Musim durian adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh para penggemar raja buah ini. Sana sini ada sahaja gerai yang menjualnya. Bila permintaan sudah tinggi, maka nanti mungkin ada yang nak ambil kesempatan dengan menjual durian yang belum masak sepenuhnya. Jika terkena, memang sakit hati kan? Dah lah beli mahal, nak makan pun tak sedap. Lagipun, buah berkulit tebal ni susah juga nak agak kondisi isinya. Oleh itu, jom belajar cara-cara nak kenal dan pilih buah durian yang masak sempurna dan sedap.
TIP PILIH BUAH DURIAN AGAR TAK KENA TIPU
1. DURI
Perkara pertama untuk memilih durian yang masak sempurna, banyak isi dan manis, lihat pada durinya. Pilih durian yang memiliki duri yang jarang, besar dan agak tumpul kerana biasanya ia memiliki isi yang masak elok, kering dan manis.
2. BAU
Cium baunya. Jika durian tersebut berbau manis yang kuat, itu tandanya durian tersebut mempunyai kualiti yang bagus. Jika kurang berbau, ia bermakna durian tersebut masih belum matang dan perlu disimpan beberapa hari sebelum dinikmati.
3. BENTUK BUAH
Pilih buah yang berbentuk bulat. Ini kerana biasanya buah berbentuk bulat ini memiliki ulas yang tebal isinya. Berbanding dengan buah berbentuk lonjong, ulas isinya agak kecil namun rapat. Elakkan mengambil buah yang kulitnya senget dan tidak rata kerana ada kemungkinan isinya sedikit.
IKLAN
4. KULIT
Lihat kulit durian. Jika bahagian luarnya kelihatan luka atau ada kecacatan, elakkan buah tersebut kerana berkemungkinan isinya juga tidak elok dan busuk. Jika ini terjadi, pasti kecewa. Dahlah mahal, busuk pula tu.
5. TANGKAI BUAH
Pilih buah yang tangkainya masih segar dan berwarna cerah kerana ia petanda buah tersebut masih baru. Elakkan buah bertangkai gelap dan kecut kerana berkemungkinan buah tersebbut telah lama gugur dan rasanya pun pasti kurang enak. Selain itu, dikatakan durian yang jatuh dari pokok mempunyai hujungn tangkai yang bergerigi. Jika kelihatan rata atau seperti bekas dipotong, ada kemungkinan durian tersebut dipetik sebelum gugur dan diperam terlebih dahulu.
IKLAN
6. GONCANG BUAH
Angkat dan goncang sedikit buah durian. Jika ada bunyi seeprti isi buah bergetar, ia bermakna buah tersebut mempunyai isi yang telah masak dan manis. Buah durian yang matang, isinya yang kering akan terpisah dari dinding kulit dan berbunyi apabila digoncang.
7. KETUK KULIT DURIAN
Ambil hulu pisau dan cuba ketuk buah. Jika bunyinya seperti bergema padu seakan bunyi ‘buk-buk’, tandanya masak elok la tu. Jika berbunyi sebaliknya dan seakan tiada ruang, berkemungkinan durian belum matang dan isinya keras.
8. PILIH DURIAN 5 PANGSA
IKLAN
Buah durian mempunyai pangsa (bahagian yang mempunyai isi). Ia boleh dilihat menerusi garis-garis yang ada dipermukaan kulit buah. Sebaiknya pilih durian yang mempunyai 5 pangsa kerana dipercayai isinya lebih banyak serta tebal berbanding durian yang mempunyai 6 pangsa atau lebih.
9. ELAKKAN DURIAN MEREKAH
Buah durian yang merekah biasanya kurang ‘umphh’ kerana ia telah lama jatuh. Jika dibeli, dikhuatiri durian anda ada yang dah terasa masam kerana tindak balasnya dengan udara. Sebaliknya, pilihlah durian yang belum merekah. Jika nampak sikit-sikit merekah tapi belum emnampakkan isinya pon masih ok.
