Tidak lengkap rasanya hari raya tanpa adanya kerepek dan manisan tradisi. Kerepek Bawang, Kuih Siput dan Putu Kacang adalah antara yang masih menjadi pujaan penggemarnya tidak kira tua atau muda. Nak cuba buat sendiri? Jom lihat resipinya.

 

1. KEREPEK BAWANG

Resipi Kerepek & Kudapan Ringan Popular & Wajib Ada Di Hari Raya.

BAHAN DOH BAWANG:

  • 500gm tepung gandum
  • 100gm bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1 sudu makan udang kering | ditumbuk halus
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 125ml air
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN DOH MARJERIN:

  • 500gm tepung gandum
  • 180gm marjerin
  • 1/2 sudu teh garam halus
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Bagi menghasilkan doh bawang, kisar bawang merah, bawang putih dan serai bersama air sehingga halus. Tapiskan. Jangan buang air kisaran bawang.
  2. Satukan tepung gandum, bawang yang ditapis, udang kering dan juga garam. Gaul rata.
  3. Masukkan air kisaran bawang tadi sedikit demi sedikit. Uli sehingga menjadi doh. Tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  4. Bagi menyediakan doh marjerin, gaul tepung bersama marjerin dan garam. Gaul rata.
  5. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh seakan doh bawang tadi. 6. Bahagikan doh bawang dan doh marjerin menjadi ketulan kecil. Bulat-bulatkan dan canai hingga nipis.
  6. Tindih doh bawang dan doh marjerin. Gulung dengan kemas.
  7. Hiris gulungan doh dengan nipis menggunakan pisau tajam dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga keperangan.
  8. Angkat dan toskan minyak. Setelah sejuk, simpan di dalam bekas kedap udara.

 Info chef: Semasa menguli, masukkan air sedikit demi sedikit bagi memastikan doh tidak terlalu lembik.

 

 2. KUIH GUNTING

Resipi Kerepek & Kudapan Ringan Popular & Wajib Ada Di Hari Raya.

BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 500gm tepung gandum
  • 5 ulas bawang merah | dihiris dan digoreng garing
  • 2 ulas bawang putih | dihiris dan digoreng garing
  • 1 sudu makan jintan manis | dikisar halus
  • 2 sudu makan serbuk kari
  • 50gm udang kering | direndam dan ditumbuk halus
  • 250ml air
  • 125ml minyak masak | dipanaskan
  • 3 tangkai daun kari
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya

CARA MEMASAK:

  1.  Tumbuk bawang merah dan bawang putih yang telah digoreng garing hingga hancur. Ketepikan seketika.
  2. Satukan tepung gandum, udang kering, jintan manis dan serbuk kari ke dalam mangkuk.
  3. Kemudian masukkan bawang merah dan bawang putih yang ditumbuk tadi. Kacau sebati. Perasakan dengan garam secukupnya.
  4. Seterusnya, tuang minyak masak panas dengan berhati-hati. Gaul rata.
  5. Tuang air sedikit demi sedikit dan gaul sehingga adunan menjadi sebati serta tidak melekat pada bekas. Biarkan doh seketika.
  6. Canai doh hingga nipis dan potong mengikut saiz yang bersesuaian. Goreng dalam minyak yang panas bersama daun kari sehingga menjadi warna keemasan.
  7. Angkat dan toskan minyak. Simpan di dalam bekas kedap udara.

 

3. KUIH SIPUT

Resipi Kerepek & Kudapan Ringan Popular & Wajib Ada Di Hari Raya.

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm tepung gandum
  • 250ml minyak masak
  • 180ml air
  • 1/2 sudu makan gula
  • Garam secukup rasa
  • 2 tangkai daun kari
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya

 CARA MEMASAK:

  1.  Masukkan tepung gandum ke dalam bekas dan tuangkan minyak masak. Gaul hingga rata.
  2. Kemudian masukkan air yang telah dilarutkan dengan garam dan gula. Tuang sedikit demi sedikit.
  3. Uli doh sehingga sebati dan tidak melekat pada bekas. Bahagiakan doh kepada beberapa bahagian kecil dan uli memanjang.
  4. Potong doh yang diuli tadi secara kecil dan bentukkan doh menggunakan acuan siput.
  5. Panaskan minyak dan goreng kuih siput hingga garing. Masukkan daun kari ketika kuih siput hampir masak.
  6. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

Info chef: Doh dipotong kecil bagi mendapatkan saiz kuih siput yang sama besar.

 

IKLAN

4. POPIA SIMPUL

Resipi Kerepek & Kudapan Ringan Popular & Wajib Ada Di Hari Raya.

BAHAN POPIA:

  • Kulit popia bersaiz kecil secukupnya
  • Minyak masak untuk menggoreng

BAHAN SERUNDING IKAN:

  • 1kg ikan sardin | direbus dengan asam keping dan sedikit garam
  • 500ml santan
  • 20 tangkai cili kering | dikisar
  • 20 ulas bawang merah | dikisar
  • 10 ulas bawang putih | dikisar
  • 7 batang serai | dikisar
  • 5cm halia | dikisar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 120ml minyak masak

CARA MEMASAK:

  1.  Asingkan isi ikan dan tumbuk halus. Ketepikan seketika.
  2. Panaskan minyak masak di dalam kuali dan masukkan bahan kisar.
  3. Kemudian masukkan isi ikan dan tambahkan santan sedikit demi sedikit.
  4. Perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya. Kacau sehingga serunding menjadi kering.
  5. Bagi menyediakan popia simpul, potong kulit popia menjadi tiga bahagian.
  6. Letakkan serunding di tengah-tengah kulit popia. Gulung dan simpul dengan berhati-hati.
  7. Panaskan minyak dengan banyak dan goreng sehingga garing. Angkat dan toskan minyak.

Info chef: Biarkan popia sejuk terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam balang bagi mengelakkan popia menjadi lemau.

 

IKLAN

5. PUTU KACANG

Resipi Kerepek & Kudapan Ringan Popular & Wajib Ada Di Hari Raya.

BAHAN-BAHAN:

  • 600gm kacang hijau | dibersihkan
  • 400gm gula | dikisar halus
  • 200ml air

 CARA MEMASAK:

  1.  Sangai kacang hijau menggunakan api perlahan sehingga naik bau.
  2. Tumbuk kacang hijau dan tampi bagi mengasingkan kulitnya.
  3. Tumbuk kacang hijau sekali lagi sehingga halus dan ayak.
  4. Campur tepung kacang hijau bersama gula. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan dapat dikepal.
  5. Tutup adunan dengan kain lembab selama 1/2 jam.
  6. Ambil doh dan tekan ke dalam acuan putu. Terbalikkan acuan dan ketuk sedikit bagi mengeluarkannnya.
  7. Susun di atas dulang dan bakar dalam ketuhar pada suhu 100C selama 10 minit. Sejukkan putu sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.

Info chef: Selain dikeringkan dengan cara dibakar  di dalam ketuhar, putu ini juga boleh dijemur seketika.

 

6. REMPEYEK KACANG DHAL

Resipi Kerepek & Kudapan Ringan Popular & Wajib Ada Di Hari Raya.

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm kacang dhal | direndam semalaman
  • 250gm tepung beras
  • 500ml santan
  • 1 biji telur
  • 100gm ikan bilis | dikisar
  • 1 sudu makan biji ketumbar | dikisar
  • 1 sudu makan jintan manis | dikisar
  • 1 sudu makan jintan putih | dikisar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya

CARA MEMASAK:

  1.  Masukkan bahan kisar ke dalam tepung beras. Gaul rata.
  2. Kemudian masukkan santan sedikit demi sedikit diikuti telur. masukkan garam dan gula dengan secukup rasa.
  3. Panaskan minyak dengan banyak di dalam kuali. Kemudian celupkan acuan rempeyek selama 5 minit.
  4. Setelah acuan panas, angkat acuan dan sendukkan sedikit adunan tepung. Tabur kacang dhal dengan secukupnya.
  5. Masukkan kembali acuan  ke dalam minyak dan goreng hingga berwarna keemasan.

Info chef: Selain kacang dhal, boleh juga menggunakan kacang tanah ataupun kacang hijau.

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI