Tercari-cari resipi bekal mudah & sedap untuk anak-anak bawa ke sekolah? Maklumlah, sesi persekolahan tahun 2022 mula membuka tirai. Pasti kaum ibu kembali sibuk dengan rutin harian. Jadi pasti ramai yang tengah mencari idea untuk sediakan bekal anak ke sekolah. Dengan adanya resipi-resipi ni, anda boleh sajikan menu ringkas tetapi berkhasiat ni untuk si kecil anda. Nak masak pun senang sangat. Jom lihat selesi menu yang boleh dihasilkan.

 

KOLEKSI RESIPI BEKAL KE SEKOLAH

 

1. AYAM GORENG SAYUR CAMPUR

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah
BAHAN-BAHAN:

  • 4 ketul drumet ayam | bersihkan dan tos
  • 1 sudu makan tepung gandum
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1 sudu teh sos tiram
  • 1 sudu teh sos tomato
  • 1 sudu serbuk perasa ayam
  • Garam secukup rasa
  • Minyak secukupnya | untuk menggoreng

BAHAN SAYUR CAMPUR:

  • Sedikit hirisan lobak merah
  • Sedikit hirisan bunga kubis
  • Sedikit hirisan brokoli
  • 2 sudu makan biji jagung muda
  • 1 sudu makan serbuk perasa ayam

BAHAN SAMPINGAN:

  • 1 mangkuk kecil nasi
  • 1 biji muffin bunga kubis
  • Sos cili | jika perlu

 

CARA MEMASAK:
1. Untuk ayam goreng, gaulkan ayam dengan semua bahan sos dan serbuk perasa ayam.
2. Kemudian taburkan tepung gandum dan garam secukup rasa.
3. Panaskan minyak, goreng ayam hingga garing, angkat dan ketepikan.
4. Seterusnya, panaskan air, setelah mendidih tambahkan serbuk perasa ayam dan sedikit garam jika perlu.
5. Celur semua sayur lebih kurang 2-3 minit. Angkat dan toskan.
6. Masukkan setelah sejuk masukan sayur dalam bekas bekal bersama ayam goreng dan nasi.
7. Sebagai tambahan boleh masukkan sos pencicah sekali sebelum siap dibawa sebagai bekal oleh anak-anak.

INFO CHEF: Anda boleh perap ayam sebelah malam, masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk, ia menjimatkan masa.

 

2. BEBOLA NASI & AYAM TARIYAKI

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah

BAHAN BEBOLA NASI:

  • 1 cawan nasi putih | masak bersama 1/4 beras pulut
  • 1/4 cawan beras pulut
  • Sedikit hirisan seaweed
  • 1 batang sosej | rebus dan cincang halus
  • Sedikit hirisan daun ketumbar
  • Sedikit hirisan daun bawang
  • 1 sudu teh minyak bijan

BAHAN AYAM TARIYAKI:

  • 6 ketul drumet ayam
  • 1 sudu teh kicap cair
  • 1 sudu teh halia muda
  • 1 ulas bawang putih | cincang halus
  • 2 ula bawang merah | cincang halus
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 1 sudu makan gula perang
  • 1 sudu teh cuka
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak untuk menggoreng dan menumis

BAHAN TAMBAHAN:

  • Jagung rebus
  • Daun salad

CARA MEMASAK:
1. Untuk menyediakan bebola nasi, sosej dan semua bahan hirisan.
2. Perasakan dengan minyak bijan.
3. Gaul rata dan kepalkan seperti bebola (lebih kurang sebesar bola pingpong). Ketepikan.
4. Seterusnya sediakan ayam Teriyaki, Gaulkan ayam kicap cair dan halia, Perap sekejap.
5. Panaskan minyak dalam kuali, goreng ayam separuh masak, angkat dan ketepikan.
6. Keluarkan minyak tinggal sedikit untuk menumis.
7. Tumiskan bawang putih dan bawang merah.
8. Setelah wangi masukkan sos cili, serbuk cili, cuka, gula perang dan sedikit air.
9. Biarkan sos mereneh atas api sederhana lebih kurang dua minit.
10. Masukkan ayam, gaul rata dan perasakan dengan minyak bijan dan sedikit garam.
11. Setelah siap bolehlah sediakan bekal.
12. Masukkan nasi, ayam, sedikit salad dan jagung jika suka.

INFO CHEF: Bebola nasi boleh sediakan awal, kemudian warap kemas dan simpan dalam peti sejuk. Bila bangun pagi anda hanya perlu kukus seketika. Ayam juga boleh perap malam.

 

3. TORTILLA GULUNG BERTELUR & BEBOLA DAGING LADA HITAM

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah

BAHAN TORTILA GULUNG:

  • 2 keping tortilla
  • 2-3 biji telur
  • 2 sudu makan mayones
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • Secubit garam

BEBOLA DAGING LADA HITAM:

  • 6-8 biji bebola daging
  • 2 sudu makan sos lada hitam kasar
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan sos cili
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam kasar
  • 1/2 cawan air
  • 1 ulas bawang putih | cincang halus
  • 2 ulas bawang merah | cincang halus
  • Garam secukup rasa
  • 3 sudu makan mentega

CARA MEMASAK:
1. Untuk menyediakan tortilla gulung, panaskan kuali non-stick.
2. Panaskan tortilla seketika dan ketepikan.
3. Menggunakan kuali yang sama, pecahkan telur di dalamnya.
4. Kacau dan jadikan telur hancur. Angkata dan masukkan dalam mangkuk.
5. Campurkan mayones bersama serbuk lada hitam dan sedikit garam.
6. Gaul rata dan ketepikan.
7. Untuk menyediakan bebola daging. Panaskan mentega dalam kuali, goreng bebola daging hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
8. Menggunakan kuali yang sama, tumis bawang putih dan merah hingga wangi, kemudian masukkan semua bahan sos dan air.
9. Kacau rata hingga kuah pekat, perasa dengan sedikit garam.
10. Akhir sekali, masukkan bebola daging dan serbuk lada hitam.
11. Gaul rata kemudian tutup api.
12. Susun tortilla gulung dalam bekas bekal diikuti dengan bebola daging serta bahan sampingan seperti jagung rebus, salad dan tomato.
13. Siap untuk bekal.

INFO CHEF: Anda boleh tukar inti telur dengan tuna mayones jika suka.

IKLAN

 

4. NASI GORENG TELUR & SOSEJ

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah
BAHAN-BAHAN:

  • 1 mangkuk nasi putih
  • 1 biji telur
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 biji tomato | buang biji dan potong dadu
  • Sedikit jagung
  • 1 sudu makan perasa ayam
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu makana minyak masak

BAHAN SAMPINGAN:

  • 3 batang sosej goreng | potong dua
  • Buah anggur
  • Tomato Ceri

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak, dalam kuali, pecahkan telur di dalamnya, kemudian kacau hingga menjadi hancur.
2. Masukkan nasi, sos tiram, kacau rata.
3. Tambahkan di dalamnya jagung dan tomato, gaul lagi.
4. Perasakan dengan garam secukupnya.
5. Setelah masak, tutup api dan masukkan nasi dalam bekas bekal.
6. Kemudian masukkan salad, sosej dan tuangkan sedikit sos di dalam sosej.
7. Tambah dengan buang anggur dan buah ceri.
8. Bekal siap.

INFO CHEF: Anda boleh juga hidangkan nasi goreng ini dengan nugget atau filet ikan.

 

5. MAKARONI BAKAR BERKEJU

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah
BAHAN-BAHAN:

  • 250gm makaroni | rebus dan tos
  • 100gm daging kisar
  • 1 biji tomato | buang biji dan dadu kecil
  • 150gm parutan keju mozarella
  • 1 sudu makan serbuk oregano
  • 4 sudu makan sos balognes
  • 2 sudu makan sos cili
  • 2 ulas bawang putih | cincang halus
  • 1/2 biji bawang Holland | cincang halus
  • 3 sudu mentega
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN SAMPINGAN:

  • Buah Epal
  • Tomato ceri
  • Salad

CARA MEMASAK:
1. Panaskan mentega dalam kuali, tumiskan bawang merah dan putih hingga wangi.
2. Masukkan daging kisar, kacau hingga daging bertukar warna.
3. Seterusnya masukkan pula sos balognes dan sos cili,
4. Kacau rata, kemudian masukkan makaroni dan tomato yang didadu halus.
5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
6. Tutup api.
7. Panaskan ketuhar pada suhu 200C.
8. Sementara itu masukkan makaraoni dalam cawan aluminium foil.
9. Taburkan di atasnya parutan keju dan serbuk oregano.
10. Bakar lebih kurang 15 minit.
11. Setelah siap, hidangkan bersama Epal, salad dan tomato ceri.
12. Bekal siap.

INFO CHEF: Jika ada makaroni lebih untuk makan malam, jangan buang kerana anda boleh gunakannya untuk sediakan menu ini. Ia tidak membazir.

 

6. MINI PAU INTI DAGING

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah

BAHAN DOH PAU:

IKLAN
  • 250gm tepung gandum
  • 1/2 sudu teh yis serbuk
  • 1/2 sudu teh garam halus
  • 1 sudu makan minyak
  • 1 sudu makan susu tepung | bancuh dengan 1/2 cawan air.
  • Air ikut keperluan

UNTUK INTI:

  • 250gm daging kisar
  • 1 biji bawang Holland | cincang halus
  • 2 ulas bawang putih | cincang halus
  • 2 sudu makan pes cili kering
  • 1 sudu makan air asam Jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:
1. Untuk menyediakan doh. Bancuh serbuk yis dengan air susu, kacau rata dan biarkan ia kembang lebih kurang 10 minit
2. Sementara itu, gaulkan tepung bersama garam halus dan minyak dalam mangkuk adunan.
3. Tuangkan bancuhan yis dalam mangkuk adunan, gaul rata.
4. Tambahkan air sedikit demi sedikit, sambil adun hingga kelembutan doh yang anda inginkan.
5. Bulat-bulatkan doh kemudian susun dalam dulang dan rehatkan seketika.
6. Sambil menunggu doh kembang, sediakan inti.
7. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang merah dan putih hingga wangi.
8. Masukkan sos cili, kacau rata hingga pecah minyak.
9. Kemudian masukkan daging kisar, kacau rata dan tambahkan air asam Jawa.
10. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
11. Kecilkan api, terus kacau hingga kering dan pecah minyak.
12. Tutup api dan tapis minyak tumisan daging kisar.
13. Setelah sejuk, leperkan doh kemudian masukkan inti dan bulatkan semula.Lakukan hingga selesai.
14. Panaskan pengukus, kukus pau lebih kurang 15 minit.
15. Pau boleh dipadankan dengan buah pisang, anggur dan tomato ceri sebagai bekal.

INFO CHEF: Pau boleh dibuat awal, misalnya sebelah malam atau hujung minggu. Kemudian frozenkan, kukus semula bila perlu dibawa sebagai bekal.

 

7. CUCUR NASI BERKENTANG

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah
BAHAN-BAHAN:

  • 1 cawan nasi putih | kisar dengan sedikit air 
  • 2 biji kentang | rebus dan lenyek
  • 1 cawan tepung gandum
  • Sedikit hirisan daun bawang
  • Sedikit hirisan cili benggala merah
  • 1 sudu teh serbuk perasa ayam
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng

BAHAN SAMPINGAN:

  • Ayam goreng
  • Sos Cili Thai
  • Salad
  • Tomato Ceri

CARA MEMASAK:
1. Campurkan nasi yang telah dikisar bersama kentang lenyek dalam mangkuk adunan.
2. Gaul rata, tambahkan hirisan daun bawang dan cili Benggala, serbuk perasa ayam dan garam secukupnya.
3. Gaul lagi dan tambah tepung sedikit demi sedikit sehingga menjadi bancuhan cucur yang sesuai.
4. Panaskan minyak, goreng hingga kekuningan.
5. Boleh dihidangkan cucur ini dengan Sos Cili Thai dan ayam goreng sebagai bekal.

INFO CHEF: Anda boleh gunakan lebihan nasi untuk sediaka cucur dan boleh dibancuh awal, kemudian masuk dalam bekas bertutup, simpan dalam peti sejuk. Goreng keesokan hari.

 

8. MUFFIN PASTA TELUR

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah

BAHAN-BAHAN:

  • 1 mangkuk pasta | rebus dan tos
  • 4 biji telur
  • 1/2 cawan susu segar
  • 1/2 biji cili Benggala merah | dadu halus
  • 2 pokok daun bawang | hiris halus
  • 1 sudu teh serbuk perasa ayam
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Pecahkan telur dalam mangkuk, kacau rata.
2. Tambahkan susu cair, garam, serbuk perasa ayam dan lada sulah, terus kacau lagi.
3. Kemudian masukkan pula hirisan cili Benggala dan daun bawang. Kacau seketika dan ketepikan.
4. Oleskan mangkuk aluminium foil dengan sedikit minyak, kemudian masukkan pasta di dalamnya (isi separuh sahaja).
5. Kemudian tuangkan bancuhan telur di dalam sehingga meliputi pasta.
6. Panaskan pengukus, kukus mufin lebih kurang 15-20 minit.
7. Setelah siap boleh dimasukkan dalam bekas bekal bersama kentang goreng dan buah Epal sebagai bekal ke sekolah.

