chartered Institue of Marketing, UK.
Hasrat murninya adalah untuk melatih anak muda dan juga anak-anak slow learner (OKU) supaya mereka dapat bersaing dan mempersiapkan diri bersesuaian dengan kehendak dan keperluan industri khususnya hotel dan perusahaan F & B.
Ia menawarkan program Sijil dan Diploma (City & Guilds, UK) yang terdiri daripada Sijil Penyediaan dan Pembuatan Makanan serta Diploma Seni Kulinari/ Seni Pastri. Senang dipelajari dan mudah serta praktikal. Tempoh belajar Diploma Seni Kulinari dan Seni Pastri adalah 6 bulan teori/ praktikal dan lagi 6 bulan pula adalah latihan industri.
Penyertaan terbuka kepada pelajar berusia 16 tahun ke atas dengan kelulusan PMR atau SPM. Paling mengagumkan adalah usaha murni akademi ini yang turut membuka peluang kepada pelajar OKU yang mengalami masalah pembelajaran untuk menyertai Sijil Penyediaan dan Pembuatan Makanan.Tempoh pembelajaran bagi Sijil adalah 3 bulan praktikal/teori dan dan 3 bulan latihan industri.
Di samping itu terdapat juga kursus jangka pendek yang dibuka kepada semua golongan iaitu kepada pelajar-pelajar, surirumah tangga dan mereka yang berminat untuk mempelajari dan mengasah lagi bakat mereka dalam bidang masakan.
Dapur latihan yang disediakan memenuhi keperluan industri serta mempunyai kelengkapan dan peralatan lengkap. Tenaga pengajar terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam industr serta pernah memegang jawatan penting di dapur hotel. Ruang kelas yang lengkap dan selesa, serta kolaborasi bersama Kolej Kemhairan Kiblah bagi kemudahan hostel.
Sijil diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan City & Guild London , United Kingdom.
Kalau nak tahu apa lagi institusi pengajian yang menawarkan program kulinari dan bakeri, jangan lupa nantikan majalah RASA yang bakal membuat come back.