Goreng kacang tanah, dengar macam senangkan, tapi sebenarnya ia bukan senang yang pro pun kerap juga gagal, sebabnya menggoreng kacang ada tekniknya supaya ia tidak pahit atau liat sebab kurang masak. Nak tahu macam mana cara yang sempurna goreng kacang tanah, korang kena baca tip yang RASA kongsikan ini:-
Pilih Kacang Tanah Yang Elok
Ini penting, kualiti kacang yang elok mempunyai kulit ari yang terang dan saiz biji kacang adalah sama. Jangan beli kacang yang tak sama saiz, ia akan menyebabkan kacang tidak masak sekata bila digoreng.
Gunakan Minyak Banyak Semasa Menggoreng
Semasa menggoreng pastikan semua kacang tenggelam dalam minyak masak yang panas. Oleh itu korang perlu menggunakan minyak lebih banyak dari kacang. Seperkata lagi korang perlu sentiasa kacau supaya kacang masak sekata. Tidak ada istilah menyambil semasa menggoreng kacang tanah.
Angkat Kacang Sebelum Kacang Betul-Betul Masak
Perhatikan betul, bila kacang tanah yang digoreng bertukar warna kuning muda atau rasa hampir masak, segera angkat kerana ia akan betul-betul masak dan garing dalam beberapa saat semasa proses mengangkatnya. Jangan tunggu kulit kacang sudah berwarna kecoklatan atau masak sepenuhnya. Akibatnya kacang akan berasa sedikit pahit kerana terlalu ‘over cook’. Atau biarkan kacau dalam kuali walaupun api sudah ditutup. Kuali panas akan jadikan kacang anda hangus.
Rendam Dalam Air Mendidih
Jika korang ingin menggoreng tanpa kulit arinya, sebaiknya rendam kacang dalam air mendidih lebih kurang 10 minit supaya kulit arinya lembut dan senang dibuang. Kemudian tos sebelum sedia digoreng. Pastikan semua kulit ari dibuang, jika tidak ada sisa kulit ia akan cepat hangus dan menjadikannya pahit.
Guna Api Sederhana
Jika anda goreng kacang tanpa minyak (sangai) pastikan anda menggunakan api sederhana dan sentiasa kacau supaya kacang masak sekata. Cara ini agak lambat berbanding menggoreng menggunakan minyak.
Selamat mencuba ye…
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Info Menarik Mengenai Air Soya, Tauhu & Tempe Yang Perlu Anda Tahu.
Kacang soya merupakan makanan seimbang yang sangat baik dan lebih murah berbanding daging, susu atau telur. Ia mengandungi 50% protein bagi setiap 100 gm kacang soya, 11 kali ganda daripada susu dan tiga kali ganda lebih daripada telur. Ia juga kaya dengan bahan mineral seperti kalsium, sodium, magnesium, zat besi dan fosforus. Ia juga kaya dengan vitamin A,B,C,D serta lecithin.
Walaupun kecil, tapi banyak makanan yang boleh dihasilkan menggunakan kacang ini. Antara yang popular ialah tauhu, tempe dan juga air kacang soya.
MANFAAT AIR SOYA
Air kacang soya terkenal sebagai minuman yang sangat menyegarkan dan baik untuk kesihatan. Kalau ke pasar malam, memang banyak orang jual air ni. Nikmati sejuk atau panas, dua-duanya sangat enak. Tapi, ia bukan sahaja sedap tapi banyak manfaat untuk tubuh badan.
Kandungan air kacang soya terletak pada komponen dalam soya yang meliputi karbohidrat, serat (fiber), vitamin E dan K, asid lemak essensial. Lisin adalah jenis asid amino yang banyak terkandung dalam air soya.
Air kacang soya juga merupakan sumber protein yang sangat lengkap yang diperlukan oleh tubuh. Soya mengandungi sembilan asid amino esensial. Tubuh akan mengubah asid amino menjadi protein baru, termasuk antibodi penting untuk fungsi sistem kekebalan tubuh dan enzim yang membantu sel-sel menghasilkan energi. Setiap secawan air soya tanpa gula, mengandung 7 gram protein.
Air kacang soya juga kaya dengan kandungan vitamin dan mineral lain yang diperlukan oleh tubuh manusia. Berikut beberapa kandungan vitamin dan mineral daripada air kacang soya ini :
- Kalsium
- Zat Besi
- Riboflavin
- Vitamin B12
Antara KEBAIKAN yang boleh didapati dengan meminum air kacang soya ialah;
1. UNTUK KESIHATAN JANTUNG
Penyakit jantung merupakan salah satu masalah kesihatan yang paling sering dialami oleh lelaki. MayoClinic.com (portal kesihatan dunia) menyarankan untuk melakukan diet rendah lemak tepu dan sodium serta tinggi protein untuk mencegah masalah kardiovaskular. 1 cawan air kacang soya mengandung 3.6 gram lemak, 6.3 gram protein, 104 kalori dan hanya 0,5 gram lemak tepu. Selain rendah kalori, lemak dan tinggi protein, nisbah lemak tepu dan tak tepu kacang soya dapat membantu mengawal tekanan darah tinggi dan kolesterol.
2. MENGURANGI KOLESTEROL DALAM DARAH
Antioksidan dalam isoflavon pada kacang-kacangan seperti soya, mampu menaikkan kadar HDL yang baik untuk kesihatan jantung. Manakala lesitin dipercayai dapat membantu menurunkan kadar LDL (kolesterol jahat) dalam darah yang dapat membantu meningkatkan kesihatan tubuh.
3. MENGURANGI RISIKO DIABETES
Protein di dalam air kacang soya lebih mudah diolah oleh buah pinggang pesakit diabetes, dibandingkan dengan protein haiwan seperti susu lembu.
4. MENCEGAH OSTEOPOROSIS
Osteoporosis merupakan salah satu penyakit yang disebabkan oleh bertambahnya usia dan kekurangan hormon. Fitoestrogen dalam kacang soya dapat membantu mempercepat penyerapan kalsium oleh tubuh dan mencegah hilangnya massa tulang yang dapat menyebabkan osteoporosis. Untuk manfaat maksimum, pastikan untuk membeli air kacang soya yang diperkaya dengan kalsium tambahan dan vitamin D.
5. BAGUS UNTUK ORANG DIET
Air kacang soya juga dapat memenuhi keperluan zat bagi yang berdiet. AirAir kacang soya rendah lemak, namun tinggi protein. Walau bagaimana pun, apa juga yang kita ambil perlu bersederhana. Dikatakan air kacang soya tidak bagus diambil oleh mereka menghidap kanser payudara.
ADA APA DENGAN TAUHU?
Satu lagi makanan yang dihasilkan daripada kacang soya ialah tauhu. Ia merupakan sumber protein yang sangat bermanfaat untuk kesihatan. Kandungan protein yang tinggi pada tauhu juga boleh dimanfaatkan untuk menjauhkan segala macam penyakit berbahaya. Tauhu dibuat dengan mengeraskan pati soya menggunakan garam mineral (biasanya kalsium sulfat). Pati soya inilah yang membuat tauhu kaya dengan khasiat kesihatan.
Pelbagai hidangan boleh disediakan dengan menggunakan tauhu dan pastinya ia bukan sahaja sedap bahkan penuh khasiat. Dari sudut kesihatan, antara khasiat tauhu ialah:
1. MENINGKATKAN PENGELUARAN TENAGA
Tauhu merupakan sumber zat besi yang baik. Setiap 100 gram tauhu menyediakan 30% daripada yang diperlukan badan dalam hari. Zat besi dalam tauhu ini bersatu dengan hemoglobin di dalam badan yang membantu proses pemulihan dan pelepasan oksigen ke seluruh tubuh yang kemudian menghasilkan tenaga baru. Mineral ini diperlukan tubuh agar zat besi boleh bekerja baik di dalam sel darah merah.
2. MEMBANTU MENURUNKAN BERAT BADAN
Tauhu yang tinggi protein membuatkan perut tidak cepat merasa lapar selepas memakannya. Juga, sifat rendah kalori (kira-kira 80 kalori dalam 100 gram) tidak menambah kalori tambahan untuk menu diet anda.