INFO CHEF: Mufin ini boleh disediakan sebelah malam, pagi, anda hanya perlu goreng kentang sahaja.

 

IKLAN

9. ROTI PRATA & AYAM TANDURI SOS PUDINA

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah

BAHAN-BAHAN:

  • 2 keping roti prata segera
  • Sebelah paha ayam atas bawah | bersih dan tos
  • 1/2 sudu teh serbuk cili
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/2 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu the serbuk jintan putih
  • 1/2 seudu teh serbuk ketumbar
  • 2 ulas bawang putih
  • 2cm halia muda
  • 1/2 biji lemon
  • 1sudu teh sos tiram
  • 1 sudu makn mentega
  • Sedikit yogurt
  • Sedikit pewarna merah
  • Garam secukup rasa

BAHAN SOS PUDINA:

  • 1/2 ikat daun pudina
  • 1/2 biji lemon
  • Sedikit daun ketumbar
  • 1 sudu makan mayones
  • 2 sudu makan susu cair

CARA MEMASAK:
1. Campurkan kesemua bahan rempah ratus di dalam mangkuk.
2.Kemudian perahkan jus lemon di dalamnya, diikuti dengan yogurt, sos tiram, garam dan pewarna merah. Kacau rata.
3.Gaulkam bahan perapan ini pada paha ayam, perapkan 15 minit.
4.Sediakan pemanggang, panggang ayam hingga masak.
5.Setelah masak bolehlah potong kecil untuk dimasukkan dalam bekas bekal.
6.Seterusnya panaskan kuali non stick, sapukan sedikit minyak dan panaskan roti prata. Angkat dan ketepikan.
7.Kemudian sediakan pula sos campurkan semua bahan dalam pengisar, kemudian kisar.
8.Akhir sekali, masukkan roti prata dalam bekas bekal bersama Ayam Tanduri dan sos pudina. Boleh juga tambah buah pisang dan anggur.
9.Bekas siap untuk di bawa ke sekolah.

INFO CHEF: Sebenarnya Ayam Tandori perlu diperap sekurang-kurangnya lima jam sebelum dibakar. Oleh itu anda disarankan perap ayam sebelah malam, kemudian simpan dalam peti sejuk, bangun pagi terus bakar.

 

10. KOKTEL SOSEJ LADA HITAM & TELUR HANCUR

10 Resipi Bekal Mudah & Sedap Untuk Bawa Ke Sekolah

BAHAN KOKTEL LADA HITAM:

  • 10 biji koktel sosej
  • 1 sudu makan sos lada hitam
  • 1 sudu makan sos cili
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 ulas bawang putih | cincang halus
  • Minyak secukupnya untuk menggoreng dan menumis

BAHAN TELUR HANCUR:

  • 2 biji telur
  • 1/2 biji tomato | buang biji dan potong dadu halus
  • 2 sudu makan susu segar
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • Secubit garam
  • 1 sudu mentega

BAHAN SAMPINGAN:

  • Jagung rebus
  • Buah pear
  • Nasi goreng

 

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak, goreng sosej seketik, angkat dan toskan minyak.
2. Keluarkan minyak tinggal sedikit, tumiskan bawang putih hingga kekuningan.
3. Masukkan sos tiram dan sos lada hitam, kacau rata.
4. Tambahkan sedikit air, kacau dan masukkan koktel.
5. Perasakan dengan sedikit garam dan taburkan serbuk lada hitam.
6. Gaul rata, tutup api.
7. Untuk menyediakan telur hancur, pecahkan telur dalam mangkuk.
8. Tambahkan susu, tomato, garam dan lada sulah. Kacau sebati.
9. Panaskan sedikit mentega dalam kuali, kemudian tuang bancuhan telur.
10. Kacau rata hingga telur berketul-ketul.
11. Masukkan dalam bekal bersama koktel sosej.
12. Kalau ada boleh tambahkan jagung rebus, nasi goreng dan buah.
13. Bekal siap.

INFO CHEF: Koktail sosej lada hitam boleh juga dipadankan dengan lain seperti roti bakar ataupun bihun goreng.

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

Terung John. Idea Menu Rendah Karbo Untuk Turunkan Berat Badan

Mudah Betul Buat Ikan Rebus Thai. Goreng Garing Memang Sedap

Cara Salut Tepung Pada Ayam Supaya Rangup & Berkerinting Bila Digoreng

Resipi Kuah Laksa Penang Sedap Tak Tau Nak Habaq

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI