Pernah atau tidak, ketika anda menggoreng ayam ia tidak masak? Atau ketika anda makan di kedai, ayam goreng yang anda pilih masih ‘berdarah’ dan kurang masak? Ada masanya memang akan terjadi kejadian ayam goreng kurang masak. Ayam mentah tidak elok untuk dimakan kerana ia akan menyebabkan keracunan makanan. Hari ini, RASA ingin berkongsi panduan menggoreng ayam yang boleh anda jadikan panduan.
CARA MENGGORENG AYAM
1. PERHATIKAN SAIZ AYAM
Jika tidak terlalu besar, boleh terus digoreng. Seandainya saiz ayam agak besar, anda boleh merebusnya terlebih dahulu sebelum digoreng.
2. MASAK DENGAN API SEDERHANA
Ketika panaskan minyak, anda boleh gunakan api besar. Kemudian segera kecilkan api ketika memasukkan ayam. Selepas 2-3 minit, kuatkan api ke sederhana dan teruskan goreng ayam sehingga masak.
3. GUNAKAN MINYAK YANG BANYAK
Minyak yang banyak dapat ‘merendam’ ayam dan membuat isinya masak rata. Jika mahukan hidangan lebih sihat, gantikan minyak masak biasa dengan minyak biji bunga matahari, kanola atau minyak jagung.
4. CUCUK DENGAN GARFU
Sebelum goreng ayam, cucukkan dengan garfu supaya isi ayam lebih mudah masak ketika digoreng.
5. BIARKAN SEKETIKA
Jika ayam disimpan dalam peti sejuk beku, pastikan anda membiarkan ia lembut dengan betul sebelum digoreng. Ayam beku hanya akan masak di bahagian luar saja ketika digoreng sedangkan isi dalam masih mentah.
Diharapkan kelima-lima tip ringkas ini dapat membantu anda untuk menghasilkan ayam goreng yang masak sepenuhnya. Selamat mencuba.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Chef Dato’Fazley Martabatkan Masakan Nogori & Minang, Kongsi 2 Resipi Bonus.
Bukan sedikit anugerah yang diraih oleh Chef dan artis berkarisma ini. Setelah menjuarai Masterchef Selebriti Malaysia 2012, Dato’ Fazley Yaacob semakin ‘rancak ‘ dalam bidang kulinari.Terbaru artis ini membuka Restoran Minang Kapau, di Plaza Damansara, KL. Kapau bermaksud nasi campur. Di Minang Kapau anda dapat menikmati kelazatan masakan asli Negeri Sembilan dan Padang (Minang).
.
Malah masakan lemak cili padinya pernah dipertandingkan di peringkat antarabangsa oleh Fazley dan pernah memenangi anugerah masakan terbaik dari Malaysia International Gastronomy Festival (MIGF).Menu nogorinya juga pernah dipertandingkan di Taiwan, Singapura dan London dan memenangi Anugerah Bufet Ramadan Terbaik di Asia dan 23 anugerah dari MIGF.
Tahun lepas beliau meraih anugerah Golden Chef. Melalui SukaSucre Bistro satu lagi bisnes makanannya, Fazley juga pernah membawa masakan Nogori dengan sentuhan ala Paris, di Perancis.Tiga tahun lepas pula beliau memenangi Buku Resipi Terbaik Dunia dari World Gourmand Cook Book Award dengan resipi Perancis dan Negeri Sembilan.
.
Dibesarkan di Rembau, Negeri Sembilan dan pernah menetap selama enam tahun di Bukit Tinggi, Padang, Indonesia di kampung nenek beliau sebelah ibu, Fazley memang membesar dengan masakan Negeri Sembilan dan masakan Minang, Padang. “Bagi saya bila kita memasak kenalah macam kita sendiri nak makan. Ibu saya adalah pelopor dunia masakan dan hebat memasak masakan Negeri,adik beradik saya semua aktif dalam bidang ini. Ibu dan isteri orang Negeri Sembilan jati adalah pengkritik paling utama saya,
Susah nak puaskan hati mereka, kalau keduanya kata sedap bermakna memang sedaplah masakan saya. Saya sendiri yang membuat pes masakan di sini,” ceritanya lagi yang turut membuka dua outlet Minang Kapau di Bandung, Indonesia.
Konsep perniagaan
Slogan yang tertera di pintu masuk restoran memang menarik perhatian. Di tulis dalam dialek Minang ” Duduk Sahamparan, Makan Saedangan” punya makna bererti buat Dato’ Fazley. Ia menjadi konsep perniagaan amalannya. ” Ia membawa maksud makan bersama sama sedulang bersama seperti keluarga. Sama-sama susah dan sama senang dan saling membantu bagaikan dalam keluarga.