3. MASALAH RAMBUT GUGUR
Rambut memerlukan banyak protein kerana hampir 97% pertumbuhan rambut datang daripada protein. Jika tubuh badan anda kekurangan protein, maka tubuh anda akan mengambil protein daripada sumber yang lain. Salah satunya adalah rambut anda. Tidak hairan jika rambut mudah patah, kering dan gugur. Oleh kerana itu sangat disarankan pengambilan protein yang mencukupi setiap hari. Tubuh anda memerlukan protein untuk pertumbuhan semula, maka jangan abaikan nutrisi ini.
4. ANTI-PENUAAN
Manfaat lain daripada makan tauhu dengan kerap ialah ia melambatkan proses penuaan dengan ketara. Tauhu membantu mengekalkan keanjalan kulit dan nada otot muka yang seterusnya menghalang penuaan. Membuat pes tauhu dan diletakkan pada muka juga merupakan idea yang baik kerana ia menyuburkan kulit.
TEMPE TURUNKAN KOLESTEROL?
Tempe jauh lebih kaya nutrisi jika dibanding dengan produk-produk soya yang lain. Ia lebih padat dan hanya mengandungi sedikit kadar air, menyediakan dua kali kalori, lemak, protein serta empat kali lebih banyak karbohidrat.
Ia dihasilkan dari kacang soya yang diperam bersama ragi untuk tempoh tertentu. Menurut kajian, kandungan zat yang terkandung di dalam tempe setanding dengan kandungan gizi yang ada pada yogurt. Untuk menikmatinya pula, tidak perlu dimasak dengan resipi sukar. Tempe yang hanya digoreng bersama garam dan kunyit atau ditambah ke dalam lauk pauk pun sudah cukup untuk menyerlahkan rasa serta keenakannya.
Antara kebaikan dengan memakan tempe:
- Membantu menurunkan kolesterol
- Menguatkan tulang dan menyingkirkan gejala menopaus
- Mengurangi risiko kanser
- Mencegah anemia
Oleh itu, lepas ni bolehlah masukkan hidangan soya ini dalam juadah harian anda. Selamat mencuba!
6 Carta Masakan Ini Memang Memudahkan Kerja & Jadikan Anda Seorang Bakers Handal!
Aneka carta yang boleh memudahkan dan cepatkan kerja-kerja anda membuat kek di dapur. Tak perlu pening-pening google dah lepas ni.
1. Panduan Bahagikan Sukatan Adunan
Carta ini sangat berguna, ia telah dikongsi lebih sejuta kali di internet. Memang berguna!
Untuk info lanjut, klik He and She Eat Clean »
2. Cara Paip Ising Dengan Sempurna
Geram tengok aneka kek yang dihias indah? Ha…Ini rahsianya! Aneka jenis nozzle yang digunakan dalam mendeko kek.
Untuk info lajut, klik Gygi »
3. Alah Dengan Telur?
Bahan-bahan ini boleh anda guna untuk gantikan telur dalam kek dan manisan anda.
Untuk info lanjut, klik Muffin Paradise »
4. Tukar Sukatan Dengan Mudah
Jika resipi dalam gram, agak sukar untuk menimbangnya lebih-lebih lagi jika anda tak ada penimbang di rumah. Usah risan kerana carta ini boleh selesaikan masalah anda.
Untuk info lanjuk, klik JavaCupcake »
5. Jenis-Jenis Gula
Semua yang anda perlu tahu mengenai jenis-jenis gula disenaraikan di sini. Sangat berguna lebih-lebih lagi jika anda cuba resipi dari luar negara.
Untuk info lanjut, klik Buzzfeed »
6. Aneka Acuan Kek
Terdapat banyak jenis acuan kek yang ada di pasaran. Berikut adalah setengah daripadanya dan mungkin anda selalu guna.
Untuk info lanjut, klik Get Drop »
Buat Roti Homemade Tapi Tak Menjadi? 15 Kesilapan Ini Mungkin Puncanya.
