Daun pisang ni memang penting peranannya dalam sajian masakan dan kuih muih tradisi kita. Makanan yang dibalut dengan daun pisau nampak hijau cantik serta wangi baunya.

Kuih abuk-abuk, tepung telita, pulut inti manis, kuih kochi, lepat, pulut panggan dan pelbagai jenis makanan memang lebih enak bila dibalut atau dijadikan acuan daripada daun pisang.

Makanan juga tahan lama dan lebih selamat dengan pembalut duit pisang berbanding plastik yang mengandungi bahan kimia. Ni min kongsikan petua mengenai daun pisang..

CARA PILIH DAUN PISANG DAN CARA NAK GUNAKANNYA :

  • Pilih daun pisang yang sama lebarnya dan tidak terlalu tua. Sebab daun pisang yang tua akan keras dan sukar dibentuk.
  • Sebelum digunakan, jemur sebentar di bawah sinar matahari atau layurkan (lalukan di atas bara api) sehingga ‘lembut’dan mudah dibentuk bila dibalut nanti.
  • Cuci bersih lalu lap daun pisang hingga kering.
  • Potong dengan ukuran yang sama, agar kuih-muih dibungkus sama seragam saiznya.
  • Ketika membuat kelongsong atau pembalut, pastikan balikkan daun pisang iaitu bahagian berwarna hijau menghadap ke dalam agar aromanya wangi.
  • Jika perlu gunakan lidi kecil untuk menyemat dan mengemaskan pembalut daun pisang ini.

TIP TAMBAHAN SIMPAN DAUN PISANG

Baki daun pisang tu jangan dibiarkan layu begitu sahaja. Kalau betul cara simpannya boleh aje tahan lama dan kekal  hijau warnanya. Bagi mak-mak yang bawa balik daun pisang dalam kuantiti yang banyak dari kampung, lagi pulak disimpan dalam but kerete ,ingat tau kena ‘disejukkan’ dulu daun pisang ni.

Berikut petua yang dikongsikan dalam FB Roslan Mamak Haji

1. Ketika gulung daun pisang jangan terlalu banyak, satu gulung dalam 10 helai cukup dan ikat dengan getah.

2. Kemudian rendam daun pisang dalam baldi yang diisikan dengan air untuk hilangkan haba

3. Selepas bawa balik ke rumah rendam sekali lagi dalam air selama 15 hingga 20 minit

Petua yang dilakukan di atas mampu mengelakkan daun pisang daripada menjadi lebam.

Cara lain simpan di rak sayur-sayuran di bahagian paling bawah peti sejuk . Tapi sebelum itu gulung daun pisang dan kemudian bungkus dengan kertas surat khabar dan ikat dengan tali getah. Masukkan gulungan ini di dalam peti atau rak sayur dalam peti sejuk.

Ni pulak resipi bonus kuih yang menggunakan pembalut daun pisang, jom cuba.

KUIH ABUK -ABUK

BAHAN-BAHAN :

  • 2 cawan biji sagu
  • 2 cawan kepala parut putih
  • 3 sudu makan gula merah
  • 3 sudu makan gula pasir
  • Garam secukup rasa
  • 10 calong daun pisang, lidi penyemat

CARA MEMASAK :

  1.  Basuh sagu dan toskan 5 minit.
  2.  Gaulkan sagu dengan kelapa dan tambahkan garam.
  3.  Campurkan gula merah dengan gula pasir.
  4. Masukkan dua sudu campuran sagu dalam ke dalam calong daun pisang.
  5. Kemudian sendukkan 1/2 sudu campuran gula dan disudahi dengan satu sudu campuran sagu.
  6. Tutup calong dan sematkan dengan lidi. Kukus kuih lebih kurang 10 minit.
  7. Kuih abuk-abuk siap dihidangkan.

Saiz hidangan : 4- 5 orang makan

Masa memasak : 15 minit

Cara memasak : Kukus

Jenis masakan : Kuih tradisional

Keistimewaan : Rasa sagu yang lembut dengan inti gula, pencuci mulut yang lemak manis.

Anggaran kos : RM 6

INFO CHEF : Gunakan sagu biji putih asli. Bahan yang bermutu dan asli menjamin kualiti kuih abuk-abuk yang lebih enak.