10. MAKAN DI KEDAI
Cara paling mudah dan dijamin puas hati. Jika makan di kedai, andai terbeli buah yang kurang elok, anda boleh menukarnya dengan buah yang baru. Memang puas hati dan berbaloi dengan harga yang dibayar. Malah, dengan cara ini juga boleh mengelakkan anda dari ditipu oleh sang penjual. Kereta anda pun tak berbau.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Chef Tan Tik San dari hotel Sheraton PJ, memang bukan calang-calang pengalamannya. Dalam masa lapan tahun berkecimpung dalam industri kulinari dan perhotelan, dia telah berjaya menyandang jawatan Eksekutif Chef iaitu jawatan ketua dan ‘ranking’ teratas dalam kerjaya Chef.
Setelah sekian lama menceburi bidang ini iaitu lebih daripada 25 tahun, minat dan kecintaannya dalam bidang ini masih tetap membara dan menebal dalam dirinya.
Dulu Chef Tan bermula dari bawah aje, Commis III. Pintu kariernya mula terbentang luas dan terus melangkah ke hadapan apabila terpilih ke program ‘special apprenticeship kitchen’ semasa bertugas di Hotel Hilton pada 1989- 1991. Program ini hanya mengambil petugas yang berpotensi dan berprestasi cemerlang termasuk dirinya
Berusia 51 tahun, Chef Tan juga tidak mempunyai latar belakang akademik dan formal dalam bidang ini, tetapi pengalaman kerja dan program yang dilaluinya cukup mematangkan dan membentuk kerjayanya kini. Sebagai Eksekutif Chef kini dia memimpin lebih 75 Chef dan petugas dapur di Hotel Sheraton PJ sejak hari pembukaan hotel pada tahun lepas.
Di mana antara tanggungjawabnya perlu memastikan kualiti makanan terbaik dan operasi kulinari berjalan lancar. Pada awal penubuhan Sheraton PJ, Chef Tan perlu membuat perancangan dan strategi tarikan menu dan pasukan dapur dan bankuet yang mantap.
Berasal dari Ipoh, Perak katanya minat memasak timbul kerana katanya, “Bila makanan yang dimakan sedap dimakan dan sedap dipandang ,secara tak langsung mencetus minat saya untuk belajar membuatnya. Ayah dan ibu saya pandai memasak ini juga turut tarik minat saya untuk memasak juga.”
Pengalaman bekerja di hotel bertaraf antarabangsa dan peluang bekerja di bawah bimbingan Chef hebat luar negara menyebabkan dia merasa cukup bertuah. “2 chef mentor yang tak dapat saya lupakan Chef Rudolf Muller dari Hong Kong semasa bertugas di Hilton. Dan Chef James Wierzelewski dari USA semasa di hotel Shangri La.
Kedua Chef ini banyak memberi inspirasi, 20 tahun yang lampau di hotel-hotel ternama dan bertaraf 5 bintang di negara kita diketuai oleh Eksekutif Chef dari luar negara. Jadi semasa muda saya banyak belajar dari mereka yang menjadi mentor saya. Mereka memang sangat berpengetahuan, kreatif dan sarat dengan idea. Sangat profesional dengan tugas yang memotivasikan saya untuk lebih cemerlang,” ceritanya lagi.
Pesannya kepada adik-adik ‘intern’ atau pelatih amali dari kolej dan universiti yang mahu menyertai latihan amali di sini ini perlu bersikap sedia untuk belajar, bersemangat gigih, boleh dipercayai, boleh diharapkan selain mempunyai sikap dan ‘attitude’ yang positif dan baik. Haa dengar tu, catat apa yang dipesan tu baik-baik dalam ingatan.
Ni senarai pengalaman Chef Tan sejak menyandang kedudukan Sous Chef, kalau nak mula dari bawah lagi panjang senarainya. 1.1992-1993, Jr. Sous Chef – Hotel Istanam KL 2.1989-1991, Section Chef, Hotel Hilton, Kl 3.1995- Feb 1996, Eksekutif Chef – Duta Vista Eksekutif Suites KL 4.1997-1998, Eksekutif Chef, -Bukit Unggul Golf & Country Resort, Bangi, Selangor 5.1998 – 2000, Eksekutif Chef – Rihga Royal Hotel, Miri , Sarawak. 6.2000-2001, Eksekutif Chef – Renaissance Kota Bharu, Kelantan 7.2001-2006, Eksekutif Chef – The Legend Hotel, Kelantan 8.2006-2010, Eksekutif Chef – One World Hotel, PJ 9.2010- 2012, Eksekutif Chef – Grand Millennium Hotel, KL 10.2012- 2015, Eksekutif Chef – Berjaya Times Square Hotel, PJ 11.2015- 2017 Eksekutif Sous Chef/ Relieve Eksekutif Chef – Star Pisces/Superstar Libra, Star Cruise
Pernah makan kek dari buah-buah tempatan. Kalau belum nah ini 3 resepi berasaskan nangka,labu dan keladi.
Lebih hebat lagi ada rempah ratus dalam ramuannya. Cuba jangan tak cuba.
1.KEK NANGKA MOUSSE REMPAH KAYU MANIS & JINTAN MANIS
BAHAN-BAHAN :
Bahan untuk ‘filling’ mouse :
335 ml susu segar
2 biji telur
117 gm gula halus
25 gm gelatin
335 gm krim putar
Bahan untuk puri nangka :
300 gm nangka yang telah direbus
100 gm gula aising
5 gm kulit kayu manis
Bahan untuk kek span vanilla :
125 ml air
500 gm tepung span vanilla
125 ml minyak masak
500 gm telur
* Kek ini terdiri dari 4 lapisan yang diselang seli, dimulai dengan span vanilla, mousse nangka dituruti span vanilla dan atas sekali mousse nangka.
CARA MEMASAK : Cara masak mousse : 1. Panaskan susu dalam periuk. 2.Di dalam mangkuk berlainan, pukul telur dan gula sehingga hancur. 3. Setelah itu masukkan susu yang telah dipanas ke dalam bekas telur dan gula tadi. 4. Kemudian masakkan sebentar di dalam periuk atas dapur. 5. Kemudian tuang ke dalam mangkuk yang bersi ais di bawahnya (waterbath) 6. Masukkan puri nangka dan gelatin yang telah dicairkan dan gaul hingga sebati. 7. Tuangkan di atas span vanilla, sejukkan dan ulangi proses sehingga habis
Cara masak puri nangka : 1. Masak nangka yang sudah direbus dan dilenyek di atas dapur bersama gula aising, jintan manis, bunga lawang dan serbuk kayu manis. 2. Tapiskan dan sejukkan. 3. Puri ini nanti akan dimasukkan dalam mousse
Cara masak span Vanilla : 1. Masukkan kesemua bahan kek kecuali minyak masak ke dalam mesin pengadun. 2. Putarkan hingga kembang 3. Kemudian masukkan minyak perlahan-lahan sehingga sebati. 4. Bakar pada suhu 180 darjah celcius, atas dan bawah selama 13- 15 minit. Bila sejuk letakkan span vanila, di lapisan bawah diselang seli dengan mousse nangka.
Saiz hidangan : 1 kg Masa memasak : 30 minit Jenis masakan : Pencuci Mulut Cara memasak : Masak atas api dan bakar Keistimewaan : Rasa nangka bersama kayu manis dan jintan cukup enak. Anggaran kos : RM 20
INFO CHEF : Jika anda penggemar mangga boleh sahaja menggantikan nangka. Resipi puri mangga sama seperti resipi nangka.
2.KEK LABU MOUSSE JINTAN PUTIH
BAHAN-BAHAN :
Bahan filling mousse :
335 gm susu
2 biji kuning telur
117 gm gula halus
25 gm gelatin
335 gm krim putar
Bahan puri labu :
300 gm labu yang telah direbus
100 gm gula aising
3 gam jintan putih /dikisar
5 gm bunga lawang /dikisar
5 gm serbuk kayu manis
Bahan kek span vanilla :
125 ml air
500 ml tepung span vanilla
125ml minyak masak
500 gm telur
*Kek ini mempunyai 4 lapis bermula dengan span vanilla dan diselang seli dengan mousse labu, span vanilla dan mousse labu
CARA MEMASAK : Cara masak puri labu : 1. Masak labu yang sudah direbus dan dilenyek di atas dapur bersama gula aising,jintan manis, bunga lawang dan serbuk kayu manis. 2. Tapiskan dan sejukkan
Cara masak mousse : 1. Panaskan susu 2. Di dalam mangkuk yang berlainan pukul telur dan gula hingga hancur 3. Setelah itu masukkan susu yang telah dipanaskan ke dalam bekas telur dan gula 4. Kemudian tuang ke dalam mangkuk yang berisi ais di bawahnya (waterbath). 5. Masukkan puri labu dan gelatin yang dicairkan dan gaul hingga sebati. 6. Tuangkan ke atas kek span.Sejukkan dan ulangi proses diselang seli dengan span vanilla hingga habis
Cara masak kek span vanilla: 1. Masukkan semua bahan di atas kecuali minyak masak ke dalam mesin pengadun. 2. Putar hingga kembang 3. Kemudian masukkan minyak perlahan-lahan sehingga sebati 4. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 13- 15 minit
Saiz hidangan : Satu kg Masa memasak : 30 minit Jenis masakan : Pencuci Mulut Cara memasak : Panas atas api dan bakar Keistimewaan : Rasa lembut berkrim dan aroma rempah yang wangi Anggaran kos : RM 18
INFO CHEF: Kek mousse sedap dimakan apabila telah didinginkan dalam peti sejuk .
3.KEK KELADI SANTAN AROMA REMPAH RATUS
BAHAN-BAHAN :
Bahan span pandan :
125 ml air
500 gm tepung span vanilla
125 ml minyak masak
500 gm telur
15 gm perasa pandan
Bahan puri keladi :
450 gm keladi yang telah direbus
100 gm gula aising
5 gm jintan manis
5 gm bunga lawang
5 gm buah pelaga
5 gm serbuk kayu manis
Bahan inti kelapa manis :
2 cawan kelapa parut
150 gm gula melaka
1 cawan air
200 gm gula aising
*Inti kelapa manis 100 gm * Kek ini terdiri daripada 4 lapisan. Lapis bawah span pandan diikuti dengan puri keladi, span pandan, puri keladi dan atas sekali puri keladi bersama kelapa manis.
CARA MEMASAK : Cara masak kek span pandan: 1. Masukkan kesemua bahan kecuali minyak masak ke dalam mesin pengadun. 2. Putar hingga kembang 3. Kemudian masukkan minyak perlahan-lahan sehingga sebati 4. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 13-15 minit
Cara masak puri keladi : 1. Masak keladi yang sudah direbus dan dilenyek di atas dapur bersama gula aising, jintan manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih dan serbuk kayu manis. 2. Tapis dan sejukkan. Puri keladi akan diletakkan atas span pandan secara berselang. Cara masak inti kelapa manis : 1. Masak air sehingga mendidih, masukkan gula dan kelapa parut. 2. Masak hingga kering dan pekat 3. Di dalam periuk yang berlainan, masukkan santan dan gula aising. Masak sebentar. 4. Masakkan inti kelapa manis, sapukan atas kek lapisan atas bersama puri keladi.
Saiz hidangan : Setengah kg Masa memasak : 40 minit Jenis masakan : Pencuci Mulut Cara memasak : Panas atas api dan bakar Keistimewaan : Enak dengan rasa keladi, dan manis dengan inti kelapa Anggaran kos : RM 18
INFO CHEF :Anda boleh juga menggunakan keledek menggantikan keladi.
RESIPI : CHEF S.T GANA & SURIANI YUP Terima kasih : Hotel Crystal Crown, PJ, Selangor
Sepanjang tahun ini, produk SAJI bersama Majalah RASA telah bekerjasama dalam mengendalikan 5 siri bengkel memasak yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru dan Kelantan. Setiap kelas yang dianjurkan adalah bertemakan sajian yang berbeza-beza dan dikendalikan oleh chef-chef yang berpengalaman.
Bermula pada bulan Mac, buat pertama kalinya Demo Memasak SAJI & Rasa diadakan di Kementerian Kerja Raya (KKR), Kuala Lumpur seterusnya Bengkel Kek & Biskut di Seri Kembangan (Mei) diikuti Bengkel Lauk Pauk & Kuih Muih Auntentik di Shah Alam (Julai). Pada bulan September pula, edisi keempat Bengkel SAJI & Rasa bertemakan Masakan Tradisi Johor & Teknik Penyimpanan Masakan Untuk Frozen telah diadakan di Johor Bahru dan diakhiri di Kelantan pada awal November yang lalu dengan bertemakan Bengkel Memasak Lauk Pauk Kenduri/Katering.
Sambutan yang diterima terhadap kelima-lima siri bengkel ini memang sangat meriah dan mendapat sambutan yang diluar jangkaan. Para peserta yang datang sangat sporting malah para chef yang terlibat juga tidak lokek berkongsi ilmu masakan menjadikan para peserta begitu teruja untuk menyertai bengkel-bengkel yang dijalankan. Pada setiap bengkel, chef akan menyediakan empat jenis masakan yang diolah dan dihasilkan menggunakan produk-produk Saji. Memang sangat mudah, sedap dan praktikal untuk dicuba di rumah. Akhir kata, terima kasih sokongan yang diberikan terhadap siri-siri Bengkel Memasak SAJI & Rasa dan semoga bertemu lagi dalam program-program lain di masa akan datang.
1. DEMO MEMASAK, KEMENTERIAN KERJA RAYA, KUALA LUMPUR
Edisi sulung siri Bengkel Memasak SAJI & Majalah Rasa dimulakan pada bulan Mac yang lalu. Bertempat di Kementerian Kerja Raya (KKR), Kuala Lumpur, telah berlangsungnya Demo Memasak SAJI & Rasa bersama lebih dari 80 ahli-ahli Puspanita KKR. Chef selebriti; Chef Imelda Haris telah dijemput bagi mengendalikan demo memasak dan beliau telah berkongsi empat resipi yang dihasilkan menggunakan produk-produk Saji iaitu Adela Butter Chicken, Pecal Sos Mentega Kacang Sunbear, Kerabu Udang SajiMee dan Teh Tarik Strawberry Slush. Sepanjang demo berlangsung, memang gamat suasana dek gelak ketawa para peserta. Malah chef juga tidak lokek untuk berkongsi pelbagai tip memasak. Program yang berlangsung selama tiga jam ini turut dihadiri oleh penaung dan pengerusi serta AJK Kanan Puspanita KKR dan ia ternyata memberi banyak ilmu baru kepada para peserta dalam menyediakan hidangan enak untuk keluarga secara cepat dan lebih mudah hanya dengan menggunakan produk-produk SAJI.
2. BENGKEL KEK & BISKUT, SERI KEMBANGAN, SELANGOR.
Pada bulan Mei pula, telah berlangsung Bengkel Memasak SAJI & Rasa edisi kedua bertemakan Kek & Biskut. Bengkel yang dikendalikan oleh Chef Zeti Khalid; pengasas Zeti Hot Oven ini memang sangat meriah. Maklumlah, kebetulan tarikh bengkel berlangsung hampir dengan bulan puasa. Jadi memang ramai peserta yang nak sertai kelas ini sebagai persediaan menyambut hari raya. Para peserta pun bukan calang-calang. Rata-rata yang datang adalah di kalangan ‘home bakers’ yang memang mempunyai perniagaan kek dan biskut. Malah bengkel ini juga turut disertai oleh peserta lelaki. Para peserta diajar membuat empat jenis kek dan biskut menggunakan produk-produk Saji iaitu Kek Peanut Butter Sunbear, Kek Pandan Kastard, Biskut Tart Nanas Daun dan Confetti Butter Cookies. Semuanya dilakukan secara hands-on bagi memudahkan para peserta untuk belajar dan memahami teknik-teknik pembuatan kek dan biskut yang betul.
3. BENGKEL LAUK PAUK & KUIH AUTENTIK, SHAH ALAM, SELANGOR.
Bertemakan Lauk Pauk & Kuih Muih Autentik, Bengkel Memasak SAJI & Rasa edisi ketiga ini mendapat sambutan yang sangat meriah dari para peserta. Rata-rata peserta yang ditemui mengatakan ia merupakan pengalaman yang paling seronok dan tidak dapat dilupakan. Dari awal lagi bengkel ini telah menerima penyertaan yang terlalu banyak malah peserta yang datang bukan hanya dari Lembah Klang sahaja bahkan ada yang sanggup datang dari Terengganu. Bertempat di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, bengkel yang dikendalikan oleh Chef Suwarsi M. Arukin ini menyajikan empat resipi lauk pauk dan kuih muih autentik yang dihasilkan menggunakan produk-produk Saji. Antaranya ialah Kuih Salat Pandan, Nasi Briyani Hujan Panas, Ayam Masak Hitam Berempah dan Kuih Vadai Udang Kering yang dihasilkan menggunakan produk Vanaspati ADELA, Krimer Sejat Cair SAJI, Kicap Lemak Manis SAJI, Garam Gunung SAJI dan minyak masak SAJI. Malah Chef Sue juga bermurah hati memberikan resipi bonus iaitu Bubur Candil Jagung yang dibuat menggunakan Krimer Sejat Cair SAJI dan Krimer Manis Jagung SAJI. Diakhir majlis, para peserta dapat membawa pulang masakan masing-masing untuk dirasa bersama keluarga serta menerima cenderahati tajaan SAJI.
4. BENGKEL MASAKAN TRADISI JOHOR & TEKNIK PENYIMPANAN MASAKAN UNTUK FROZEN, JOHOR BAHRU.
Setelah tiga siri terdahulu dijalankan di kawasan Lembah Klang, Bengkel Memasak SAJI & Rasa berkunjung pula ke Selatan tanah air bagi menemui para pembaca setia. Aktiviti yang dijalankan pada 30 September lalu memang cukup meriah dan mendapat sambutan diluar jangkaan. Bertempat di Kolej Kemahiran Johor, Johor Bahru, bengkel dikendalikan oleh Chef Abd Razak dimana beliau telah berkongsi resipi sajian autentik Negeri Johor seperti Mee Bandung, Otak-Otak Johor dan Laksa Johor. Malah chef juga berkongsi ilmu cara-cara penyediaan menu Bebola Daging dan Sos Lada Hitam menggunakan resipi premium tetapi mudah dihasilkan di rumah. Menu-menu ini memang sangat mudah dihasilkan menggunakan produk-produk Saji seperti Marjerin ADELA, Sos Tomato SAJI, Sos Tiram SAJI, Kicap Lemak Manis SAJI, Garam Gunung SAJI dan Minyak Masak SAJI. Dalam bengkel ini juga, Chef Abd Razak bermurah hati berkongsi beberapa resipi tambahan serta tip pembungkusan & penyimpanan makanan supaya tahan lama dan boleh dieksport tanpa perlu disimpan dalam peti sejukbeku.
5. BENGKEL MASAKAN LAUK PAUK KENDURI / KATERING, KOTA BHARU, KELANTAN.
Penutup bagi edisi 2018, Bengkel Memasak Saji & Rasa telah diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Kali ini ia bertemakan masakan kenduri dan katering dengan penyediaan makanan dalam jumlah kuantiti yang banyak. Bengkel yang dijalankan di Luxury Garden, Kota Bharu ini sememangnya mendapat sambutan di luar jangkaan dengan penyertaan seramai 51 orang peserta. Dikendalikan sendiri oleh pemilik Luxury Garden Katering, Puan Zalina Binti Zahari dengan bantuan dua orang tukang masaknya, para peserta diajar cara memasak empat resipi istimewa kenduri kendara iaitu Nasi Beriani, Ayam Kuzi, Daging Kicap dan Bubur Kacang Hijau. Kesemua menu yang dihasilkan adalah menggunakan produk-produk SAJI seperti Marjerin ADELA, Minyak Masak SAJI, Kicap Lemak Manis SAJI, Sos Tomato SAJI, dan Garam Gunung SAJI. Banyak ilmu serta tip masakan telah dikongsikan kepada para peserta yang juga terdiri daripada usahawan serta pengusaha makanan. Malah, ada yang sanggup datang dari luar Kelantan. Rata-rata peserta menyatakan rasa teruja dan gembira kerana dapat menimba ilmu yang amat berguna terutama kepada mereka yang mempunyai perniagaan katering, selaras dengan tema bengkel kali ini.
Bubur lambuk begitu sinonim dengan bulan Ramadan sebagai kelaziman untuk dinikmati sekurang-kurangnya sekali pada setiap Ramadan.Malah, ia menjadi lambang perpaduan dan kesatuan bagi penganut...