Masakan ibu tentunya yang terbaik. Ada bercadang nak buat makan-makan dan tercari-cari menu sedap tapi mudah masak untuk keluarga sempena cuti Awal Muharam? Ini antara menu-menu masakan yang sesuai disediakan dan boleh dijadikan sajian istimewa keluarga dari pagi hinggalah malam. Semuanya sangat sedap, mudah dan membuka selera. Selamat mencuba!

 

KOLEKSI MASAKAN HOMEMADE YANG SEDAP & MUDAH

 

1. BIHUN GORENG TAUCU

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam
BAHAN-BAHAN:

  • 100gm bihun
  • 100gm tauge – buang ekor
  • 100gm daun bawang – hiris pendek
  • 1 keping kek ikan – hiris
  • 150gm udang – buang kulit
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 2 sudu makan pes taucu
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu malam sos tomato
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu makan minyak masak

BAHAN KISAR HALUS:

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 sudu makan udang kering – rendam & tos
  • 2 sudu makan ikan bilis – rendam & tos

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak masak dan tumsi bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan pes cili kering. Kacau lagi dan masukkan taucu. Kacau rata.
3. Seterusnya masukkan udang. Apabila sudah bertukar warna, tambahkan sos tiram dan sos tomato. Gaul.
4. Masukkan bihun yang telah direndam tadi. Masukkan juga sedikit air dan masak hingga bihun lembut.
5. Tambahkan tauge dan daun bawang serta perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya.
6. Angkat dan masakan ini sedia untuk dinikmati.

 

2. TEH TARIK SUPER KAW

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam

BAHAN-BAHAN:

  • 3 liter air
  • 5 sudu makan serbuk teh
  • 5 uncang teh cap 888 serbuk wangi
  • 3 tin susu pekat manis
  • 1 tin susu cair
  • 1 sudu teh garam halus

( bahan-bahan diatas boleh agak-agak. Jangan takut letak lebih bahan sampai dapat rasa ‘kaw’ yang diingini.)

CARA MEMASAK:

1. Panaskan air sampai menggelegak. Masukkan semua teh, kacau dan biarkan 5 minit.

2. Kemudian masukkan susu pekat manis, susu cair dan garam. Kacau lagi dan biarkan masak dalam 5 minit.

3. Rasa air. Tambah bahan yang diperlukan sampai dapat rasa yang diingini.

4. Angkat dan boleh ‘tarik’ sebelum dinikmati.

Kredit resipi & foto: Nurdeanna Affendi

 

3. NASI DAGING

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging – rebus empuk
  • 1kg beras basmathi – cuci & tos
  • 1.5kg air
  • 1/2 tin susu cair
  • 2 sudu makan rempah kurma – sangai seketika
  • 2 sudu makan minyak masak
  • 1 sudu makan minyak sapi
  • 1 kiub pati daging
  • 1 helai daun pandan
  • 2 biji tomato – belah empat
  • Garam secukup rasa

BAHAN REMPAH PENUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 biji buah pelaga

BAHAN HIRIS:

  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 3cm halia

BAHAN AIR ASAM:

  • 10 biji cili merah
  • 10 biji cili padi
  • 30gm belacan
  • Sedikit ikan bilis
  • Sedikit gula
  • Garam jika perlu
  • 2 biji tomato
  • 2 biji bawang besar
  • 2 sudu makan kerisik
  • 1 cawan air rebusan daging
  • 1 sudu makan pes asam jawa
  • 1 sudu makan sos cili
  • 1 sudu makan sos tomato

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk. Tumis rempah penumis dan bahan hiris hingga wangi.
2. Masukkan rempah kurma. Kacau rata dan masukkan sedikit air. Kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan beras yang telah ditoskan. Kacau seketika bersama daun pandan.
4. Masukkan separuh dari hirisan daging, air rebuan daging, susu cair, kiub pati daging dan tomato. Perasakan dengan garam secukup rasa.
5. Pindahkan periuk ke dalam rice cooker dan masak seperti biasa.
6. Untuk menyediakan air asam, satukan semua bahan dan kacau rata.
7. Hidangkan bersama nasi daging.

 

4. UDANG GULAI LEMAK CILI PADI & DAUN SELOM

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam
BAHAN-BAHAN:

  • 1kg udang saiz XL – bersihkan
  • 1 cekak daun selom – celur seketika
  • 700ml santan
  • 1 keping asam gelugur
  • 3 batang serai – titik
  • 1 helai daun kunyit – hiris
  • Garam secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 20 biji cili padi
  • 4cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan ke dalam periuk bersama bahan kisar, serai, daun kunyit dan asam gelugur. Renehkan.
2. Bila kuah sudah mendidih, masukkan udang dan daun selom yang telah dicelur tadi. Masak hingga udang bertukar warna kemerahan.
3. Perasakan dengan garam secukupnya dan kecilkan api.
4. Biar selama 2-3 minit dan padamkan api. Angkat serta masakan ini sedia untuk dihidangkan bersama menu potluck yang lain.

 

5. SATE DAGING GORENG

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam
BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging – hiris kecil & nipis
  • 200gm kacang tanah – sangai & kisar
  • 1/2 cawan gula
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

BAHAN KISAR:

  • 20 tangkai cili kering
  • 10 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 4 batang serai
  • 2cm lengkuas
  • 1 sudu makan serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk jintan putih

CARA MEMASAK:
1. Cuci daging bersih-bersih dan toskan airnya.
2. Masukkan daging ke dalam mangkuk bersama bahan kisar, garam, gula dan kacang tanah. Gaul rata dan sebati.
3. Tutup bekas daging dan perap semalaman dalam peti sejuk.
4. Apabila sedia untuk dimasak, keluarkan sate dari peti sejuk dan biarkan pada suhu bilik seketika.
5. Panaskan minyak masak dalam kuali non-stick, Goreng sate guna api sederhana. Bila masak, angkat dan tapis sate tadi bagi membuang lebihan minyak.
6. Jika sate agak kering semasa dimasak, masukkan air perapan daging dengan secukupnya.
7. Masakan istimewa ini sedia untuk dihidangkan.

