Alangkah baiknya jika kita menjadikan hidangan berasaskan makanan sunah sebagai keutamaan. Kita olah resipi menggunakan makanan sunah yang menjadi makanan kegemaran Rasulullah. Misalnya kurma, delima, barli dan kismis. Ada banyak lagi makanan sunah sebenarnya.

Makanan sunah terbukti menyihatkan dan mengandungi pelbagai manfaat untuk tubuh. Misalnya barli yang membantu menyejukkan tubuh terutama bagi mereka yang menghidap demam. RASA tampilkan resipi yang menggunakan bahan makanan sunah untuk anda.

BUBUR BARLI

BAHAN-BAHAN
1 cawan barli (direndam 1 jam dan toskan)
1/2 cawan gula pasir
2 sudu besar gula merah
1 cawan santan pekat
2 helai daun pandan (disimpul)
Sedikit garam

CARA MEMBUAT
1. Rebus barli dengan 2 cawan air sehingga kembang. Lebih kurang 30 minit.
2. Dalam periuk lain, isi 1/2 cawan air. Kemudian masukkan gula pasir dan gula merah. Biarkan mendidih.
3. Tapiskan bancuhan gula ke dalam periuk berisi barli tadi.
4. Masukkan santan, daun pandan dan garam. Kacau sehingga mendidih lagi.
5. Masukkan ke dalam mangkuk dan sedia hidangkan.

KEK DELIMA

BAHAN-BAHAN
150 gram mentega
150 gram gula perang
3 biji telur ayam
150 gram tepung naik sendiri
1 biji buah delima ukuran sedang (diambil jusnya)
1/2 sudu teh serbuk rempah kek
1/4 sudu teh vanila
1/4 sudu teh garam

CARA MEMBUAT
1. Satukan mentega dan gula. Pukul sehingga kembang.
2. Sambil itu, masukkan telur ayam satu demi satu.
3. Masukkan tepung naik sendiri, jus delima, serbuk rempah kek, vanila dan garam. Gaulkan sebati.
4. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 45 minit.

KEK KURMA

BAHAN-BAHAN
20 biji kurma
1/2 cawan minyak masak
3/4 cawan gula halus
3/4 cawan susu UHT
1 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking soda
1 sudu teh esen vanila
1 genggam kecil gajus (ditumbuk kasar)

CARA MEMBUAT
1. Buang biji kurma. Kisar kurma sehingga halus dengan sedikit air. Masukkan kurma dalam bekas mixing.
2. Masukkan bahan minyak masak, gula halus dan susu UHT. Gaul sehingga sebati.
3. Masukkan tepung gandum, baking soda dan esen vanila.
4. Masukkan gajus dan kacau lagi.
5. Bakar kek selama 35 minit pada suhu 180 darjah celcius.

ROTI KISMIS

BAHAN A
500 gram tepung roti
1/2 sudu kecil garam halus
50 gram mentega

BAHAN B
6 sudu besar gula kastor

1 sudu kecil yis

BAHAN C
225ml susu suam
1 biji telur – dipukul sikit

BAHAN DALAM ROTI
Sedikit mentega (dicairkan)
Kismis
Gula perang

BAHAN SAPU ATAS ROTI
2 sudu besar gula kastor (dibancuh dengan sedikit air panas dan sedikit esen vanila)

CARA MEMBUAT
1. Campur semua Bahan A. Gaulkan supaya bercampur mesra.
2. Masukkan Bahan B. Gaul sebati.
3. Buat lubang di tengah adunan tepung dan masukkan Bahan C. Uli sehingga menjadi doh.
4. Masukkan doh ke dalam bekas yang telah ditabur sedikit tepung. Tutup dan biar naik dua kali ganda.
5. Tumbuk-tumbuk doh dan leperkan doh. Sapu permukaan doh ini dengan mentega cair.
6. Taburkan kismis dan gula perang.
7. Gulung doh dengan kemas dan potong doh kepada beberapa bahagian.
8. Susunkan doh yang dipotong tadi dalam loyang. Sapu loyang dengan sedikit mentega dulu. Tutup dengan kain atau plastik dan biarkan naik sekali ganda.
9. Bakar selama 15 minit dengan suhu 200 darjah celcius.
10. Biarkan roti selama 20 minit sebelum diangkat keluar dari loyang. Ini supaya roti tidak melekat pada loyang. Kemudian, sapukan atas roti dengan bahan sapuan tadi.

MUFIN VANILA DENGAN KISMIS

BAHAN A
1 biji telur ayam
1/2 sudu kecil esen vanila
1/2 cawan minyak jagung
1 1/4 cawan susu segar

BAHAN B
2 cawan tepung gandum
3 sudu kecil baking powder
1 cawan gula kastor
Secubit garam

BAHAN C
Kismis

CARA MEMBUAT
1. Ayak Bahan B dan satukan dalam mangkuk. Buatkan lubang di tengah-tengahnya
2. Sediakan Bahan A. Dalam mangkuk lain, pukul telur ayam dan esen vanila. Kemudian masukkan minyak jagung dan susu segar. Kacau sehingga sebati. Tuangkan ke dalam Bahan B tadi.
3. Kacau rata secara kaup balik menggunakan senduk. Adunan memang berketul-ketul sedikit.
4. Biarkan adunan tadi lebih kurang 5 minit. Kacau dalam bentuk bulatan. Tuangkan adunan sebanyak 3/4 muffin cup.
5. Letakkan kismis di dalam dan di atas mufin tadi.
6. Bakar mufin dalam ketuhar yang telah panas pada suhu 170 darjah celsius selama 20 minit.

Selamat mencuba!