.
Tiada darjat dalam perniagaan yang penting kebersamaan, buat apa sahaja bersama. Pekerja, pelanggan semua dianggap keluarga. Saya sendiri takde hal untuk membasuh pinggan atau memasak. Pekerja juga begitu tidak terikat dengan kerjanya sahaja, sebaliknya saling tolong menolong menjayakan restoran ini. Pelanggan juga boleh menegur dan saya tidak akan kecil hati demi kebaikan bisnes juga,” ujarnya dengan senyuman luhur.
Di antara signature dish yang terdapat di sini adalah Daging Salai, Telur Itik, Pucuk ubi, Ayam yang dimasak Lemak Cili Padi,benar-benar autentik dan asli Negeri Sembilan dan Padang. Turut dijual bersama dengan set Nasi Pandan Tumis. Pelbagai jenis sambal seperti sambal hijau, sambal terduduk dan variasi kuih tradisi dan manisan barat.
Berpegang pada tema “Solai Pun Sodap” Dato’ Fazley juga memperkenal sajian yang mesra keto atau ‘selero keto’, iaitu diet pemakanan sihat yang rendah karbohidrat dan tanpa gula. Impiannya adalah untuk membuka francis Minang Kapaur di setiap negeri dan satu outlet di Jakarta, Indonesia.
NASI PANDAN TUMIS & DAGING SALAI LEMAK CILI PADI
BAHAN-BAHAN :
Bahan nasi pandan :
- 2 cawan beras
- 2 cawan air
- 1/2 cawan santan cair -beli online DI SINI
- 4 helai daun pandan (Di kisar bersama air dan di tapis)
- Garam secukup rasa
Bahan tumis | dikisar :
- Mentega (tanpa garam) | untuk menumis
- 1/2 biji bawang besar – beli online DI SINI
- 4 biji bawang kecil – beli online DI SINI
- 2 ulas bawang putih -beli online DI SINI
- 1 inci halia – beli online DI SINI
Bahan daging salai lemak cili api :
- 7 biji cili padi – beli online DI SINI
- 3 biji bawang besar – beli online DI SINI
- 6 ulas bawang putih – beli online DI SINI
- 3 batang serai
- 4cm kunyit hidup – beli online DI SINI
- 4cm halia muda
- 1 sudu teh serbuk kunyit
- 2 cawan air
- 1 cawan santan cair
- 1 cawan santan pekat
Bahan daging salai :
- 250gm daging
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- 1/2 sudu teh garam
CARA MEMASAK :
Cara masak nasi pandan tumis :
1. Panaskan mentega dan tumis bahan-bahan tumisan.
2. Kemudian masak nasi seperti biasa dengan menggunakan air, santan cair dan air perahan pandan. Masukkan garam secukup rasa.
Cara masak daging lemak cili api :
1. Perap daging bersama serbuk kunyit dan garam selama sejam.
2. Panaskan kuali, letakkan sabut kelapa dan kemudian besi pemanggang di atasnya.
3. Selepas itu, salaikan daging di atas besi pemanggang sehingga sekata tanpa menggunakan sebarang minyak (sabut akan mengeluarkan asap yang banyak, jadi pastikan anda gunakan dapur yang ada penyedut asap).
4. Setelah siap disalai, hiris daging tersebut kira-kira 4cm lebar. Ketepikan
5. Potong bawang besar, cili padi, bawang putih, serai, kunyit hidup serta halia untuk ditumbuk separuh halus menggunakan lesung batu.
6. Potong belimbing besi kepada 5 hirisan.
7. Panaskan air di dalam periuk, kemudian masukkan bahan- bahan yang ditumbuk tadi bersama serbuk kunyit.
8. Kemudian masukkan hirisan daging salai serta campuran santan pekat dan cair lalu perlahankan api. Masukkan garam secukup rasa.
KUIH BAKAR
BAHAN-BAHAN :
- 1 cawan air
- 10 daun pandan
- 5 biji telur
- 1 cawan gula perang – beli online DI SINI
- 1 3/4 cawan tepung gandum – beli online DI SINI
- 2 1/4 cawan santan – beli online DI SINI
- 2 sudu bijan putih -beli online DI SINI
- Garam secukup rasa.
CARA MEMASAK :
1. Kisar daun pandann bersama secawan air kemudian ditapis.
2. Adunkan santan, gula perang dan telur, kemudian masukkan air pandan yang telah disiapkan.
3. Perasakan dengan garam
4. Masukkan Tepung dan adun sehingga sebati.
5. Tuangkan adunan khusus kemudian bakar di dalam oven dalam suhu 180c (Pastikan loyang dipanaskan dahulu bersama sedikit minyak sebelum menuang adunan)
6. Bijan boleh ditaburkan sebelum masukkan kuih ke dalam oven.
** Sempena PKPB tempahan dibuka Selasa- Ahad, jam 1130 hingga 7 petang. Boleh juga klik di linktr .ee/minangkapau,atau melalui Grab Food dan FoodPanda
INGIN MEMBELI PRESSURE MESIN PENGISAR TERBARU, JOM BELI DI SINI
VIDEO INI MUNGKIN MENARIK PERHATIAN ANDA :
DAN JUGA RESIPI-RESIPI INI :
Resipi Lauk Pauk Minang Yang Menjadi Kegemaran Ramai.Memang Padu
Siti Nordiana, Rendang Ayam Minang Lauk Kesukaan Sejak Kecil
Tip Beli Ikan Bilis Yang Baru & Berkualiti.
Ikan bilis adalah antara makanan yang wajib ada di rumah. Andai nak cepat atau kurang selera makan, lauk ikan bilis boleh dijadikan sebagai lauk penyelamat. Jika dulu, ikan bilis boleh dikatakan lauk yang murah namun sekarang, harganya melonjak tinggi. Memang mahal.
Bila harga dah mahal, pastinya anda mahu memastikan ikan bilis yang dibeli adalah yang benar-benar berkualiti serta masih baru. Ini kerana rasanya enak serta masih ‘manis’. Berbeza dengan ikan bilis lama, rasanya agak kurang sedap, lambat garing bila digoreng serta agak berbau hapak. Memang kurang sedap.
Berikut adalah sedikit panduan dan tip memilih ikan bilis yang anda boleh praktikkan.
1. Lokasi Tangkapan
Di Malaysia, antara lokasi ikan bilis tersohor adalah di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi dan perairan Sabah. Dikatakan ikan bilis dari ketiga-tiga lokasi ini adalah yang terbaik serta mempunyai kualiti yang bagus. Jika di Pulau Pangkor, ia memang terkenal dengan ikan bilis mata biru.
2. Belang Di Badan Bilis
Katanya, jika nak tahu ikan bilis berkualiti tinggi atau tidak, boleh dilihat pada di badannya. Ikan bilis yang berkualiti tinggi mempunyai belang berwarna putih makanan ikan bilis yang berbelang hitam adalah sebaliknya. Jadi nanti jangan lupa tengok dulu belang ikan sebelum beli tau.
3. Bau
Cium bau ikan bilis sebelum beli. Ini kerna, ikan bilis yang masih baru serta berkualiti mempunyai bau yang enak dan sedap dihidu. Berbeza dengan ikan bilis lama, ia lebih hapak dan berbau. Nanti bolehlah cuba hidu ya.
4. Ketahanan
Ikan bilis berkualiti dikatakan lebih tahan lama. Ia tidak cepat hapak malah tidak berbau walaupun anda telah lama membelinya.
5. Lembut
Jika dipicit dengan jari, ikan bilis tersebut mudah pecah, itu menandakan kualitinya yang bagus. Kalau masak guna bilis jenis ni, memang sedap.
6. Warna
Jika beli ikan bilis, boleh lihat jenis-jenis yang dijual serta perbezaan harganya. Biasanya ikan bilis yang bersih, putih dan berkilat, harganya memang mahal. Lagi putih warna bilsi tersebut, lagimahal harganya. Jika ikan bilis yang kelihatan kusam dan kekuninga, harganya jauh lebih murah.
Sumber: Page Dr Ikan Bilis Anda
Satu lagi masalah berkaitan ikan bilis ni adalah, ramai yang kurang pasti cara-cara nak hasilkan ikan bilis goreng yang rangup serta tahan lama. RASA ada panduan buat anda.
9 Cara Untuk Hasilkan Ikan Bilis Goreng Yang Rangup Serta Tahan Lama
Ikan bilis goreng memang enak. Teksturnya yang rangup serta berperisa menjadikan ia sesuai dinikmati bersama hidangan nasi dan sebagainya. Ramai juga dikalangan ibu-ibu yang gemar menyimpan stok ikan bilis goreng tetapi ada kalanya ikan bilis yang digoreng menjadi tidak rangup dan kurang enak setelah lama disimpan. Petua-petua di bawah boleh membantu anda.
1. Pilih Ikan Bilis Berkualiti
Terdapat pelbagai jenis ikan bilis yang dijual dan harganya juga berbeza mengikut gred serta kualiti. Untuk mendapatkan ikan bilis goreng yang mudah dimasak, garing serta enak, guna ikan bilis yang berkualiti. Ia boleh dilihat dari segi ikan bilis yang bersih, berwarna terang dan tidak hapak.
2. Guna Ikan Bilis Saiz Sederhana
Sebelum membeli ikan bilis, pilih ikan bilis yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar. Bilis yang besar lebih liat serta agak lambat untuk garing ketika digoreng.
3. Keringkan Sepenuhnya
Selepas membasuh ikan bilis, pastikan ia dikeringkan dengan sepenuhnya sebelum dimasak. Guna tisu dapur sudah memadai bagi mengurangkan kelembapan.
4. Guna Cuka
Ada juga yang menggunakan cuka bagi mendapatkan bilis goreng yang rangup. Caranya mudah sahaja, masukkan ikan bilis ke dalam bekas dan renjiskan cuka hingga rata. Biarkan 5 minit dan goreng seperti biasa.
5. Guna Minyak Panas
Sebelum menggoreng, pastikan minyak telah dipanaskan terlebih dahulu dalam kuantiti yang secukupnya.
6. Goreng Guna Api Sederhana
Semasa menggoreng, perlahankan api agar ikan bilis yang digoreng tidak cepat hangus. Guna api sederhana dan masak sehingga ikan bilis menjadi kuning keemasan.
7. Tos Minyak Sepenuhnya
Setelah diangkat, toskan lebihan minyak menggunakan tisu dapur. Ia bagi mengelakkan ikan bilis menjadi berminyak sewaktu disimpan.
8. Simpan Dalam Balang Kedap Udara
Setelah ikan bilis goreng sejuk, masukkan segera ke dalam balang kedap udara. Ia amat penting bagi mengelakkan ikan bilis masuk angin dan menjadi lemau.
9. Goreng Secara Berperingkat
Jika anda mahu menggoreng ikan bilis dalam kuantiti yang banyak, lakukan secara berperingkat. Elakkan menggoreng dalam kuantiti yang banyak secara sekaligus. Ia bukan sahaja menjadikan ikan bilis tidak garing bahkan melambatkan proses memasak.
Amal 6 Makanan Ini Untuk Wajah Awet Muda!
Memasuki usia 30-an, wajah seorang wanita akan mula memperlihatkan tanda-tanda penuaan, dimana mula kelihatan garis-garis kedutan di bahagian mata dan juga bibir. Sebahagian wanita pula mungkin lebih jelas bila pipi yang dulu tegang kelihatan kendur atau jatuh.
Oleh itu pastikan sebaik saja usia mencecah 30 tahun, anda mengamalkan enam makanan berikut yang terdiri daripada sayur dan buah-buahan. Khasiat dalam makanan ini membantu menegang dan menganjalkan kulit wajah sekali gus membuatkan anda kelihatan kekal muda ibarat tak dimamah dek usia.
Delima
Kulit dapat mengekalkan keanjalannya jika kolagen di dalam tubuh diproses dengan baik. Buah delima kaya dengan vitamin C yang berfungsi sebagai antioksidan dan seterusnya menghalang kehadiran garis halus, kedutan dan kekeringan kulit.
Tembikai
Tembikai mengandungi air yang membantu menjadikan kulit lebih elastik. Paling penting buah ini mengandungi lycopene yang memberi warna merah pada tembikai. Bahan ini bertindak sebagai antioksidan mencegah kerosakan kulit akibat kesan sinar UV. Khasiat yang sama juga ada pada buah tomato.
Bayam
Salah satu khasiat bayam adalah membantu memberi kulit yang sihat kerana kandungan vitamin A yang tinggi. Ia juga dikatakan memberi kelembapan yang tepat pada epidermis sekali gus membantu mencegah jerawat, kedutan dan masalah kulit yang lain.
Brokoli
Sayuran ini dapat meningkatkan kualiti kesihatan kulit kerana kandungan vitamin C, E, dan B6. Ia membantu mengelakkan kesan kerosakan pada kulit akibat radikal bebas.
Avokado
Buah ini kaya dengan asid lemak omega dan asid oleic untuk membantu lapisan luar kulit mengekalkan kelembapannya hingga membuatkan kulit lembut dan anjal.
Kiwi
Buah kiwi mengandungi banyak vitamin C yang mampu mencerahkan kulit tubuh. Buah kiwi berkesan dalam memperbaharui sel-sel kulit yang akan menjadikan kulit cerah, tampak segar dan muda.
Sebenarnya lagi awal anda mula mengamalkan enam makanan ini lebih baik. Ia akan mengurangkan kos anda membeli krim atau serum anti penuaan. Selain itu amalan sayur dan buah-buahan ini juga baik untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh.
Kredit: Vanilla Kismis