Mi Kolok atau di panggil mi kering atau mi rungkai memang cukup terkenal di negeri Sarawak. Rasa yang ringkas tetapi cukup menyelerakan bagi yang suka hidangan yang sederhana.
MI KOLOK DAGING SARAWAK
BAHAN-BAHAN:
- 3-4 gulung mi sanggul
- 1 sudu makan perencah sup
- 100gm daging
- 5 ulas bawang putih ] dicincang
- 8 biji cili api
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 4 sudu makan minyak masak
- 5 sudu teh kicap manis
- 1 sudu teh kicap pekat
- 2 biji limau kasturi ] ambil jusnya
- 1 sudu teh sos ikan atau sos soya
- 1 sudu teh cuka
- Daun bawang & daun sup ] dihiris
- Air secukupnya
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK SUP:
1. Rebus daging bersama perencah sup, garam dan air secukupnya. Rebus sampai empuk.
2. Setelah masak, toskan daging dan hiriskan nipis-nipis.
3. Ketepikan kuah/supnya (boleh panaskan semula dan tambahkan sedikit air jika berkurangan)
CARA MEMASAKA MI:
1. Rebuskan mi bersama sedikit garam sehingga lembut (40 saat). Keluarkan dan toskan.
2. Panaskan 2 sudu besar minyak masak dalam kuali. Goreng bawang putih sehingga garing. Keluarkan.
3. Masukkan pula mi yang telah ditoskan ke dalam kuali dan goreng sebentar menggunakan minyak bekas bawang tadi.
4. Perasakan dengan cuka, sos ikan / sos soya dan sedikit garam. Keluarkan dan ketepikan.
5. Di dalam kuali yang sama, panaskan 2 sudu besar minyak masak dan goreng daging yang telah dihiris tadi.
6. Masukkan kicap pekat, 1/2 sudu besar kicap manis, serbuk lada hitam dan secubit garam.
CARA MEMASAK SAMBAL:
1. Kisar cili api dengan 1 ulas bawang putih hingga lumat. Kemudian gaulkan bersama kicap manis dan perahan jus limau kasturi.
Info Chef: Jika tiada kicap manis, boleh guna kicap masin dan tambah sedikit gula.
Saiz hidangan: 5-6 orang
Jenis hidangan: Mi
Waktu memasak: 60 minit
Cara memasak: Tumis dan reneh
Keistimewaan: Rasa mi yang sedap ditambah pula dengan supnyang lazat
Anggaran kos: RM25
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cik Manggis Dapat Pujian Ayah, Markah Hebat Masakan Mi Bandungnya
Seronok dan 'happy' sungguh Cik Manggis (De Fam) bila masakan Mi Bandungnya dipuji oleh ayahnya Shamsuddin Idris (pemain drum The Zurah II). Mi Bandung ni memang sajian kegemaran ayah Cik Manggis. Shamsuddin beri markah 8 untuk sajian air tangan anak kesayangannya.
Cik Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin ceria menemani ayahnya makan Mi Bandung di Restoran Mak Ngah Corner, Bukit Jelutong, Shah Alam. Balik dari restoran yang juga milik sahabat karib ayahnya, Cik Manggis buat kejutan membawa ayahnya ke homestay di Rawang , Selangor untuk berehat. Rupa-rupanya dalam diam-diam Cik Manggis ke pasaraya membeli bahan ramuan untuk masak Mi Bandung semasa ayahnya berehat tidur.
Sebelum itu Shamsuddin memang ada mencabar anaknya untuk masak Mi Bandung. Tak sangka pula bila bangun tidur, Mi Bandung dah siap dimasak. Katanya mi bandung Vik Manggis memang sedap dan beri markah 8 daripada 10. Paling mengejutkan Cik Manggis pemilik Restoran Mak Ngah Corner yang dipanggil Pak Ngah oleh Cik Manggis memberi markah 9 untuk Mi Bandung , Cik Manggis.
Hari tu memang cukup menggembirakan dua beranak ini. Apa tidaknya dapat mengisi masa lapang bersama dengan berkaroake dan bermain, disulami dengan gelak ketawa.Memang sungguh anak bapak ni.Ni lah masa dapat bermanja dengan bapak…sweet kan.
MI BANDUNG
BAHAN-BAHAN :
- 400 gm @ 1 bungkus mi kuning | bilas dan celur
- 4-5 ekor udang basang *saiz sederhana
- 2-3 ekor sotong | dipotong bulat
- 50gm udang kering | dikisar * kalau nak wangi boleh sangai dulu baru kisar
- 1/4 cawan kacang tanah goreng |ditumbuk
- 1 ikat sawi | dipotong
- 200gm hirisan daging @ secukupnya
- 5 cawan air rebusan daging * bergantung kepada kepekatan dan jumlah kuah yang diingini
- 1 kiub ayam
- 4 biji telur
- Gula secukupnya
- Sedikit garam jika perlu * sebab udang kering pun dah bergaram
Bahan kisar :
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 3 sudu makan pes cili kering
Bahan hiasan :
3 keping tauhu goreng | dihiris nipis
Bawang goreng secukupnya
Hirisan cili merah
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga cili masak dan terbit minyak. Masukkan udang kering yang telah dikisar hingga naik bau.
2. Kemudian masukkan air rebusan daging, kacang, udang basah, hirisan daging dan juga sotong. Didihkan, masukkan gula dan garam secukup rasa.
3. Kecilkan api. Pecahkan telur sebiji sebiji. Jangan kacau supaya telur tidak pecah. Biarkan telur masak/separuh masak, ikut suka. Akhir sekali masukkan sawi.
4. Tutup api. Curahkan kuah di atas mi. Hiaskan dengan bawang goreng, tauhu goreng, hirisan cili dan limau nipis/limau kasturi. Siap untuk dimakan.
Teruskan menonton Rasa Anak Emak Anak Bapak setiap hari Khamis, jam 1 petang di Astro Prima 105 dan Prima HD 121
Masak Sendiri Mi Udang, Puas Makan
Teringin nak makan mi udang. Nak beli, kadang tak sesuai dengan harga. Mahal tapi udang tak banyak. Kalau ada pun, mungkin udangnya kurang segar. Ha, kalau macam tu, apa kata masak sendiri mi udang ikut selera kita.
RASA kongsikan resipi mi udang. Boleh cuba buat hujung minggu nanti. Mi udang menjadi kesukaan bagi mereka yang gemar makan makanan laut. Rasa udang yang manis-manis disertai dengan pedas kuah mi itu sangat menghantui. Kalau kita boleh masak sendiri, mesti lebih puas makan.
MI UDANG KUAH PEKAT
BAHAN-BAHAN
Udang secukupnya
Kepala udang direbus untuk jadikan stok
Sebiji kentang
Sebiji keledek sederhana besar
Garam
Gula
Mi kuning secukupnya
BAHAN KISAR
Segenggam cili kering
3 ulas bawang putih
2 inci halia
7 biji bawang merah
1 sudu besar pes tomyam
2 peket udang kering
BAHAN HIASAN
• daun bawang
• bawang goreng
• cili merah dan hijau
• telur rebus
• limau nipis / kasturi
CARA MEMBUAT
1. Rebus kepala udang. Dapatkan 1 mangkuk sederhana stok udang. Ketepikan.
2. Rebus kentang dan keledek. Kisar halus dan ketepikan.
3. Kisar semua Bahan Kisar. Tumis sehingga naik bau.
4. Masukkan stok udang. Masak lagi sehingga mendidih.
5. Masukkan garam dan gula secukupnya.
6. Masuk keledek dan kentang yang sudah dikisar tadi.
7. Tambah air jika perlu. Bila dah didih baru masukkan udang. Biarkan mendidih dan matikan api.
CARA PENYEDIAAN
1. Letakkan mi yang sudah dicelur ke dalam mangkuk.
2. Tuangkan kuah.
3. Hiaskan dengan Bahan Hiasan.
4. Sedia dinikmati.
Selamat mencuba.
Resipi Oleh Siti Aisyah dari Telegram KakiMakan
Boleh Cuba 8 Menu Aneka Mi Yang Sedap & Senang Masak Ni.
Asyik makan nasi je, apa kata sekali sekala kita tukar pada mi atau bihun untuk hidangan utama keluarga.Malah ini idea bagus untuk hidangan tetamu yang berkunjung ke rumah. Tambahan pula semua menu ini disukai oleh ramai rakyat Malaysia. Berikut RASA kongsikan lapan menu mi yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia. Anda boleh cuba salah satu kerana kesemua menu ini sangat sedap dan mudah disediakan.
MI GORENG MAMAK
BAHAN-BAHAN:
- 1kg mi kuning
- 40gm bawang merah kisar
- 30gm bawang putih kisar
- 20gm cili boh
- 30gm kuah kacang segera
- 100gm bebola ikan hiris
- 100gm fish cake | hiris
- 100gm isi ayam potong dadu
- 50gm udang
- 1 keping tauhu | goreng hiris nipis
- 3 biji telur
- 50gm tauge
- 50 sawi | potong
- Minyak masak secukupnya
BAHAN KUAH KACANG:
- 300gm kacang tanah
- 500gm bawang merah kisar
- 300gm bawang putih kisar
- 30gm udang kering
- 500gm cili boh
- 3 liter air
- Garam dan gula secukupnya
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Untuk memasak kuah kacang; kacang tanah disangai dan dibuang kulit. Kemudian dikisar halus bersama udang kering.
- Tumis bawang merah dan bawang putih hingga terbit bau.
- Masukkan cili boh dan tumis hingga masak. Masukkan kacang yang dikisar tadi dan air. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Ketepikan
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih sehingga masak.
- Masukkan cili boh satu sudu makan dan tumis sehingga masak.
- Masukkan kuah kacang yang telah dimasak tadi dan masak sehingga sedikit kering.
- Masukkan mi kuning bebola ikan, fish cake dan isi ayam.
- Pastikan bahan-bahan mentah sudah masak.
- Masukkan tauhu goreng, tauge dan sawi.
- Pecahkan tiga biji telur di tengah kuali, biar seketika barulah digaul sekata.
- Angkat dan sedia dinikmati panas-panas.
CHAR KUETIAU
BAHAN-BAHAN:
- 1kg kuetiau
- 150gm udang
- 50gm bawang putih kisar
- 50gm cili boh
- 30ml kicap cair
- 10gm lada putih
- 2 biji telur
- 30gm tauge
- 50gm kucai
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Masuk udang dan ditumis sebentar. Masukkan bawang putih, terus masukkan kuetiau untuk digaul bersama.
2. Semasa gaul, pastikan kuetiau tidak melekat antara suatu sama lain.
3. Masukkan cili boh, lada putih dan kicap cair, gaul sehingga rata.
4. Pecahkan telur di tengah kuali dan kacau sehingga sedikit kering dan gaulkan bersama kuetiau.
5. Masukkan kucai dan tauge.
6. Hidangan siap dihidangkan.
MI SOTO AYAM
BAHAN-BAHAN:
- 1kg mi kuning | celur
- 1liter air
- 2gm bunga lawang
- 5 helai daun limau purut |kisar
- 2gm biji pelaga
- 2gm kulit kayu manis
- 50gm bawang merah | kisar
- 30gm bawang putih | kisar
- 5gm halia
- 1/2 paket rempah sup
- 1 batang serai | titik
- 5gm jintan manis
- 5gm jintan putih
- 5gm serbuk lada hitam
- 50gm isi ayam
- 20gm serbuk ketumbar
- 10ml minyak masak
- 400gm nasi impit | rebus
- 100gm bawang goreng | hiasan
- 30gm tauge | hiasan
- Sedikit hirisan cili merah | hirisan
- Garam dan perasa secukupnya
BAHAN SAMBAL KICAP CILI PADI:
- 20gm cili padi merah/cili api
- 5gm bawang putih
- 150ml kicap lemak manis
- 5ml air limau nipis
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak di dalam periuk dan masukkan tiga sekawan iaitu buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang.
2. Tumis bawang merah, bawang putih, halia, serai, daun limau purut yang telah dikisar sehingga naik bau.
3. Masukkan rempah sup, serbuk ketumbar dan serbuk lada hitam dan tumis sehingga pecah minyak.
4. Masukkan air biar sehingga mendidih. Masukkan isi ayam dan perasakan dengan garam secukup rasa.
5.Biar mereneh dan tutup api.
6. Untuk membuat sambal kicap, kisar semua bahan. Seimbangkan rasanya.
7. Untuk menghidang, masukkan mi ke dalam bekas. Masukkan potongan nasi impit. Tuang kuah soto dan hiaskan dengan bawang goreng,hirisan cili merah, tauge di atasnya. Sedia dinikmati.
BIHUN SINGAPORE
BAHAN-BAHAN:
- 1kg bihun | rendam dan tos
- 10ml minyak masak
- 50gm bawang merah kisar
- 30gm bawang putih kisar
- 5gm lada putih
- 5gm lada hitam
- 100gm isi ayam potong dadu
- 100gm udang
- 100gm sotong
- 50gm lobakmerah hiris panjang
- 10gm daun bawang hiris panjang
- 1 biji telur
- 10gm cili merah hiris
- Sedikit daun kucai | hiris
- Sedikit tauge
- Garam dan perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak masak, tumis bawang merah, bawang putih sehingga masak
2. Masukkan lada putih dan lada hitam. Masukkan isi ayam, udang dan sotong. Masak dan pastikan bahan-bahan tersebut masak sepenuhnya.
3. Masukkan mihun dan pecahkan telur di tengah kuali dan gaul sekata.
4. Masukkan sayur-sayuran dan gaul sehingga sebati.
MI LADNA
BAHAN-BAHAN:
- 1kg mi kuning | celur
- 10gm halia kisar
- 30gm bawang putih kisar
- 100gm isi ayam
- 50 sotong
- 50gm udang
- 50gm sawi
- 5 biji cili padi | belah dua
- 50gm lobak | hiris
- 50gm bunga kobis | potong
- 4 biji cendawan butang dalam tin | hiris
- 500 liter air
- 30ml sos tiram
- 5ml minyak bijan
- Sedikit tepung jagung
- Minyak masak secukupnya
- Garam dan perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Tumis halia,bawang putih yang dihiris halus.
2. Masuk kan isi ayam, udang dan sotong. Biarkan sehingga masak.
3. Tambahkan sos tiram, gaul sehingga sebati dan masukkan air.
4. Pekat kan sos ladna dengan tepung jagung.
5. Biar sehingga mendidih, kemudian masukkan semua sayur.
6. Tambah sedikit minyak bijan untuk memberi aroma.
7. Masukkan garam secukup rasa.
8. Angkat, tuangkan ke atas mi dan sedia dihidangkan.
BIHUN TOMYAM
BAHAN-BAHAN:
- 1kg bihun | celur
- Minyak masak secukupnya
BAHAN PES:
- 30gm bawang merah
- 20gm bawang putih
- 20gm cili merah
- 30gm cili kering
- 10gm lengkuas
- 2batang serai | ketuk
- 8gm udang kering
- 5 helai daun limau purut
- 10gm belacan | bakar
- 30ml air asam jawa
- Gula dan garam secukupnya
- 5 liter air
BAHAN SUP:
- 100gm ayam
- 100gm udang
- 50gm sotong
- 15gm bawang besar hiris
- 10gm bawang putih hiris
- 10gm lengkuas
- 1 biji buah tomato | belah empat
- 10ml sos ikan
- 5ml limau nipis
- 10 biji cili padi | belah dua
- 15gm daun ketumbar | racik
- 50gm bunga kubis | potong
- 50gm lobak | potong
- 5 biji cendawan butang dalam tin | hiris
- Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK:
1.Semua bahan pes tom yam dikisar kecuali serai, air asam jawa, daun limau purut, garam dan gula.
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar bersama serai, air dan daun limau purut.
2. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
3. Masak sehingga menjadi pes tom yam.
4. Masukkan air.
5. Kemudian masukkan bahan-bahan untuk sup tom yam. Biarkan mendidih.
6. Tuang kuah tomyam ke atas bihun yang siap dihidang.
MI HAILAM
BAHAN-BAHAN:
- 1kg mi kuning | celur
- 20gm bawang putih | kisar
- 30gm bawang merah | kisar
- 100gm isi ayam
- 100gm udang
- 50ml kicap pekat
- 5gm lada hitam
- 30ml sos tomato
- 30ml sos tiram
- 500ml air
- 10gm cili merah | hiris nipis
- 40gm bawang goreng
- 1 biji telur
- 50gm bunga kubis | potong
- 30gm sawi | potong
- Sedikit tepung jagung
- Minyak masak secukupnya
- Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan air dan celur mi kuning. Angkat dan toskan. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah kisar sehingga naik bau. Masukkan ayam dan udang. Kacau sehingga separuh masak.
3. Masukkan air secukupnya, kicap, sos tomato, sos tiram, lada hitam, bunga kubis dan masak sehingga kuah mendidih.
4. Tambah bancuhan tepung jagung dan didihkan sehingga kuah pekat. Masukkan sawi dan pecahkan telur. Tambah garam dan gula secukup rasa.
5. Tuang kuah di atas mi dan hiaskan dengan cili merah, sawi, bawang goreng.
MI BAKSO
BAHAN-BAHAN:
- 1kg mi kuning | celur
- 30gm bawang merah | kisar
- 20gm bawang putih | kisar
- 20gm halia kisar
- 2 helai daun limau purut | kisar
- 2 batang serai | kisar
- 1 liter air
- 50gm rempah sup
- 5 biji cili merah | hiris
- 5gm lada putih
- 10gm serbuk lada hitam
- 500gm bebola daging
- 50gm daun bawang | potong halus
- 50gm tauge
- Minyak masak secukupnya
- Garam dan perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis barang yang dikisar sehingga pecah minyak
2. Masukkan rempah sup, lada hitam dan lada putih dan tambah air. Tunggu sehingga mendidih.
3. Masukkan bebola daging, biarkan sehingga mendidih.
4. Tambahkan garam secukup rasa.
5. Masukkan mi yang telah dicelur ke dalam bekas dan tuang kuah di atasnya. Hias dengan hirisan cili merah dan tauge.