“Macam-macam jenis resipi roti homemade yang sudah saya cuba. Malangnya, setiap kali membuatnya ada saja masalah yang berlaku. Ada kalanya roti terlalu keras atau tidak masak sepenuhnya. Pernah juga roti menjadi keras dan berlubang pada bahagian tengah doh. Apa punca sebenar yang menyebabkan masalah ini?“.
Bagi anda yang suka buat roti homemade, masalah-masalah ini pastinya pernah dialami. Ada kalanya, resipi dan cara dah ikut betul-betul dah. Tetapi masih tak menjadi. Oleh itu RASA ingin berkongsi 15 faktor yang mungkin menyebabkan roti yang anda buat tidak seperti yang diinginkan. Nanti lepas ni bolehlah elakkan dari melakukan kesilapan yang sama. Semoga panduan yang sedikit ini boleh membantu anda.
15 PUNCA ROTI HOMEMADE TIDAK MENJADI
1. DOH TAK KEMBANG
Apabila anda menggunakan yis yang sudah ‘mati’, ia boleh membantutkan proses pengembangan doh. Jika anda menggunakan air yang terlalu sejuk juga akan menyebabkan yis menjadi tidak aktif manakala air panas pula akan mematikan yis. Oleh itu pastikan anda menggunakan yis yang baru dan menggunakan air suhu yang bersesuaian.
2. ROTI ‘PUCAT’
Suhu ketika membakar roti perlu tepat. Jika terlalu rendah atau doh yang diletakkan dalam acuan terlalu rapat akan membuatkan pengagihan haba yang tidak rata seterusnya menjadikan ada bahagian roti yang tidak terkena haba.
3. ROTI MEREKAH
Disebabkan oleh suhu ketuhar yang terlalu tinggi dan proses pengembangan yang tidak cukup lama. Ia akan menyebabkan doh merekah kerana bentuknya yang tidak sempurna.
4. ROTI ‘KECUT’
Masalah ini sering berlalu jika doh terlalu kembang atau terlalu nipis.
5. ROTI MENJADI BENYEK
Penggunaan tepung yang berlebihan atau tempat pengembangan doh terlalu panas. Selain itu, pembentukan doh yang tidak sempurna atau suhu ketuhar yang terlalu sejuk.
6. BAHAGIAN ATAS ROTI MEREKAH
Doh terlalu keras kerana kekurangan air ketika proses mengadun/menguli. Roti dikeluarkan dari ketuhar sebaik sahaja masak dan diletakkan di tempat sejuk. Peralihan suhu akan menghasilkan wap.
7. BAHAGIAN BAWAH ROTI TIDAK MASAK
Roti yang dikeluarkan dari acuan pembakar tidak disejukkan di atas redai dengan baik.
8. KERAK ROTI TEBAL
Suhu ketuhar yang tinggi atau penggunaan dusting flour yang terlalu banyak.
9. ROTI ‘BERAT’ & PADAT
Penggunaan tepung yang berlebihan atau doh tidak melalui pengembangan yang sempurna. Selain itu, penggunaan sesetengah jenis tepung gandum penuh atau rai mempunyai tekstur yang padat boleh menjadikan roti ‘berat’.
10. ROTI LEMBAP & KASAR
Doh melalui proses pengembangan yang tidak sempurna.
11. ROTI NAMPAK ‘BERTALI’ GELAP
Proses menguli tidak sempurna atau acuan pembakar digris secara berlebihan. Doh yang dikembangkan terlalu kering juga boleh menjadi punca masalah ini.
12. ROTI KERING & KASAR
Tepung terlalu banyak dalam doh dan tidak diuli secukupnya. Suhu terlalu panas ketika roti dibakar juga akan menyebabkan roti menjadi kering dan mempunyai tekstur yang kasar.
13. ROTI ADA ‘LUBANG’
Ketika doh dibentuk, udara di dalamnya tidak dibuang atau doh dikembangkan terlalu lama.
14. ROTI BERBAU & ADA RASA YIS
Doh roti melalui proses pengembangan yang terlalu lama serta dikembangkan di tempat yang terlalu panas.
15. ROTI MASAM
Doh dibiarkan untuk kembang terlalu lama sebelum dibakar dan diletakkan di tempat panas.