Halia disebut dalam ayat Al-Quran (Surah Al-Insan) firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan mereka dalam syurga itu diberi dari sejenis minuman yang campurannya zanjabil’.

Menu Sunah! Halia Penuh Aroma Dan Penyedap Dalam Masakan…
Rasanya agak pedas namun aromanya cukup wangi bila dimasukkan ke dalam masakan. Kebanyakan masakan mengandungi halia di dalamnya sebagai salah satu herba yang perlu ada untuk membuatkan masakan lebih enak. Halia juga diakui untuk membantu mengeluarkan angin dari dalam badan jika memakan atau minum jus halia. Apakah pula khasiat lain halia?

1.Halia Mengekalkan Peredaran Darah Normal
Halia mengandungi kromium, magnesium dan zink yang boleh membantu untuk memperbaiki aliran darah, serta membantu mengelakkan kesejukan, demam dan peluh berlebihan.

2. Penyerapan Nutrien Dalam Usus
Halia membantu meningkatkan penyerapan dan merangsang nutrien penting dalam badan. Ia kerana halia merangsang rembesan enzim gastrik dan enzim pankreas yang membantu penyerapan nutrien.

3.Pencegahan Demam dan Selesema
Halia telah digunakan beribu-ribu tahun sebagai rawatan semula jadi untuk demam dan selesema di seluruh Asia. Kajian di University of Maryland Medical Center mendapati, untuk merawat demam dan selesema dalam kalangan orang dewasa, rendam dua sudu besar halia segar yang dicencang dalam air panas dan diminum dua hingga tiga kali sehari

4.Mengurangkan Ketidakselesaan Perut.
Halia sesuai dalam membantu pencernaan, seterusnya meningkatkan penyerapan makanan dan mengelakkan sakit perut. Halia dapat mengurangkan keradangan seperti juga aspirin dan ibuprofen.

5.Mencegah Barah Usus
Satu kajian di University of Minnesota mendapati, halia boleh melambatkan pertumbuhan sel-sel kanser kolorektal/usus.

IKLAN

6. Mengurangkan Kesakitan dan Keradangan 
Halia mengandungi beberapa bahan anti-radang yang paling mujarab dan merupakan ubat penahan sakit semula jadi yang kuat.

7. Melawan Masalah Pernafasan Yang Biasa
Jika anda mengalami penyakit pernafasan biasa seperti batuk, halia membantu dalam mengembangkan paru-paru anda dan melonggarkan kahak. Dengan cara ini anda boleh dengan cepat pulih daripada kesukaran bernafas.

8. Menguatkan Imuniti
Halia membantu meningkatkan sistem imun. Pengambilan sedikit halia sedikit sehari boleh membantu mengurangkan risiko strok dengan menghalang lemak melekat pada arteri. Ia juga mengurangkan jangkitan bakteria dalam perut, dan membantu melegakan batuk dan kegatalan tekak.

IKLAN

 Menu Sunah! Halia Penuh Aroma Dan Penyedap Dalam Masakan…
NASI GORENG HALIA CENDAWAN

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan nasi sejuk
  • 5 biji bawang merah | kisar
  • 3 ulas bawang putih | kisar
  • 2.5cm halia | racik halus
  • 15 biji cili padi | kisar
  • 50gm sayur campur
  • 3 biji cendawan Shiitake | rendam dan hiris nipis
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya
  • Sedikit daun ketumbar dan hirisan cili untuk hiasan

CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis halia, bawang putih, cili padi dan bawang merah yang telah dikisar. Tumis hingga terbit bau dan agak garing.
2.Kemudian masukkan hirisan cendawan shiitake dan sayur campur. Kacau sebati. Perasakan dengan garam secukup rasa.
3.Masukkan nasi dan kacau sekata. Biar seketika dan tutup api.
4.Angkat, hiaskan dengan sedikit hirisan cili merah dan daun ketumbar. Sedia dinikmati ketika panas.
Info chef: Boleh tambah cili padi jika hendak lebih pedas.

 

IKLAN

Menu Sunah! Halia Penuh Aroma Dan Penyedap Dalam Masakan…

DAGING CINCANG GORENG HALIA KACANG PANJANG

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm daging lembu | cincang
  • 5 tangkai kacang panjang | potong
  • 1/2 biji bawang Bombay | potong dadu
  • 3 ulas bawang putih | cincang kasar
  • 2.5cm halia | cincang
  • 1 sudu teh cili giling
  • 1 sudu teh sos tiram
  • Garam secukupnya
  • Minyak masak secukupnya
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia yang sudah dicincang kemudian disusuli dengan cili giling. Tumis lagi hingga naik minyak dan masukkan bawang Bombay, goreng hingga layu.
2.Masukkan pula daging cincang Gaul rata hingga terbit bau harum dan daging masak.
3.Masukkan kacang panjang tetapi jangan masak terlalu lama. Masukkan sos tiram, air dan garam jika perlu (sos tiram sudah ada rasa masin). Gaul rata lalu biarkan selama 2 minit. Setelah itu, tutup api dan siap utk dihidangkan bersama nasi panas.

 

Sumber: Majalah Rasa

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI