
Kerepek kentang memang sedap dijadikan kudapan ketika tengok drama TV, filem atau santai bersama keluarga. Jika selalu beli di kedai, sebenarnya mudah je nak buat sendiri kerepek kentang sendiri di rumah. Hasilnya pula memang puas hati sebab lebih rangup, nipis dan tidak mudah hangit ketika digoreng.
Malah bila buat sendiri, lebih jimat dan boleh letak perasa ikut citarasa sendiri. Resipi yang dikongsikan oleh Puan Mar Dhiah ini antara cara paling mudah untuk menghasilkan kerepek kentang homemade yang cantik kejadiannya.
Resipi Kerepek Kentang Homemade Rangup
Siapa peminat kentang macam saya kat sini? Kalau kentang banyak kat dapur tu, meh la cuba buat kerepek kentang homemade ni.
Bahan-bahan nak buat kerepek kentang homemade ni memang senang yakmat, kebanyakannya memang dah ada kat dapur.

Bahan-Bahan
3 biji kentang
2 sudu besar cuka
500ml air
Serbuk perasa mengikut citarasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng
Cara Buat Kerepek Kentang Homemade
1. Hiris Kentang Nipis
Kupas kulit kentang terlebih dahulu. Kemudian hiris nipis menggunakan pisau buah. Kalau nak hasil lebih sekata dan nipis, boleh juga gunakan penyagat atau slicer.

2. Rebus Dengan Air Cuka
Panaskan air bersama cuka sehingga mendidih. Selepas itu masukkan hirisan kentang dan rebus sekejap sekitar 3 minit sahaja.
Langkah ini penting supaya kerepek kentang homemade jadi lebih rangup dan warna kerepek lebih cantik selepas digoreng.

3. Toskan Kentang
Angkat kentang yang telah direbus tadi dan bilas seketika. Selepas itu toskan sehingga air betul-betul kering sebelum digoreng.
Jika kentang masih basah, minyak boleh meletup dan kerepek susah nak jadi rangup.

4. Goreng Hingga Garing
Panaskan minyak secukupnya dan goreng kentang menggunakan api sederhana besar.
Kena selalu kacau sebab hirisan kentang sangat nipis dan cepat hangit. Nak tahu kerepek dah garing, bunyi dalam kuali akan mula senyap.

5. Letak Serbuk Perasa
Bila kerepek kentang homemade dah nampak garing dan cantik keemasan, boleh terus angkat dan toskan minyak.
Taburkan serbuk perasa kegemaran masing-masing. Penulis menggunakan serbuk perasa jenama Bon Chef yang dibeli di kedai Eco.
Anda mungkin berminat dengan

Tips Kerepek Kentang Homemade Jadi Rangup
- Pastikan hirisan kentang nipis dan sekata.
- Gunakan air cuka ketika merebus untuk hasil lebih rangup.
- Toskan kentang sehingga kering sebelum menggoreng.
- Gunakan api sederhana supaya kerepek masak sekata dan tidak cepat hangit.
- Sentiasa kacau ketika menggoreng.
Memang nampak nipis dan rangup bila siap digoreng. Kalau makan sambil tengok TV, memang sedar-sedar habis satu bekas.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!
RASA: Menarik juga resipi kerepek kentang homemade yang dikongsikan ini. Kalau ikut cara dan teknik yang betul, memang mudah nak dapat kerepek yang nipis, rangup dan cantik tanpa hangit.
Sumber: Mar Dhiah
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!