IKLAN

 

6. KARI IKAN BAWAL MAS

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam
BAHAN-BAHAN:

  • 2 ekor ikan bawal mas – potong dua atau tiga
  • 200ml santan
  • ½ cawan air asam
  • 3 tangkai daun kari – lurut dari tangkai
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 3 sudu makan rempah kari ikan
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 ½ sudu makan rempah penumis
  • 2 cawan air
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN HIRIS:

  • 1 biji bawang besar
  • 8 biji bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • 3cm halia

BAHAN TAMBAHAN:

  • 1 biji terung panjang – belah dua & potong empat
  • 3 biji bendi – potong dua
  • 1 biji cili merah – belah dua
  • 1 biji cili hijau – belah dua
  • 1 biji tomato – belah empat

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan hiris hingga wangi.
2. Masukkan rempah penumis dan daun kari. Kecilkan sedikit api.
3. Setelah garing, masukkan bancuhan serbuk kari, serbuk cili dan serbuk kunyit. Kacau rata hingga pecah minyak. Tambah air dan air asam jawa.
4. Bila kuah mereneh, masukkan ikan diikuti dengan santan. Biarkan mendidih.
5. Tambahkan terung, kacang bendi, cili dan tomato.
6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
7. Setelah 2-3 minit, trutup api dan hidangkan segera.

 

7. SOTONG BAKAR SERAI

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam
BAHAN-BAHAN:

  • 1kg sotong bersaiz XL – bersih & toskan
  • 100ml santan kotak
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 4 biji bawang merah
  • 3 tangkai cili kering
  • 2 batang serai
  • 2 ulas bawang putih

BAHAN SUMBAT:

  • 2 keping tauhu
  • 1 biji telur
  • 3 sudu makan daging kisar
  • 1 biji bawang besar – dadu halus
  • 3 biji bawang merah – cincang halus
  • 2 ulas bawang putih – cincang halus
  • 3 biji cili merah – cincang halus
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:
1. Untuk menyediakan bahan perapan sotong, campurkan bahan kisar bersama santan. Perasakan dengan garam dan gula dengan secukup rasa. Ketepikan.
2. Bagi menyediakan bahans umbat sotong, panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
3. Tambahkan daging kisar, tumis hingga kering.
4. Masukkan tauhu yang dihancurkan. Gaul rata.
5. Perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya. Tutup api dan sejukkan.
6. Bila inti sejuk, pecahkan telur, kacau rata dan tambahkan hirisan daun bawang serta daun ketumbar.
7. Sumbat bahan isian ke dalam sotong, padatkan dan tutup guna kepala sotong. Pin guna lidi dengan kemas.
8. Gaul sotong dengan bahan perapan. Perap seketika.
9. Untuk memasak, panaskan sedikit minyak dalam kuali non-stick dan panggang sotong guna api sederhana hingga masak. Sedia untuk dinikmati bersama menu potluck yang lain.

 

8. BUBUR CANDIL PANDAN

IKLAN

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam

BAHAN-BAHAN:

  • 600ml santan pekat
  • 200gm tepung gandum
  • 250gm gula
  • 250ml air perahan daun pandan
  • 2 helai daun pandan|disiat & simpul
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Uli tepung gandum bersama air perahan daun pandan sehingga menjadi doh yang agak lembut.
  2. Bentukkan doh menjadi bebola kecil atau lonjong atau mengikut bentuk yang diingini.
  3. Celur doh sehingga ia menjadi lembut kemudian toskan.
  4. Di dalam periuk yang berlainan, satukan santan, gula dan daun pandan. Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
  5. Masukkan doh candil yang telah direbus terlebih dahulu berserta secubit garam. Didihkan lagi untuk beberapa minit sehingga semua bahan menjadi sebati.

9. BUBUR JAGUNG SAGU

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm jagung
  • 100gm sagu|rendam hingga kembang dan tos
  • 700ml santan
  • 250gm gula melaka
  • 100gm gula
  • 2 helai daun pandan|disimpul

CARA MEMASAK:

  1. Satukan separuh santan bersama jagung, gula melaka, gula dan daun pandan.
  2. Didihkan sehingga gula menjadi hancur dan jagung menjadi lembut.
  3. Masukkan separuh lagi santan dan sagu.
  4. Didihkan hingga semua bahan sebati dengan menggunakan api yang kecil.

 

10. BUBUR PULUT HITAM

10 Idea Masakan Homemade Sesuai Makan Dari Pagi Sampai Malam

BAHAN-BAHAN:

  • 600ml santan
  • 250gm pulut hitam
  • 250gm gula
  • 2 helai daun pandan|disiat dan simpul
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Rendam pulut hitam di dalam periuk selama sejam kemudian rebus sehingga ia menjadi empuk.
  2. Di dalam periuk, satukan santan, gula dan daun pandan. Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
  3. Masukkan pulut hitam dan secubit garam.
  4. Didihkan lagi sehingga semua bahan menjadi sebati.

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang masakan mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

Kerang Air Lemon. Menu Sedap Buat Penggemar Mukbang Ala Thailand

Resipi Mi Celup Thai Paling Padu & Sedap. Masak Sendiri Je

Resipi Mi Celup Thai Paling Padu & Sedap. Masak Sendiri Je

Daging Goreng Kunyit Simple. Menu Ekspress Untuk Makan Tengah Hari.

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

https://www.youtube.com/watch?v=RFAn19ua4ig

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI