Buat Datin Umi Kalsom Abd Latib makan bersama keluarga adalah saat yang dinantikan dan tidak mahu dilepaskan. Di ketika inilah pelbagai cerita dikongsi bersama dan secara tidak langsung merapatkan hubungan sekeluarga.

Empat resipi dikongsi beliau ini sering menjadi hidangan sekeluarga. Cerita beliau Daging Goreng Masak Hitam antara menu yang digemarinya kerana resipi itu yang keluarga gemari. Istimewanya lagi resipi ini diperoleh dari ibu mertua yang mengajar beliau cara memasaknya. “ Walaupun cara memasaknya agak rumit tapi bila makan sangat sedap rasa. Daging tersebut perlu dipotong nipis dan ditumbuk halia dan kemudian diperap seketika. Goreng pula tidak boleh terlalu lembut dan terlalu garing. Masa menggorengnya juga agak lama,” akuinya.

Sementara resipi gulai udang ini adalah resipi orang Nogori dan memang resipi tradisi ibunda beliau sendiri. Tambah menyelerakan bila dipadu dengan kerabu pucuk pegaga. Menurut beliau ,membuat kerabu lain orang lain caranya. Cara beliau, kelapa digoreng terlebih dahulu tanpa minyak dan ia tidak terlalu halus. Itulah kelainan kerabu air tangan beliau.


DAGING GORENG MASAK HITAM
Bahan-bahan

  • 1 kilo daging
  • 7cm halia
  • 7 biji bawang putih
  • 2 sudu kecil serbuk cili
  • 4 sudu besar kicap pekat
  • 2 tangkai daun kari

Cara memasak:

  1. Daging dihiris nipis dan kecil.
  2. Perap daging bersama halia dan bawang putih yang telah ditumbuk halus sebentar selama 10 minit.
  3. Panaskan sedikit minyak ke dalam kuali dan goreng daging sedikit- sedikit hingga garing dan toskan. Ulang sehingga daging habis digoreng.
  4. Tambah minyak bila perlu sedikit demi sedikit hanya untunk mencukupi gorengan daging tadi sehingga habis.
  5. Tumis daun kari menggunakan sedikit minyak daging yang sedikit tadi , masukkan daging , serbuk cili dan kicap , gaul rata hingga secukup rasa angkat dan hidangkan.


GULAI UDANG BERSAMA CENDAWAN BUTANG

Bahan-bahan

  • 10 ekor udang kertas.
  • 10 ulas bawang merah. }
  • 3 ulas bawang putih. } ditumbuk halus
  • 10 biji cili padi. }
  • 5cm kunyit hidup. }
  • 3 kotak santan.
  • 1½ cawan air.
  • 2 paket cendawan butang (belah dua).
  • 1 batang serai (diketuk).
  • 1 keping asam gelugur.

Cara memasak:

  1. Dalam periuk (lebih enak jika menggunakan periuk tradisional yang perbuat dari tanah liat) masukkan bahan yang ditumbuk tadi bersama 1½ cawan air.
  2. Masukkan santan , garam , bila gulai sudah mendidih baru masukkan udang yang sudah dibersihkan tadi dan cendawan yang dibelah dua.
  3. Juga masukkan keping asam gelugur dan serai yang sudah diketuk ke dalam periuk gulai.
  4. Masukkan garam,gula secukup rasa jangan biarkan gulai mendidih terlalu lama sebab udang akan mengecil dan keras.
  5. Sedia dihidangkan.


PUDING ICE-CREAM

Bahan-bahan

  • 1 packet agar-agar
  • 5 tin air sejuk
  • 1 tin susu cair
  • ¼ tin santan
  • 1 tin gula (kurangkan jika tidak suka manis)
  • 4 biji telur ayam (asingkan putih telur dan kuning telur)
  • 1 sudu kecil asen vanilla
  • Pewarna merah (sedikit sahaja)

Cara memasak:

  1. Masakkan agar-agar bersama gula sampai mendidih.
  2. Asingkan putih telur dengan kuning telur.
  3. Pukul putih telur sehingga kembang.
  4. Masukkan putih telur tersebut ke dalam agar-agar dan bahagikan dua bekas.
  5. Campurkan asen vanila serta perwarna merah kepada satu bahagian.
  6. Satukan bahagian lagi dicampurkan dengan kuning telur , susu cair dan santan.
  7. Masakkan bahagian kuning telur tersebut didapur (api perlahan) sebentar.
  8. Tuangkan ke dalam adunan merah tadi.
  9. Akhir sekali masukkan ke dalam acuan sejukkan dalam peti sejuk.


KERABU PUCUK PEGAGA

Bahan-bahan

  • 2 ikat pegaga
  • ¼ kelapa parut (digoreng hingga kuning tanpa minyak) dan (ditumbuk kasar).
  • 1 biji bawang merah besar (dipotong halus).
  • 3 biji cili merah (dihiris halus)
  • 3 sudu kecil udang kering (ditumbuk halus)
  • ½ limau nipis (ambil airnya)
  • Garam,gula secukup rasa.

Cara memasak:

  1. Rendam dalam air sebentar pucuk pegaga, bersihkan dan tos. Potong kecil-kecil.
  2. Masukkan dalam bekas pucuk pegaga,kelapa goreng yang sudah ditumbuk tadi , udang kering, bawang merah , cili merah, garam, sedikit gula dan air limau nipis. Gaul rata.
  3. Sedia untuk dihidangkan.